THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Wednesday, March 25, 2009

Pemikiran Alternatif Tentang Pembelajaran (Part 4)

Bagaimana konsep pembelajaran alternatif dapat direalisasikan?

Bagi menjelaskan bagaimana konsep dan ketetapan di atas dapat diamalkan dalam bilik darjah, maka berikut diturunkan dua contoh yang dipilih daripada kajian yang dilakukan di Barat. Contoh pertama dipetik daripada pemerhatian Pramling (dalam penerbitan) ke atas interaksi sekumpulan pelajar dan guru yang sedang mempelajari tajuk pembesaran tumbuhan. Perlu dinyatakan di sini bahawa kajian ini dijalankan di Sweden yang mana konsep alternatif ini telah dilaksanakan dalam sistem pendidikan di sana.

Seorang pelajar bertanya, "Apakah yang lebih besar, matahari atau bumi?"

Dengan bijak guru menjawab soalan itu dengan berkata, "Pada fikiran awak, apa dia?"

Daripada saat itu bermulalah perbincangan.

"Bumi kerana di bumi ada air", kata Marcus.

"Matahari kerana ia menyinari kita walaupun letaknya jauh daripada bumi", kata Johanna.

"Kedua-duanya sama besar sebab matahari memancarkan sinarnya ke seluruh dunia", tambah Igrid.

"Mungkin bumi tidak selamanya lebih besar, lebih kecil daripada matahari atau sama besar dengan matahari pada sepanjang masa," jawab guru dan kemudian meminta pelajar mencari jawapan kepada persoalan tersebut.

Berdasarkan soal jawab ini maka kelas mengumpul cadangan seperti menelefon stesen radio sebab di sana ada peralatan yang merekodkan cuaca dan juga menelefon stesen televisyen kerana mereka juga ada rekod tentang cuaca. Stig menyatakan mereka perlu pergi ke angkasa raya untuk melihat sendiri keadaan ini. Manakala, Marcus berpendapat baik tanya Hakan kerana beliau pernah pergi keangkasa (dalam imaginasinya). Gabi memutuskan, kelas perlu fikirkan bersama dan Igrid berpendapat emaknya boleh membacakan tentang perkara ini. Cadangan ini disokong oleh Nanette kerana padanya itu satu cadangan yang baik.

Di akhir persekolahan hari itu, ibubapa yang datang menjemput anak mereka dijelaskan oleh guru tentang perbincangan dan cadangan yang telah diputuskan. Keesokan harinya, pelajar ini datang dengan pelbagai maklumat dari pelbagai sumber; dari stesen radio, buku, agen perlancongan dan rakan-rakan. Di atas papan tulis, guru melakar rajah menggambarkan matahari dan bumi dalam tiga saiz yang berbeza. Semua pelajar memilih gambarajah di mana matahari lebih besar daripada bumi. Jelasnya, mereka selesaikan pertanyaan yang mereka timbulkan sendiri. Bukan itu sahaja, mereka mendapat pengetahuan dan mempelajari cara mendapatkan pengetahuan melalui kepelbagaian pendapat rakan-rakan sekelas.

Jelaslah, aktiviti harian pelajar, dunia mereka dan seterusnya persoalan mereka perlu dan mesti diberi perhatian serius dalam pembentukan suatu situasi pengajaran-pembelajaran yang dinamik. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan elemen-elemen ini adalah titik tolak bermulanya satu pengajaran yang mempunyai struktur yang mantap dan dapat membina manusia yang kreatif dan inovatif.

0 comments: