THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Saturday, November 14, 2009

Sejambak Mawar Merah Buat Muslimat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pemurah


Muslimat yang dikasihi,

Jadikanlah pesanan ini sebagai pencetus kepada nadi perjuangan kita. Ingatlah tiada istilah perjuangan jika tiada ujian dari Allah s.w.t. Jika jalan menegakkan kalimah suci Allah yang muslimat canaikan ini terlalu mudah untuk diperolehi, maka berhati-hatilah…pasti ada yang tidak kena di situ.

Sunnah perjuangan tiada hamparan permaidani merah menanti kita, atau paluan kompang yang membanggakan kita, tetapi cercaan, sindiran dan seksaan itulah yang harus kita hadapi sebagai saham kita di hadapan Allah kelak. Oleh itu aspek tarbiah sangat penting dalam membina sof gerakan Islam. Kita tiada pilihan lain selain mempersiapkan dan melengkapkan diri dengan segala ilmu asas yang merujuk terus kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber utama. Nun jauh di ceruk-ceruk kampung dan hutan batu di Bumi Sarawak ini, masyarakat menanti kehadiran kita dengan tanggungjawab sedia terhidang untuk kita garap dengan penuh rasa keinsafan.

Kita perlulah mempunyai peribadi yang berpandangan jauh dalam menangani cabaran zaman teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin canggih. Seharusnya kita ceduk segala ilmu ini untuk memastikan kita tidak akan terpinggir serta tertinggal dalam membawa agenda dakwah muslimat. Ta’awwun (saling bantu-membantu) dan ukhuwah, itulah antara tunjang sof jamaah yang akan kita terapkan dengan sikap saling berhubungan antara satu sama lain untuk bertukar pandangan dan saling nasihat-menasihati di antara kita.


Sedarkah kita selama ini kita terlalu suka bermain-main dengan perasaan kita dan masalah yang kita ciptakan sendiri? Walhal paluan gendang jihad telah lama berbunyi menyeru kita ke medan perjuangan membela agama Allah. Tiada siapa yang harus diharapkan dalam misi menegakkan panji-panji Allah ini. Kalau bukan kita siapa lagi?

Bagaimana mungkin kita mampu memimpin ummah ke jalan yang bersih dan benar sedangkan kita sebagai penggerak dan pendakwah masih mempunyai ciri-ciri yang dibelenggu oleh nafsu yang tidak baik dan masih tidak terlepas dari sikap-sikap yang sebenarnya bertentangan dengan Islam itu sendiri. Asy-Syahid Abdul Kadir Audah pernah menukilkan bahawa, ‘Umat akan terpesong bukan sahaja kerana mereka jahil tetapi kerana mereka dipimpin oleh ulama’ yang lemah.’


Buat akhirnya kita ingin melahirkan muslimat yang mempunyai sifat-sifat hizbullah, mencintai Allah melebihi segala-galanya. Bagai tergambar di ruang mata, bagaimana Siti Hajar berlari-lari dari Sofa ke Marwah, dari Marwah ke Sofa. Ditinggalkan sendirian di padang pasir kontang oleh suaminya Nabi Ibrahim a.s tanpa bekalan, melainkan sebuah keyakinan…inilah PENGORBANAN, sebagai bukti kecintaan!


Harus kita tunduk menginsafi diri…Apakah pula bukti kecintaan kita kepada-Nya??