Alhamdulillah fi kulli hal, saya masih lagi menghirup udara dalam Islam dan iman sehingga hari ini. Selawat dan salam buat rasulullah s.a.w junjungan tercinta, moga jejak baginda kita ikuti hingga akhir hayat.
Lama benar 'teratak' ini bersawang, tiada sebab, tiada alasan kenapa teratak ini begitu lama sepi...hanya semangat hilang seketika lantaran banyak benar perkara-perkara yang menguji rasa, menggoyah jiwa berlaku akhir-akhir ini...Namun alhamdulillah, tidak dibiar lama suram, jiwa dan rasa ini kembali bercahaya kini. Alhamdulillah...Kekalkanlah Ya Allah...Buat pembaca-pembaca pengunjung ziarah yang dirahmati, terimalah cerpen yang sangat menyentuh hati ini.
CERPEN : Saya Sudah Bertunang
Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.
Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.
Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.
Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.
Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.
"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"
Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."
"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."
"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."
Ibu angguk perlahan.
Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.
Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.
"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"
Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.
"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."
Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.
"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"
Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.
"Bila enti menikah?"
Aku tiada jawapan khusus.
"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.
"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.
"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.
"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."
Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...
"Usah berlebihan ya..."
Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.
"Insyirah, jom makan!"
Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.
"Tafaddal, ana puasa."
Sahabiah juga semakin galak mengusik.
"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"
"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."
Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.
.......................................
"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."
"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."
"Ya Allah, tenangnya..."
"Moga Allah memberkatinya...."
Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.
Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.
Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.
Dalam sedar tidak sedar...
Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.
"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."
Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...
"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"
Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."
"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.
"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."
Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.
"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."
"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."
Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.
"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."
** Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.**
~ Kullu nafsin za'iqatul maut ~
Insyirah Soleha,
19 Januari 2010
Baiti
Sumber: http://www.bicaramuslim.com/bicara7/viewtopic.php?f=18&t=8051&st=0&sk=t&sd=a&start=1320
Thursday, June 24, 2010
Saya Sudah Bertunang
Posted by Jihad at 2:00 PM 2 comments
Saturday, March 13, 2010
Kepimpinan dan Krisis Hati
Pengalaman mengendalikan salah satu program pada masa cuti yang lepas memberikan satu pengajaran yang sangat besar dalam hidup saya. Ya...tentang hati dan sikap para pemimpin. Etika kepimpinan memerlukan seorang pemimpin itu bersikap adil, telus, menghargai orang yang dipimpin dan yang paling penting sebagai orang yang beragama Islam, seorang pemimpin itu mestilah mencontohi kepimpinan Rasulullah s.a.w. Bagaimanakah kepimpinan Rasulullah s.a.w itu?
Satu teras yang paling utama yang ingin saya fokuskan di sini ialah konsep syura atau dalam bahasa ibunda kita disebut mesyuarat atau lebih ringkas untuk ditafsirkan sebagai perbincangan. Kenapa saya kaitkan kepimpinan, budaya sentiasa berbincang dan krisis hati? Bukankah hati itu peribadi sifatnya? Hati itu keadaannya hanya diketahui sang empunya hati sahaja. (Selain Allah Yang Maha Mengetahui). Sihatkah ia...sakitkah ia...selagi tidak dizahirkan, selagi itulah khabar hati itu menjadi satu rahsia yang sangat sulit. Ok...berbalik kepada pengajaran besar yang saya dapat ketika program tersebut.
Berlaku pada program yang lepas sikap pemimpin yang suka membuat keputusan tanpa berbincang. Benar...keputusan yang dibuat tidaklah mendatangkan keburukan, tetapi kepada pemimpin yang sebegini, hormatilah organisasi yang anda pimpin, lebih-lebih lagi organisasi yang membawa agenda Islam, amat malulah jika pemimpinnya meninggalkan konsep syura yang menjadi teras dalam kepimpinan Rasulullah s.a.w itu sendiri hatta dalam sekecil-kecil perkara.
Mungkin anda merasakan sesuatu keputusan itu patut, tapi ingatlah, organisasi ini bukan hanya ada anda seorang. Mungkin anda rasa pangkat dan jawatan anda itu memberikan anda kuasa veto...tapi itu bukan jaminan anda sentiasa betul. Sebab itu pimpinan dan ahli perlu sentiasa berbincang...berbincang dan terus berbincang...
Kesan kepada ahli dalam organisasi yang tidak mengambil berat konsep syura ini adalah krisis hati...rasa marah, rasa geram, tidak puas hati...lebih parah ia boleh membawa benci dan dendam terhadap pemimpin sebegini. Kita maklum, selaku individu yang mempunyai kesedaran untuk mendaulatkan agama Islam, wala' kepada pemimpin itu satu kewajipan. Tetapi alangkah peritnya mentarbiah hati agar menyerahkan wala' pada seorang yang dibenci. Jika diluah segala rasa yang negatif, bimbang mendatangkan dosa mengumpat, dipendam pula akan menjadi satu barah dalam jiwa. Cara terbaik adalah memberikan teguran. Tetapi tidak semua ahli mempunyai keberanian sebegitu rupa lebih-lebih lagi kalau ahli itu berada di hierarki paling bawah, hanya ahli biasa. Lagikan seorang makmum dikira tidak sah solat jemaahnya bila solat itu diimamkan oleh seseorang yang dia benci, inikan pula dalam soal kepimpinan. Lantas terheretlah ahli tersebut dalam krisis hati yang berpanjangan. Di wajah terukir senyuman manis tapi di hatinya berperang dengan mazmumah yang menggila. Mujahadah demi mujahadah dilakukan...wajarkah pimpinan membiarkannya tanpa menghisab dirinya sendiri bahawa beban hati ini adalah berpunca dari dirinya?
Dan saya melihat dengan mata hati saya selaku insan kerdil ini, inilah antara punca gerak kerja Islam kelihatan sumbang. Pejuang-pejuangnya mempunyai krisis hati yang pelbagai dan amat parah. Puncanya hanyalah satu perkara yang 'simple'....sangat 'simple' iaitu hilangnya budaya saling berbincang. Haruskah dipersalahkan orang yang dipimpin kerana membiarkan hati sarat mazmumah? Membenci pemimpin dek kerana pemimpin suka membuat keputusan ikut kepala sendiri? Atau haruskah disalahkan pemimpin yang menjadi indikator kepada krisis hati ini?
Hakikatnya kita tidak perlu salahkan sesiapa, tetapi kita perlukan perubahan. Baik pemimpin mahupun ahli bawahan, kembalilah kepada sirah kepimpinan Rasulullah s.a.w. Hayatilah lembaran demi lembaran betapa agungnya akhlak insan agung itu dalam berorganisasi. Lapangkanlah hati dan minda kita untuk sentiasa belajar dan di ajar...belajar menerima teguran, belajar mengubah sikap, dan belajar bagaimana berakhlak dalam organisasi.
Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang boleh menyatukan hati ahli-ahlinya, mempunyai 'sense' untuk sentiasa menghargai ahli bawahan kerana setiap jiwa manusia sebenarnya inginkan penghargaan yang memadai dengan diminta satu pendapat. Caranya? PERBINCANGAN. Sehingga kalau ahli berprasangka kepada pimpinan, prasangka yang datang itu hanyalah yang baik sahaja. Kerana hati itu sangat rumit sifatnya...
Posted by Jihad at 7:15 PM 0 comments
Saturday, February 27, 2010
SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PASTI KAWASAN PETRA JAYA
“Sallallahu ‘ala Muhammad, Sallallahu ‘alaihi wasallam
Sallallahu ‘ala Muhammad, Sallallahu ‘alaihi wasallam”
Ya Rasulallah, Ya Habiballah…kami rindu padamu..
Begitulah antara bait-bait selawat dan kalimah yang terdengar semasa Sambutan Maulidur Rasul PASTI Kawasan Petra Jaya yang telah diadakan pada hari Sabtu, 27 Februari 2010 di Dewan Sanjungan Bestari, Matang Jaya.
Gembira, teruja..tidak dapat di ungkap rasa hati bila melihat kanak-kanak cilik ini berarak membawa sepanduk sambil berselawat di iringi oleh guru masing-masing. Seawal usia tiga tahun mereka dilatih untuk mengingati Nabi s.a.w, merasai panas terik dan berjalan jauh, manifestasi hijrah Nabi s.a.w demi kemenangan Islam. Sudah tentu kecintaan kepada Nabi s.a.w tidak cukup hanya dengan menyambut Maulidur Rasul, tetapi sunnah baginda yang patut kita hidupkan dalam kehidupan.
Buat santapan mata pengunjung-pengunjung budiman, berikut adalah gambar-gambar sepanjang program. Biarpun julung-julung kali diadakan, kemeriahannya sangat dirasa.
Posted by Jihad at 10:45 PM 0 comments
Friday, February 26, 2010
Cintailah Dia Jadilah Seperti Dia (Mengenang Anak-anak PASTI Insani 2009)
Puteraku,
Siapakah dia
Seorang lelaki yang berwajah tenang
Pembela utama Muhammad Rasulullah
Manusia yang selalu berkata benar pada Nabi
Tanpa bimbang dan ragu
"Engkau benar, engkau benar"
Timbangan imannya
Melebihi timbangan umat manusia
Dari zaman Adam hingga akhir zaman
Dialah Abu Bakar As-Siddiq
Cintailah dia jadilah seperti dia
Puteraku,
Seorang lelaki yang keras dan tegas
Keras dengan musuh Islam
Tegas dengan syariat
Besar kekuatannya
Lurus tujuannya
Beraninya hingga syaitan takut kepadanya
Dialah Umar bin Al-Khattab
Cintailah dia jadilah seperti dia
Puteraku,
Seorang hartawan
Tetapi dermawan
Dunia di tangan bukan di hati
Semuanya dikorbankan untuk Allah, rasul dan perjuangan
Lemah lembut, bertolak ansur
Pemalunya hingga malaikat malu kepadanya
Dialah Uthman bin 'Affan
Cintailah dia jadilah seperti dia
Puteraku,
Kehidupannya penuh kebesaran,
keagungan dan kehebatan
Tetapi bergelombang,
Penuh kesedihan, kepayahan dan kelaparan
Kemiskinan bukan penghalang
Untuk memberi makan
Janda-janda dan anak yatim
Ayah dari kedua cucu Rasulullah
Dialah Ali Bin Abi Talib
Cintailah dia jadilah seperti dia
Serapi '07
"Kami harapan ummah, di PASTI kami di asuh
Pasti PASTI berjaya, pasti PASTI 'kan cemerlang
Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam"
Sumbangan pembaca-pembaca budiman amat di alu-alukan demi meneruskan pendidikan rabbani anak-anak ummah ini. Sumbangan anda boleh di salurkan ke akaun (Sila lihat gambar di bawah) :
Moga sumbangan kalian menjadi saham di akhirat nanti. Fastabiqul khairat!!
Posted by Jihad at 1:41 PM 0 comments