THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Monday, March 30, 2009

Refleksi 1

Apakah transformasi yang perlu dilalui oleh seorang guru supaya dapat mencapai hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad 21 (Sila baca sendiri apa yang dimaksudkan dengan kemahiran abad 21)?

Jawapan:

Generasi yang mempunyai kemahiran abad 21 adalah satu generasi PEMIKIR yang sentiasa dahagakan pengetahuan, bukan generasi yang berminda kosong dan sentiasa mengharapkan sesuatu dari luar untuk mengisi kekosongan tersebut semata-mata (Rujuk Entri: Pemikiran Alternatif Tentang Pembelajaran (Last), perenggan kedua terakhir). Generasi pemikir adalah generasi yang mempunyai imaginasi yang cemerlang dan kreatif, berfikiran terbuka, pro-aktif, sentiasa mencabar diri sendiri dan berperadaban.

Dalam konteks Negara Malaysia, generasi PEMIKIR ini hendaklah memenuhi kriteria individu seperti yang telah digariskan dalam Falsafah Pendidikan Negara iaitu individu yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual. (Rujuk Entri: Falsafah Pendidikan).

Untuk membina generasi PEMIKIR yang sihat jasmaninya, terkawal emosinya, sejahtera rohaninya dan tinggi nilai inteleknya, maka guru pada hari ini perlu melakukan transformasi dari segi pengurusan kendiri guru dan juga kaedah pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu meninggalkan kaedah tradisional 'chalk and talk' yang berpusatkan guru sebaliknya menggunakan kaedah yang berpusatkan pelajar seperti kaedah perbincangan, kaedah penerokaan, kaedah cuba gagal dan kaedah-kaedah lain yang sesuai. Dari segi pengurusan kendiri, guru perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu semasa terutamanya dari segi teknologi maklumat seiring dengan pengetahuan yang diperolehi oleh pelajar agar guru dapat mendidik pelajar sesuai dengan zaman mereka.

Bagaimana mungkin MANUSIA PEMIKIR dapat dilahirkan jika 'rahim' tempat tumbesarannya tidak mempunyai zat yang cukup untuk dia menghadapi kehidupan di luar rahim? Begitu jugalah dengan sekolah yang merupakan 'rahim' tempat menghasilkan generasi PEMIKIR dan guru-guru merupakan sumber zat ilmu yang diperlukan. Tempang metod pengajaran, tempang jugalah hasil pembelajaran yang diperolehi. Biarpun setinggi mana ilmu yang hendak disampaikan, tanpa kaedah yang menarik, pelajar akan cepat bosan. Apalagi untuk mendidik manusia pemikir, bukan tugas mudah. Guru terlebih dahulu kena bertindak sebagai seorang PEMIKIR!

Guru perlu bekerja bersama pelajar untuk membantu mereka mengubah kefahaman dan menjadikan mereka berkebolehan untuk belajar. Ia melibatkan usaha mencari dan mengenalpasti salah tafsiran pelajar terhadap pelajaran yang diajar, mengambil tindakan untuk memastikan perubahan kefahaman dan mencipta konteks pembelajaran yang menggalakan pelajar terlibat secara aktif dalam pembelajaran mereka (Ramsden, 1993; Trigwell, Prosser & Lyons, 1997). Tegasnya, pelajar dibentuk supaya dapat berfikir secara kreatif dan kritikal. Mereka bukan sekadar dapat berhujah tetapi juga mencipta sesuatu idea yang baru dan bernas.

Guru pula berfungsi sebagai pemangkin dan pembimbing bagi pelajarnya membuka jendela demi jendela agar alam yang luas ini kelihatan di mata dan di hati mereka dengan sejelas-jelasnya (Wan Zah, 1997). Alam ini dengan segala isinya merupakan 'buku terbuka' bagi manusia di samping Al-Quran untuk mengambil pengajaran dan teladan.

Aspek pembelajaran dan pengajaran yang penting dipertimbangkan untuk membina generasi yang mempunyai kemahiran abad 21 ialah:

1.Pembelajaran yang perlu dititikberatkan ialah kualiti kefahaman seseorang pelajar bukan kuantiti maklumat yang dapat mereka curahkan. Ini bererti pembelajaran harus difikirkan sebagai kualiti dalam cara seseorang mengkonsepsikan sesuatu. Pembelajaran yang bersifat mendapatkan fakta dan prosedur semata-mata seharusnya tidak diterima sebagai hasil daripada proses pendidikan.

2.Berkaitan dengan perkaratas, proses dan hasil pembelajaran adalah dua perkara yang bersepadu. Pelajar sentiasa belajar sesuatu. Ini bermakna pelajar tidak seharusnya diajar kemahiran belajar yang terpisah daripada bahan pembelajaran dan konteksnya.

3.Usaha meningkatkan pembelajaran bermakna mewujudkan hubungan di antara pelajar dengan bahan pembelajaran.

4.Usaha meningkatkan pembelajaran memerlukan pemahaman dari perspektif pelajar.

Guru perlu menjadi mu'allim, muaddib dan mursyid kepada pelajar, membimbing pelajar mencipta perubahan dan kemajuan serta tidak lagi melihat Barat sebagai kiblat kemodenan. Guru perlu sentiasa menanam doktrinisasi ke dalam minda pelajar bahawa kita mempunyai acuan kemajuan kita sendiri iaitu acuan keIslaman dan acuan ketimuran. Seharusnya teknologi tinggi yang dikagumi manusia hari ini perlu digunakan oleh para guru dengan sentuhan keTuhanan agar teknologi itu tidak membinasakan.

Bagi seorang pelajar, guru adalah segala-galanya. Segala tingkah-laku guru, tutur bicara guru, dan apa sahaja tentang guru dengan mudah akan menjadi ikutan pelajar. Oleh itu guru perlu menyerap nilai dan kemahiran abad 21 ke dalam diri dan jiwanya terlebih dahulu. Bukan setakat nilai seperti daya juang dan daya saing yang tinggi, sebaliknya nilai-nilai keIslaman dan keterikatan dengan Allah juga perlu diterapkan. Tanpa nilai tersebut, tidak seimbang generasi pemikir yang dibentuk dan tidak tercapai hasrat pendidikan negara.

0 comments: