THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Thursday, July 16, 2009

Mengutip 'Ibrah (Bahagian 4)

Alhamdulillah, segala puji bagi-Mu Allah. Juga selawat dan salam buat Rasul tercinta, ahli keluarga baginda juga ummat Islam seluruhnya.

Alhamduliillah natijah latihan mengajar telah diketahui. Alhamdulillah thumma (kemudian) alhamdulillah. Dalam perit, dalam pedih, dalam rintih yang berpanjangan, segalanya telah dilalui. Dari Allah juga sumber segenap kekuatan. Natijah ini mengundang air mata. Bukan air mata gembira kerana saya telah berjaya dengan cemerlang. Khali, saya pun sebetulnya tidak pasti air mata apakah ini.

Saya, seperti juga sahabat-sahabat yang lain mengimpikan pengalaman manis dan indah sepanjang menempuh fasa latihan mengajar. Masing-masing bersemangat ingin mempraktikkan ilmu yang dipelajari di bilik-bilik kuliah kepada anak-anak didik di sekolah nanti. Tapi ujian Allah datang tanpa kita bersedia. Umpama tsunami yang datang tanpa amaran. Begitu takdir yang telah tercatat di atas kanvas hidup saya. Takdir yang telah Allah tetapkan semenjak saya di alam roh lagi dan kini saya meniti di atas takdir itu dengan doa dan harapan yang tidak pernah putus, apapun yang berlaku, hingga nyawa saya sekalipun dipertaruhkan, janganlah cinta saya kepada-Nya pudar dan padam. Hanya itu harapan saya, hanya itu dan hanya itu. Tiada harapan lain.

Dalam lemah kudrat seorang hamba yang cenderung merasa resah gelisah bila di uji, saya masih cuba mencungkil hikmah dari apa yang berlaku. Sebetulnya sangat susah untuk saya mempositifkan fikiran, mencari hikmah dalam mehnah. Mungkin itulah sebabnya semangat saya yang ingin berkongsi 'ibrah kian luntur, ilham dan idea untuk menulis juga tidak muncul-muncul. Fikiran saya hanya fokus pada perkara yang satu ini, dan perkara yang satu inilah yang membuatkan seluruh kehidupan saya seolah-olah terhenti. Dahsyat bukan. Itulah ujian, datang tanpa kita bersedia. Kerana saya hanya seorang hamba yang lemah iman-Nya. Mencari dan terus mencari cinta Tuhannya.

**********************************************************************************

Hari kedua saya dan sahabat saya datang ke sekolah untuk melihat-lihat keadaan sekolah, kami terus memutuskan untuk terus mencari rumah sewa atau sekurang-kurangnya pun bilik sewa. Bertanya ke sana ke mari, usaha kami tidak berjaya. Tiada satu rumah pun yang ada untuk disewa di kawasan tersebut. Hati berdoa, mohon Allah berikan bantuan. Kami tidak punya banyak masa untuk mencari rumah sewa memandangkan kami sedang dalam minggu peperiksaan. Lebih-lebih lagi peperiksaan yang menanti kami adalah peperiksaan subjek Fiqh al-Muamalat, yang mana ramai sahabat-sahabat kecundang dalam subjek tersebut. Apa lagi di pihak saya, subjek tersebut ada kisah tersendiri yang mengundang resah di jiwa.

Akhirnya, setelah penat berusaha kami berjaya mendapatkan sebuah bilik sewa dalam sebuah rumah yang dikongsi bersama dengan satu pasangan berbangsa India dan seorang warga Indonesia. Kerana sudah tiada pilihan lain, mahu tidak mahu kami terpaksa memilih untuk menyewa bilik tersebut. Perbincangan dibuat antara saya dan sahabat saya, apa penyelesaian yang ada memandangkan Islam tidak membenarkan wanita Muslimah untuk tinggal sebumbung dengan lelaki bukan mahram lebih-lebih lagi yang bukan Islam. Setelah berbincang, mencari solusi, dengan muktamad kami akan menyewa di bilik tersebut. Mujur si suami yang berbangsa India ini hanya pulang ke rumah pada hujung minggu. Jadi setiap hujung minggu kami menumpang di rumah sahabat yang lain.

4 Mei 2009, selesailah semua peperiksaan yang perlu di ambil untuk meraih segulung Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam. Lega hati tidak terkira, masa untuk berikhtiar telah tamat. Kini adalah tempoh untuk bertawakal. Belum hilang penat memerah otak dalam dewan peperiksaan, kami mula berpindah ke Desa Tasik. Saat ini air mata saya tidak henti-henti mahu keluar. Ujian yang satu itu terlalu menguji rasa. Tabahlah hati, wahai iman, pujuklah diri agar terus mampu tahan di uji.

Sampai di rumah yang dimaksudkan, dengan barang-barang yang begitu banyak, kami melemparkan senyuman kepada ahli rumah, kakak yang berbangsa India itu sedang bersembang bersama ibunya. Mujur pintu rumah sedia terbuka. Agak janggal menjadi tetamu tanpa mengucapkan salam terlebih dahulu. Mereka terkejut dengan kehadiran kami! Saya lebih terkejut melihat reaksi tersebut!

"Kenapa tak beritahu dulu nak datang?" Soal makcik India tersebut dengan 'telor' Indianya yang susah difahami.

"Kan kami dah cakap hari tu kami confirm nak sewa bilik kat rumah ni?" Jawab sahabat saya.

"Tak, you kena call. Confirmkan dulu. You tak bayar pun duit deposit hari tu. Mana boleh. Ni ada orang lain dah sewa kat sini," Bidas makcik.

Nah, seperti ada batu besar menghempap kepala saya. Malam semakin lewat. Tiada siapa yang kami kenali di kawasan tersebut. Ke mana kami harus membawa diri? Barang-barang kami yang banyak ini hendak disimpan di mana? Esok adalah hari pertama kami perlu memulakan latihan mengajar...Otak saya tidak mampu berfikir.

"Tak apalah, kamu boleh menyewa di sini. Penyewa bilik yang lagi satu ni pun dah lama tak balik. Duit sewa bulan ni pun dia tak bayar lagi." Kata-kata kakak India memecah suasana.

Dia terus mengeluarkan barang-barang yang ada dalam bilik tersebut dan membenarkan kami untuk masuk. Alhamdulillah, lega...

"Usah kau biarkan segala kelemahan menghampiri
Hindari semua kesamaran semalam
Kerana apabila kau percaya
Jiwamu lebih bersedia
Tiba masanya akan kau sedar kau berupaya"

0 comments: