Alhamdulillah, segala puji bagi-Mu Allah. Juga selawat dan salam buat Rasul tercinta, ahli keluarga baginda juga ummat Islam seluruhnya.
Alhamduliillah natijah latihan mengajar telah diketahui. Alhamdulillah thumma (kemudian) alhamdulillah. Dalam perit, dalam pedih, dalam rintih yang berpanjangan, segalanya telah dilalui. Dari Allah juga sumber segenap kekuatan. Natijah ini mengundang air mata. Bukan air mata gembira kerana saya telah berjaya dengan cemerlang. Khali, saya pun sebetulnya tidak pasti air mata apakah ini.
Saya, seperti juga sahabat-sahabat yang lain mengimpikan pengalaman manis dan indah sepanjang menempuh fasa latihan mengajar. Masing-masing bersemangat ingin mempraktikkan ilmu yang dipelajari di bilik-bilik kuliah kepada anak-anak didik di sekolah nanti. Tapi ujian Allah datang tanpa kita bersedia. Umpama tsunami yang datang tanpa amaran. Begitu takdir yang telah tercatat di atas kanvas hidup saya. Takdir yang telah Allah tetapkan semenjak saya di alam roh lagi dan kini saya meniti di atas takdir itu dengan doa dan harapan yang tidak pernah putus, apapun yang berlaku, hingga nyawa saya sekalipun dipertaruhkan, janganlah cinta saya kepada-Nya pudar dan padam. Hanya itu harapan saya, hanya itu dan hanya itu. Tiada harapan lain.
Dalam lemah kudrat seorang hamba yang cenderung merasa resah gelisah bila di uji, saya masih cuba mencungkil hikmah dari apa yang berlaku. Sebetulnya sangat susah untuk saya mempositifkan fikiran, mencari hikmah dalam mehnah. Mungkin itulah sebabnya semangat saya yang ingin berkongsi 'ibrah kian luntur, ilham dan idea untuk menulis juga tidak muncul-muncul. Fikiran saya hanya fokus pada perkara yang satu ini, dan perkara yang satu inilah yang membuatkan seluruh kehidupan saya seolah-olah terhenti. Dahsyat bukan. Itulah ujian, datang tanpa kita bersedia. Kerana saya hanya seorang hamba yang lemah iman-Nya. Mencari dan terus mencari cinta Tuhannya.
**********************************************************************************
Hari kedua saya dan sahabat saya datang ke sekolah untuk melihat-lihat keadaan sekolah, kami terus memutuskan untuk terus mencari rumah sewa atau sekurang-kurangnya pun bilik sewa. Bertanya ke sana ke mari, usaha kami tidak berjaya. Tiada satu rumah pun yang ada untuk disewa di kawasan tersebut. Hati berdoa, mohon Allah berikan bantuan. Kami tidak punya banyak masa untuk mencari rumah sewa memandangkan kami sedang dalam minggu peperiksaan. Lebih-lebih lagi peperiksaan yang menanti kami adalah peperiksaan subjek Fiqh al-Muamalat, yang mana ramai sahabat-sahabat kecundang dalam subjek tersebut. Apa lagi di pihak saya, subjek tersebut ada kisah tersendiri yang mengundang resah di jiwa.
Akhirnya, setelah penat berusaha kami berjaya mendapatkan sebuah bilik sewa dalam sebuah rumah yang dikongsi bersama dengan satu pasangan berbangsa India dan seorang warga Indonesia. Kerana sudah tiada pilihan lain, mahu tidak mahu kami terpaksa memilih untuk menyewa bilik tersebut. Perbincangan dibuat antara saya dan sahabat saya, apa penyelesaian yang ada memandangkan Islam tidak membenarkan wanita Muslimah untuk tinggal sebumbung dengan lelaki bukan mahram lebih-lebih lagi yang bukan Islam. Setelah berbincang, mencari solusi, dengan muktamad kami akan menyewa di bilik tersebut. Mujur si suami yang berbangsa India ini hanya pulang ke rumah pada hujung minggu. Jadi setiap hujung minggu kami menumpang di rumah sahabat yang lain.
4 Mei 2009, selesailah semua peperiksaan yang perlu di ambil untuk meraih segulung Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam. Lega hati tidak terkira, masa untuk berikhtiar telah tamat. Kini adalah tempoh untuk bertawakal. Belum hilang penat memerah otak dalam dewan peperiksaan, kami mula berpindah ke Desa Tasik. Saat ini air mata saya tidak henti-henti mahu keluar. Ujian yang satu itu terlalu menguji rasa. Tabahlah hati, wahai iman, pujuklah diri agar terus mampu tahan di uji.
Sampai di rumah yang dimaksudkan, dengan barang-barang yang begitu banyak, kami melemparkan senyuman kepada ahli rumah, kakak yang berbangsa India itu sedang bersembang bersama ibunya. Mujur pintu rumah sedia terbuka. Agak janggal menjadi tetamu tanpa mengucapkan salam terlebih dahulu. Mereka terkejut dengan kehadiran kami! Saya lebih terkejut melihat reaksi tersebut!
"Kenapa tak beritahu dulu nak datang?" Soal makcik India tersebut dengan 'telor' Indianya yang susah difahami.
"Kan kami dah cakap hari tu kami confirm nak sewa bilik kat rumah ni?" Jawab sahabat saya.
"Tak, you kena call. Confirmkan dulu. You tak bayar pun duit deposit hari tu. Mana boleh. Ni ada orang lain dah sewa kat sini," Bidas makcik.
Nah, seperti ada batu besar menghempap kepala saya. Malam semakin lewat. Tiada siapa yang kami kenali di kawasan tersebut. Ke mana kami harus membawa diri? Barang-barang kami yang banyak ini hendak disimpan di mana? Esok adalah hari pertama kami perlu memulakan latihan mengajar...Otak saya tidak mampu berfikir.
"Tak apalah, kamu boleh menyewa di sini. Penyewa bilik yang lagi satu ni pun dah lama tak balik. Duit sewa bulan ni pun dia tak bayar lagi." Kata-kata kakak India memecah suasana.
Dia terus mengeluarkan barang-barang yang ada dalam bilik tersebut dan membenarkan kami untuk masuk. Alhamdulillah, lega...
"Usah kau biarkan segala kelemahan menghampiri
Hindari semua kesamaran semalam
Kerana apabila kau percaya
Jiwamu lebih bersedia
Tiba masanya akan kau sedar kau berupaya"
Thursday, July 16, 2009
Mengutip 'Ibrah (Bahagian 4)
Posted by Jihad at 2:19 PM 0 comments
Labels: 'Ibrah Hidup
Saturday, July 11, 2009
Mengutip 'Ibrah (Bahagian 3)
10 Julai 2009 - 6:45 petang
Merdeka!
Eh, betul ke merdeka? Bukan merdeka, tapi saat ini tamatlah status saya sebagai seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya. (Confirm ke? Wallahu a'lam, semoga dipermudahkan Allah segalanya. Mohon didoakan.)
Sedih ada, sebak ada, berat hati ada, lega ada, erm...macam-macam perasaan bercampur-baur hingga tak tahu nak rasa yang mana satu. SMK BTS akan dikenang sampai bila-bila. Pelajar-pelajar yang baik, guru-guru yang baik, semuanya lancar sepanjang praktikal di SMK BTS ini, terima kasih kepada semua...
Tapi....ha...ada tapinya. Saya dan sahabat saya ditakdirkan dapat sekolah yang serba-serbi baik, tapi kisah 'rumah tangga' kami sangat menguji rasa. Hari pertama berlaku peristiwa yang akhirnya saya berkata kepada sahabat saya, "Mujurlah kita dibenarkan masuk. Kalau tak, mana lah kita nak tidur malam ni. Dah lah esok mula paktikal." Nak tahu ceritanya? Tungguuu....
Menyewa bilik di rumah orang India, satu pengalaman yang baru dan mencabar bagi kami. Sebulan menetap di rumah tersebut, berlaku lagi peristiwa yang menggoncang 'rumah tangga' kami...Akhirnya kami memutuskan untuk pindah rumah. Nak tahu apa peristiwa tu? Tungguuu...
Banyak adegan terkejut dan tersentak dalam 'rumah tangga' sepanjang melalui tempoh praktikal ini. Insya Allah akan dicoret di sini buat kenangan sepanjang hayat. Moga-moga 'ibrah ini jadi bekalan, buat meniti perjalanan panjang kembara hidup sebagai seorang insan yang mengaku beTuhan.
Posted by Jihad at 1:53 AM 0 comments
Labels: 'Ibrah Hidup
Wednesday, July 8, 2009
ISA Memisahkan 'Ahli-ahli Syurga' Itu...
Azamin Amin
Wed | Jul 08, 09 | 11:24:09 am MYT
Selepas subuh, Fathur Rahman Al- Ghazi, 4 tahun, sudah cantik bergaya, tidak sabar berjumpa ayahnya. Di tangannya beberapa helai kertas kosong dan sekotak pensil warna digenggam kemas.
Nak ayah lukis, lepas itu adik warnakan, beritahu Fathur kepada ibunya.
Untuk bertemu ayahnya yang terindu, Fathur dan ibunya terpaksa menempuh perjalanan sejauh 350 kilometer dari Simpang Durian, Negeri Sembilan ke Kem Kamunting Taiping, Perak dengan menaiki bas.
Perjalananan selama lebih lima jam itu, membuatkan sesekali si kecil ini merengek lapar dan merasakan terlalu lama.
"Lama lagi ke mak?," katanya tidak sabar untuk bertemu ayahnya. Sudah berkali-kali menyapa soalan yang sama, akhirnya si comel ini terlena di pangkuan ibunya.
Lewat petang, dua beranak ini muncul di bilik berpintu besi itu dengan mata yang sudah mula berkaca. Fathur terus memeluk ayahnya, lantas meminta melukiskan gambar pada cebisan-cebisan kertas kosong yang dibawanya.
Setelah ayahnya siap melakarkan gambar-gambar menarik, Fathur mula mewarnakannya dengan penuh khusyuk, penuh semangat dan penuh ceria. Sementara Fathur khayal dan asyik dengan kerjanya, si ibu dan sang ayah mula melabuhkan rindu, bertukar-tukar cerita dan berkongsi duka lara untuk seketika.
"Masa cukup!" Jerkah pengawal yang berada di sisi keluarga tiga beranak ini. Tersentak ketiga-tiganya lantaran, masa membungkam rindu diberikan 45 minit semata-mata.
Setelah seronok mewarnakan lukisan ayahnya itu kini semangat riangnya Fathur mula berkecai ketika ibunya menyapa lembut untuk pulang meninggalkan ayahnya.
Hidayu Kamrulzaman, 25 cuba memujuk si kecil Fathur agar melepaskan dakapan erat di tubuh sang ayah. Meronta-ronta, disusuli esak tangisnya lantas dibelai ayahnya semula dengan nada sayu.
"Nanti ayah balik ya. Ayah ada kerja..." kata ayahnya sambil merungkai perlahan-lahan jemari halus anaknya itu yang mencengkam tidak mahu melepaskan pergi.
Itu rakaman kisah benar yang diceritakan sendiri oleh ibunya, ketika saya mengunjungi keluarga mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) setahun yang lalu ketika menggalas tugas wartawan.
Saya tidak dapat membayangkan betapa tersiatnya hati seorang anak kecil apabila dipisahkan daripada ayahnya. Ya, 'ahli-ahli syurga' yang tidak berdosa ini tidak mengerti apa-apa.
"Bayangkanlah ketika melihat orang lain bermanja dengan ayah mereka, dia bertanya saya mengapa ayahnya tiada di sisi apatah lagi pada hari raya nanti,"kata Hidayu sayu sambil memangku anak bongsunya Ubaidah Al-Harith, 1 manakala anak keduanya Uwais Al-Qarani, 3 rancak bermain dengan si abang, Fathur.
"Saya tak mampu nak bawa ketiga-tiga mereka. Saya bawa seorang sahaja, bergilir-gilir setiap kali pergi melawat. Tambahan pula naik bas dari sini," jelasnya sambil didatangi Fathur dan Uwais ke riba saya.
Saya cuba menahan sebak dan memalingkan muka ke arah lain tatkala si abang mula memegang baju bucu seluar saya lalu bersuara lembut " Acik, bawa balik ayah ya...?"
Di dalam kereta, bercucuran air mata saya, berderai laju....
'Bencikah ayah kepada saya...?'
Tanggal 27 September tahun lalu turut membawa saya ke sebuah rumah di Kampung Sg. Tiram, Johor, menyelami derita seorang kanak-kanak perempuan Hawa Baraah Zakaria, 7 tahun yang 'kehilangan' ayahnya secara tiba-tiba, seminggu selepas hari raya beberapa tahun yang lalu.
Hawa, ketika saya tiba bersama rakan-rakan yang lain, kelihatan pucat lesi. Matanya buntang melihat begitu ramai mengunjungi rumah kecilnya itu. Dia mengesyaki seolah-olah saya akan membawa 'pergi' ibunya sama seperti ayahnya juga.
Lantas, dalam keadaan kelihatan canggung dan takut-takut terus merapati sambil tangannya tak lekang dari jemari ibunya. Tidak ada senyuman diraut wajahnya nan comel itu.
"Maafkan anak saya ini. Dia takut-takut sejak dari penahanan ayahnya itu sehingga dia merasakan ada orang nak memisahkan antara saya dan dia," kata ibunya, Saodah Matin, 26.
"Jika saya keluar atau mengajar, dia sangkakan yang saya nak tinggalkan dan membenci dirinya.
"Dulu dia salahkan ayah kerana tinggalkan dia...," jelas Saodah yang kelihatan tenang dari raut matanya.
Akibat dari trauma dan ketakutan yang amat sangat, Hawa tidak pernah bersekolah sedangkan rakan sebayanya sudah berada di dalam darjah satu. Tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran, Saodah terpkasa mengupah guru mengajar di rumahnya dengan bayaran RM200 sebulan.
"Saya sendiri tidak bekerja sebab anak takut nak berpisah. Ayah, mak, jiran dan rakan-rakanlah yang banyak membantu menyara mana yang mampu keperluan kami ini," katanya kepada saya, yang sudah berlain rasa.
Tarikh yang sama, saya menemui pula sebuah keluarga bekas pensyarah Institusi Pengajian Tinggi Awam, yang turut menjadi mangsa akta ISA ini.
"Suami dan menantu saya ditahan pada Januari 2002 sebelum menunaikan solat subuh. Rumah kami digeledah sementara kami sekeluarga diarah duduk di anjung rumah bersama anak-anak yang lain," kata Zakiah Mat menceritakan trauma enam tahun lalu.
Wajahnya yang kelam dan tunduk ketika ditanya menzahirkan segala kesusahan yang dirasai. Menampung kehidupan, isteri pensyarah ini membuat dan menjual kuih 'Tepung Pelita' sekitar kawasan perumahannya.
"Mujurlah ada juga jiran yang bersimpati. Mereka hantar anak-anak mereka untuk saya jaga dan dengan cara itu mereka beri bantuan dana sedikit sebanyak," katanya yang tidak bercadang untuk melawat suaminya atas faktor kewangan.
"Mana-mana anak yang dah besar dan mampu, mereka pergi sendiri melawat ayah mereka di Taiping. Saya kena teruskan kehidupan dan tampung perbelanjaan keluarga seharian di sini," katanya menahan air matanya tumpah.
Ya, seorang demi seorang anak-anak hilang kasih sayang, lantaran akta padah ini. Mereka 'ahli-ahli syurga' yang dicengkam derita dan terpaksa melalui kehidupan sengsara, tidak seperti rakan-rakan yang lain yang riang gembira.
Bermain-main, bersenda-loka dan memeluk erat tubuh ayah, suatu nikmat seorang anak yang dianugerahkan tuhan kepada 'ahli-ahli syurga' ini.
Si kecil ini tidak pernah mahu apa-apa melainkan, ada ayah di sisi di kala malam hari, di waktu lepas sekolah siang hari dan tatkala tiba Syawal nanti.
Namun itu hanyalah mimpi, selagi pengubal, pencipta, pemimpin dan pelaksana akta ini tidak pernah ambil peduli.
Letakkanlah, diri kita di tempat mereka atau bagaimana anak-anak kita, seperti mereka?
Dan soalan bertali arus ini tidak pernah putus dari ingatan selagi Akta ini masih ada di depan mata. - azm
(Segala kritikan, teguran dan pandangan bolehlah dimajukan kepada saya di azaminamin@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya ) --------------------------------------------------------------------------------
- Bantu mereka yang teraniaya hulurkanlah tangan untuk meringankan beban keluarga mangsa tahanan ISA. Sila salurkan derma ikhlas anda ke akaun Maybank HARAKAHDAILY DOT COM bernombor 5640 7000 0336
- Himpunan raksasa menuntut masuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dijadualkan 1 Ogos depan di ibu kota. Tunjukkan sokongan anda. _
Posted by Jihad at 10:36 PM 0 comments
Labels: Inzar