THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Monday, May 11, 2009

Sepotong kakinya telah berada di syurga!

H Fansuri
Wed | May 06, 09 | 11:42:05 pm MYT

"Dia berkata ... sepotong kakinya telah berada di syurga," kata Syakir, seorang siswa daripada Haluan Siswa. "Jadi, dia minta berperang supaya seluruh tubuhnya berada di dalam syurga itu."

Memang bergenang air mata saya ketika itu juga tatkala mendengar anak muda yang berjambang itu menerangkan keperitan hidup saudara kita di Palestin. Sebenarnya, hal itu biasa saya dengar. Tetapi, entah kenapa, tiba-tiba hati saya bergegar.

Tak lama selepas itu, air mata perlahan-lahan, sedikit demi sedikit mula bergenang. Dan, saya lihat anak muda itu terhenti seketika percakapannya ketika memberikan penerangan kepada saya. Mungkin dia terasa sedikit aneh. Jam kira-kira hampir 4 petang saat itu.

Haluan Siswa dan beberapa penggeraknya yang muda sedang berada di Bangunan Mara, Jalan Raja Laut ketika mengadakan 'roadshow� di ruang legar bawah. Hari ini, 6 Mei saat berkunjung ke 'booth' mereka, pameran pegun itu telah berlangsung selama dua hari.

Sebelum air mata bergenang, banyak hal yang saya tanyakan kepada anak muda itu. Dia bercerita mengenai seorang doktor yang telah melepasi beberapa sempadan di sana.

"Wartawan, doktor saja yang dibenarkan ke sana," tokok Hafiz, rakannya.

Rantisi dan Syeikh Ahmad Yasin terbunuh dengan sebab wujudnya munafik-munafik dan golongan yang boleh dibeli dengan wang, tambah Syakir pula.

Ruang legar itu turut memuatkan tempat menderma darah, barang-barang yang boleh kita beli sebagai sumbangan kepada perjuangan membebaskan Palestin.

Saya memerhatikan sekilas ke arah pameran itu. Antara yang menarik, peta Palestin yang semakin mengecil daerahnya ditelan gergasi Israel. Tayangan video sebenarnya tidak pun menangkap perhatian saya. Entah kenapa ...

Tetapi penerangan mengenai tujuh mitos yang dipaparkan di meja Syakir dan Hafiz itulah yang telah menyebabkan saya terpaku cukup lama, kerana menelitikan hal mitos itu.

Lamunan terhenti ketika Syakir menegur dan memberikan penerangan satu persatu. Saya akui bahawa pengetahuan saya masih dangkal, cetek dalam hal-ehwal Palestin.

Terowong rahsia di Palestin?

"Betul ke ada terowong di sana?" saya bertanya kepada mereka.

"Memang ada, beribu-ribu. Ada terowong yang menyambungkan daripada rumah kepada rumah yang lain. Suri rumah buat terowong itu bersama anak-anak mereka," kata salah seorang anak muda daripada Haluan Siswa itu lagi.

"Macam mana nak masuk Palestin?" tanya saya kembali. "Bolehkah kita masuk ke dalam terowong itu?"

"Susah ... kena tapis banyak lapis. Mereka akan periksa sama ada kita hafal 30 juzuk atau lain-lain lagi," jelas mereka lagi. Saya terfikir juga tentang hadis yang menyebutkan hal kemasukan orang-orang Islam di Palestin untuk memerangi Yahudi kelak.

Adakah orang-orang Islam kita akan memasuki Palestin lewat ribuan terowong-terowong itu? Mereka masuk mengikut jalan darat? Atau laluan mana? Memang ada dalam cita-cita saya untuk memasuki Palestin melalui terowong itu.

Tapi saya bukan hafal 30 juzuk al-Quran. Orang-orang Palestin tentu menjaga kerahsiaan mereka pada tahap tertinggi. Ke Masjidil Haram sudah, ke Masjid Nabawi pun sudah. Di Masjidil Aqsa sahaja yang saya belum sempat ziarah.

Sebenarnya.. ada banyak lagi isu menarik dibangkitkan oleh anak muda itu. Tapi, setelah diungkapkan kenyataan seorang penduduk Palestin, "Sepotong kakiku.. sudah pun ada di dalam syurga ...," maka saya pun terus beredar kerana hati tidak tahan mendengarnya.

Apatah lagi melihatkan anak muda itu seperti kebingungan ketika melihat riak wajah saya yang mungkin berubah. Ketika hati telah kebah daripada derita tadi, hati sudah tidak lagi berkocak, barulah saya boleh mengarang dengan tenang.

Pesan ringkas kepada Syakir dan rakan-rakan

Salam saudara,

Pertamanya, saya memohon maaf kerana terpaksa meninggalkan saudara dalam keadaan yang tergesa-gesa. Sebenarnya, saya mahu berada di 'booth' saudara itu lebih lama.

Tapi, oleh sebab kata-kata yang saya baru dengar tadi telah menggegarkan perasaan saya, dan saudara pula kelihatan tersekat-sekat untuk memberikan penerangan lanjut ketika melihatkan wajah saya, maka saya memilih jalan selamat agar air mata saya tidak tumpah di situ juga.

Cadangan awal saya, mahu ke Pesuruhjaya Sumpah di bangunan Mara, tetapi oleh kerana pameran itu sangat menarik maka urusan saya tergendala banyak perkara. Sebetulnya ada banyak hal yang perlu dibincangkan mengenai Palestin.

Saya fikir.. kita tidak perlu lagi meratibkan ratapan, menzikirkan kesedihan dan kepiluan, mewiridkan nestapa dan menyuluh derita Palestin terlalu lama di bumi merdeka ini.

Mungkin, zaman itu telah berlalu. Sudah lama kita memberikan penjelasan kepada rakyat bawahan mengenai hari-hari gelap Palestin, sedangkan pimpinan masih enggan berganjak daripada jalur-jalur pemikiran yang lama.

Ahmad Zahid Hamidi perlu disedarkan peranannya!

Apakah maksud saya itu? Kalau bukan kerana malu lantaran air mata saya melimpah tadi, ingin saya melanjutkan bayan dan tasykil kepada saudara berhubung idea yang terkurung dalam pemikiran saya tadi.

Hingga kini, kita cuma mengutip dana dan sumbangan rakyat untuk disalur kepada rakyat Palestin. Rosmah Mansur juga dapat berbuat sedemikian. Lalu apa bezanya dibandingkan kita dengan isteri Najib? Mukhriz, anak Mahathir pun telah menyumbangkan wang dengan agak banyak juga.

Kalau kita berdemo sakan, Khairy menantu Abdullah Ahmad Badawi pun sakan berdemo mengalahkan kita juga ketika menentang pencerobohan Israel itu. Kalau kita ajak Khairy masuk terowong bawah tanah di Palestin, belum tentu dia mahu. Itulah bezanya.

Lalu, apakah yang membezakan kita dengan Rosmah Mansur, Mukhriz, Khairy dan juak-juaknya yang handal bersandiwara dan jaguh pula mementaskan teater hipokrit ini?

Iaitu, perjuangan kita mestilah berteraskan kepada al-Quran dan hadis nabi. Itulah yang mungkin membezakannya.

Terus-terang saja.. Palestin akan jatuh ke tangan kita. Jangan lupakan Selatan Thai serta Selatan Filipina di Nusantara. Tetapi, Palestin mempunyai nilai yang sedikit tinggi sebab di situlah terletaknya kiblat solat kita yang pertama.

Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata, demikian kata penyair Indonesia, W S Rendra. Perjuangan juga bererti berkorban nyawa, menumpahkan darah dan air mata. Perjuangan itu juga menumpahkan dakwat tinta untuk menyedarkan masyarakat tentang perlunya kita bersegera menyiapkan kelengkapan untuk memerangi Zionis!

Dan, ada perkara yang kita boleh buat, tetapi Rosmah, Mukhriz dan Khairy tak dapat nak melakukannya. Silap-silap haribulan, mereka inilah yang akan menentang kita kelak!

Iaitu, perjuangan melibatkan tumpahnya darah dan air mata! Perang dan peperangan!

Saudara,

Saudara menulis ini setelah kering air mata saya akibat hati saya hancur, hangus dibakar kata-kata saudara tadi, "Sepotong kakinya telah berada di dalam syurga!"

Tindakan menulis ini lantaran sebahagian serpihan hati ini telah terdampar dalam syurga. Tapi, sikit-sikit perasaan cintakan dunia itu masih berbekas di hati saya. Saya perlu terus-terang juga dalam hal ini kalau tidak mahu digelar hipokrit.

Bagi menjimatkan waktu, marilah kita terus tumpukan kepada Ahmad Zahid sebagai tuan kita dalam hal-ehwal perang kerana dia diamanahkan sebagai Menteri Pertahanan.

Sebelum Ahmad Zahid diangkat sebagai menteri pertahanan, beliau menyebutkan tentang perlunya diwujudkan pakatan ketenteraan antara negara-negara Islam. Tetapi adakah usul beliau ini sedang berjalan atau tidak?

Melambung kerisauan saya ke atas kenyataan menteri. Syed Hamid Albar misalnya pada akhir pemerintahannya pernah menyebutkan usul pemansuhan akta mesin cetak. Walhal, saat memegang jawatan KDN, permit penerbitan Harakah dan SK digantung!

Apabila tamat riwayat pemerintahannya, barulah dia mahu menyebutnya.

Berbalik kita kepada Ahmad Zahid. Sebelum diangkat menjadi Menteri Pertahanan, telah kita dengar usul beliau mengenai pakatan ketenteraan Islam itu. Idea itu tumbuh bertunas ketika angin Disember berdarah tahun lalu menyapa kita.

Apakah Ahmad Zahid ingin menunggu masa dia digugurkan sebagai Menteri Pertahanan, maka barulah dia mahu menyatakan sikap seperti Syed Hamid Albar? Ketika ditamatkan jawatan, apakah dia baru mahu usulkan kembali pakatan ketenteraan?

Tidak diketahui apakah yang menyebabkan Ahmad Zahid diangkat sebagai menteri pertahanan. Iaitu kementerian yang telah bertanggungjawab membeli kapal selam Scorpene dari Perancis dan bom C4 sebelum ini sehingga mengorbankan Altantuya of Mongolia. Apakah Ahmad Zahid sendiri yang meminta jawatan tersebut? Wallahu 'alam ...

Atau, memang Allah s.w.t telah menggerakkan hati Najib untuk menyerahkan jawatan itu kepada beliau kerana Ahmad Zahid sudah menyebutkan hal pakatan ketenteraan di antara Negara-Negara Islam sebelum ini?

Tetapi, itu semuanya tak penting lagi. Yang penting, adakah beliau mahu bertindak, sesuai dengan apa-apa yang pernah beliau usulkan mengenai pakatan ketenteraan Islam itu?

Saudara ...

Di tangan saudara dan rakan-rakan terletaknya harapan baru. Dan kita tidak lagi bergerak mengepam darah-darah saudara kita yang mahu menderma darah kepada saudara mereka di Palestin. Justeru, dalam batasan masa yang singkat, saya cuma bertanya sikit saja ...

Mahukah kita aturkan pertemuan bertanyakan Ahmad Zahid mengenai apakah yang telah menghalang beliau daripada meneruskan usulnya yang terawal, iaitu ke arah mewujudkan pakatan ketenteraan antara Negara-Negara Islam itu?

Kedua kita juga mahu bertanya sama ada Ahmad Zahid dan kerajaan ingin bersikap lunak ke atas usaha-usaha Muslimin di Malaysia yang mengirim orang-orang Islam secara curi-curi dalam peperangan di Palestin, Afghanistan sebelum ini?

Ini kerana, tiada ertinya kita berteriak melaungkan seruan membebaskan Palestin, sedang Najib dan Ahmad Zahid terus takutkan Zionis, lalu menangkap pejuang kita dalam ISA bagi mengelakkan Malaysia dicap sebagai negara yang mencetak keganasan ke serata dunia.

Sekarang bukan lagi zaman Ahmad Zahid bersikap takut-takut lagi. Dan tugas kita untuk menyedarkan Ahmad Zahid mengenai usulnya mengenai pakatan ketenteraan Islam itu.

Rakyat telah lama sedar. Masyarakat antarabangsa telah lama bangkit. Yang kita tunggu ialah nyalaan lampu hijau Ahmad Zahid berhubung sikapnya yang jelas ke atas ancaman Zionis itu. Derma darah, wang pun sudah, hanya Ahmad Zahid yang perlu bangkit!

Sekian ... menulis panjang-panjang pun tiada ertinya jika kita tidak bertindak. Saya bosan mendengar seruan khaibar ya yahud dan melihat api yang meratah bendera Zionis Israel. Sekadar bertanya ... mahukah jika kita aturkan pertemuan; melobi Ahmad Zahid?

Saudara ...

Sepotong kaki saudara kita kini telah pun berada di dalam syurga. Di manakah hati kita melayang sekarang? Masihkah ia terbang melayang di dunia atau hati kita sedang terbang melayang bagaikan burung yang bertenggek di atas ranting-ranting pepohon di syurga?

Apa-apa pun.. terima kasih dan sekalung penghargaan kerana telah mengungkapkan suatu perkataan yang benar-benar mematahkan hati saya petang tadi di Bangunan Mara, Jalan Raja Laut.

Memang hati terpukul mendengarnya. Pipi terasa ditampar keras! Dalam perjalanan pulang ke rumah, air mata pun menitik laju lalu mengalir deras!

Sehingga kita bertemu lagi.. Insya Allah Ta'ala ..

8:22 p.m, 6 Mei
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Pandangan dan maklumbalas boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.

From:HarakahDaily.Net

0 comments: