THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Saturday, March 13, 2010

Kepimpinan dan Krisis Hati

Pengalaman mengendalikan salah satu program pada masa cuti yang lepas memberikan satu pengajaran yang sangat besar dalam hidup saya. Ya...tentang hati dan sikap para pemimpin. Etika kepimpinan memerlukan seorang pemimpin itu bersikap adil, telus, menghargai orang yang dipimpin dan yang paling penting sebagai orang yang beragama Islam, seorang pemimpin itu mestilah mencontohi kepimpinan Rasulullah s.a.w. Bagaimanakah kepimpinan Rasulullah s.a.w itu?

Satu teras yang paling utama yang ingin saya fokuskan di sini ialah konsep syura atau dalam bahasa ibunda kita disebut mesyuarat atau lebih ringkas untuk ditafsirkan sebagai perbincangan. Kenapa saya kaitkan kepimpinan, budaya sentiasa berbincang dan krisis hati? Bukankah hati itu peribadi sifatnya? Hati itu keadaannya hanya diketahui sang empunya hati sahaja. (Selain Allah Yang Maha Mengetahui). Sihatkah ia...sakitkah ia...selagi tidak dizahirkan, selagi itulah khabar hati itu menjadi satu rahsia yang sangat sulit. Ok...berbalik kepada pengajaran besar yang saya dapat ketika program tersebut.

Berlaku pada program yang lepas sikap pemimpin yang suka membuat keputusan tanpa berbincang. Benar...keputusan yang dibuat tidaklah mendatangkan keburukan, tetapi kepada pemimpin yang sebegini, hormatilah organisasi yang anda pimpin, lebih-lebih lagi organisasi yang membawa agenda Islam, amat malulah jika pemimpinnya meninggalkan konsep syura yang menjadi teras dalam kepimpinan Rasulullah s.a.w itu sendiri hatta dalam sekecil-kecil perkara.

Mungkin anda merasakan sesuatu keputusan itu patut, tapi ingatlah, organisasi ini bukan hanya ada anda seorang. Mungkin anda rasa pangkat dan jawatan anda itu memberikan anda kuasa veto...tapi itu bukan jaminan anda sentiasa betul. Sebab itu pimpinan dan ahli perlu sentiasa berbincang...berbincang dan terus berbincang...

Kesan kepada ahli dalam organisasi yang tidak mengambil berat konsep syura ini adalah krisis hati...rasa marah, rasa geram, tidak puas hati...lebih parah ia boleh membawa benci dan dendam terhadap pemimpin sebegini. Kita maklum, selaku individu yang mempunyai kesedaran untuk mendaulatkan agama Islam, wala' kepada pemimpin itu satu kewajipan. Tetapi alangkah peritnya mentarbiah hati agar menyerahkan wala' pada seorang yang dibenci. Jika diluah segala rasa yang negatif, bimbang mendatangkan dosa mengumpat, dipendam pula akan menjadi satu barah dalam jiwa. Cara terbaik adalah memberikan teguran. Tetapi tidak semua ahli mempunyai keberanian sebegitu rupa lebih-lebih lagi kalau ahli itu berada di hierarki paling bawah, hanya ahli biasa. Lagikan seorang makmum dikira tidak sah solat jemaahnya bila solat itu diimamkan oleh seseorang yang dia benci, inikan pula dalam soal kepimpinan. Lantas terheretlah ahli tersebut dalam krisis hati yang berpanjangan. Di wajah terukir senyuman manis tapi di hatinya berperang dengan mazmumah yang menggila. Mujahadah demi mujahadah dilakukan...wajarkah pimpinan membiarkannya tanpa menghisab dirinya sendiri bahawa beban hati ini adalah berpunca dari dirinya?

Dan saya melihat dengan mata hati saya selaku insan kerdil ini, inilah antara punca gerak kerja Islam kelihatan sumbang. Pejuang-pejuangnya mempunyai krisis hati yang pelbagai dan amat parah. Puncanya hanyalah satu perkara yang 'simple'....sangat 'simple' iaitu hilangnya budaya saling berbincang. Haruskah dipersalahkan orang yang dipimpin kerana membiarkan hati sarat mazmumah? Membenci pemimpin dek kerana pemimpin suka membuat keputusan ikut kepala sendiri? Atau haruskah disalahkan pemimpin yang menjadi indikator kepada krisis hati ini?

Hakikatnya kita tidak perlu salahkan sesiapa, tetapi kita perlukan perubahan. Baik pemimpin mahupun ahli bawahan, kembalilah kepada sirah kepimpinan Rasulullah s.a.w. Hayatilah lembaran demi lembaran betapa agungnya akhlak insan agung itu dalam berorganisasi. Lapangkanlah hati dan minda kita untuk sentiasa belajar dan di ajar...belajar menerima teguran, belajar mengubah sikap, dan belajar bagaimana berakhlak dalam organisasi.

Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang boleh menyatukan hati ahli-ahlinya, mempunyai 'sense' untuk sentiasa menghargai ahli bawahan kerana setiap jiwa manusia sebenarnya inginkan penghargaan yang memadai dengan diminta satu pendapat. Caranya? PERBINCANGAN. Sehingga kalau ahli berprasangka kepada pimpinan, prasangka yang datang itu hanyalah yang baik sahaja. Kerana hati itu sangat rumit sifatnya...