Alhamdulillah ‘ala kulli hal, saya masih lagi bernafas pada hari ini, masih lagi menghirup udara dunia dalam iman dan Islam, Alhamdulillah.
Selawat dan salam buat kekasih yang sentiasa dirindu, Rasulullah s.a.w, yang telah lama meninggalkan kita umatnya…namun baginda tinggalkan kepada kita warisan yang tidak ternilai harganya, Al-Quran dan sunnah baginda. Susuk peribadi agung itu akan sentiasa dikenang, sentiasa terbayang di ruang mata dalam meniti perarakan perayaan iman yang tak pernah putus-putus ini, itulah dia perjuangan Islam, demi menegakkan daulah dan khilafah Islam.
Sedang saya mengemas buku-buku yang baru sahaja ‘diterbangkan’ dari perlembahan ilmu Kuala Lumpur, ke ceruk kampung yang tersorok di belantara hijau ini, saya terjumpa cebisan-cebisan kertas berisi untaian kalam, suara hati tatkala berjuang di rantau orang. Ingin saya kongsikan kepada pembaca sekalian, moga ada manfaatnya untuk kita bersama.
Entah kenapa malam ini mata saya terlalu segar…hati meronta-ronta untuk mencoretkan sesuatu…tapi saya tidak tahu apakah sesuatu itu…apa sebenarnya yang saya rasa saat ini…puas bermonolog dengan diri…akhirnya jawapan itu saya temui…
Terlalu banyak yang saya simpan dan pendam akhir-akhir ini, sekecil-kecil soal hati saya sendiri hinggalah sebesar-besar soal ummah. Semuanya hanya terpendam di jiwa hingga menjadi satu beban yang amat berat. Hati yang ditarbiah dengan tidak istiqomah, gerak kerja yang tidak fokus, kehidupan yang bercelaru, membayangkan dunia yang teramat banyak duri ranjaunya hinggalah merenung akhirat yang tidak diketahui apakah nasib saya di sana kelak. Tercampak beribu batu jauhnya dari keluarga tercinta, amanah dakwah ini hanya mampu saya sebarkan untuk orang-orang di sekeliling saya sahaja. Keluarga saya sendiri tidak menerima sentuhan dakwah daripada anaknya yang satu ini…kalau ada sekalipun hanyalah sekali-sekala dan jarang-jarang ketika saya pulang bercuti…
Mereka masih kurang mengerti tentang Islam…mereka masih tidak kenal Allah itu ‘siapa’…mereka hanya mengenal sekolah, bukan mengenal Allah…mereka tidak kenal siapa sebenarnya diri mereka di sisi Allah…aahh…saya tidak sanggup melihat keluarga saya menjadi bahan bakar api neraka…ibu yang menanggung susah mengandungkan saya, bertarung nyawa melahirkan saya…ayah yang banyak berkorban untuk keluarga, menumpahkan keringat mencari rezeki untuk kami…adik-beradik yang menjadi tempat berkongsi rasa suka dan derita…jiwa-jiwa itu bukan untuk menjadi bahan bakar api neraka…
Wahai para pejuang agama Allah, redhakanlah dirimu menyahut panggilan dakwah di sana, di bumi yang subur untuk mengutip pahala dakwah SABAH dan SARAWAK…Bumi itu memanggil-manggil kalian untuk menyemai benih-benih iman di atas atasnya…Bumi itu merintih…bumi itu menangis…
Wahai para pejuang agama Allah, selamatkanlah ibu bapa kami dari kejahilan…selamatkanlah keluarga kami dari kezaliman…kezaliman yang menutup mata mereka dari mengenal kebenaran…ajarkanlah mereka tentang Islam sementara menunggu kami pulang…AJARKANLAH MEREKA TENTANG ISLAM SEMENTARA MENUNGGU KAMI PULANG…Sakit Ya Allah…sakitnya api neraka-Mu…panas Ya Allah…panasnya api neraka-Mu…Kami tak sanggup menghadapinya…
Semoga ada sinar hari ‘esok’ untuk kami…hari ‘esok’ di alam ‘sana’…alam akhirat-Mu yang abadi, yang tidak pernah kami tahu apakah untung nasib kami di sana nanti…
Wahai pejuang-pejuang ummah, sudikah kalian menyahut panggilan ini?
Wednesday, October 21, 2009
Mengharap Sinar Hari Esok
Posted by Jihad at 12:35 PM 1 comments
Labels: 'Ibrah Hidup, Tazkirah
Saturday, October 3, 2009
TINTA HATI SEORANG SOLEHAH
Saya post sekali lagi entri yang pernah saya delete dari blog ini suatu ketika dulu. Moga ada manfaatnya.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Selawat dan salam buat junjungan mulia, Nabi Muhammad S.A.W kekasih istimewa...
Assalamu'alaikum dan limpahan doa buat calon suamiku, moga Allah sentiasa merahmati dan memberkati dirimu yang tidak pernah kutemui, namun doaku tidak pernah putus mengiringi setiap langkahmu demi meraih keredhaanNya…
"Sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah."
Ku mulakan warkah ini dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah S.A.W kepada seisi alam. Wanita solehah, idaman semua muslimin di alam maya ini..Alhamdulillah, itulah anjuran Islam yang kita cintai, pilihlah wanita yang mampu menyejukkan pandanganmu dan juga baitul muslim yang bakal dibina tika sampai saat itu, insyaAllah.
Calon suamiku yang dirahmati,
"Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, nescaya beruntunglah kedua-dua tanganmu.."
Telah dinukilkan panduan sepanjang zaman, itulah lirikan utama buatmu memilih calon isteri. Tiap baris itu telah menjadi hafalanku sejak aku mengenali dunia baligh ini.
Jika harta yang kau idamkan, ketahuilah diriku tidak punya apa-apa harta di dunia ini melainkan ilmu agama yang telah dititipkan buatku oleh kedua-dua orang tuaku dan juga guru-guruku. Hanya ketenangan yang mampu aku sediakan buatmu kerana aku pernah terbaca firman Allah S.W.T ...
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨ (lah-Rum: 21)
Jika keturunan yang mulia itu yang kau dambakan, ketahuilah jua aku hanyalah orang biasa. Namun apa yang pasti, aku adalah daripada keturunan mulia, keturunan Nabi Adam as dan Hawa as, sama seperti mu. Ingin aku berkongsi lafaz sahih ini denganmu ...
"... maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya. Jika Allah menolong kamu maka, tiada seseorangpun yang boleh menghalang kamu, dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan demikian) ? dan ingatlah kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri..." (Ali Imran : 159-160)
Kecantikan, itulah pandangan pertama setiap insan. Malah aku meyakini bahawa setiap yang bernama lelaki mendambakan kecantikan seorang isteri. Namun, tiada kecantikan yang tidak terbanding untuk kupertontonkan padamu. Telah aku hijabkan kecantikan diriku ini dengan amalan ketaatan kepada tuntutan agama yang kucintai.
Aku tidak menjanjikan aku mampu membahagiakan rumahtangga kita nanti, kerana aku memerlukan engkau untuk bersama-samaku menegakkan dakwah Islamiyyah ini, dan aku merelakan diri ini menjadi penolongmu untuk membangunkan sebuah markas dakwah dan tarbiyyah ke arah jihad hamba-Nya kepada Penciptanya Yang Maha Agung. Melalui pencarian ilmu agama bersama, marilah kita jadikan pernikahan yang diimpikan ini sebagai risalah demi meneruskan perjuangan Islam. Aku masih kekurangan ilmu agama, tetapi berbekalkan ilmu agama yang sedikit ini, aku ingin menjadi isteri yang sentiasa mendapat keredhaan Allah dan suami untuk memudahkan aku membentuk usrah muslim antara aku, kau dan anak-anak kita untuk dibai’ahkan dengan ketaatan kepada Allah Yang Maha Esa. Aku bercita-cita bergelar pendamping solehah, seperti mana yang dijanjikan Rasul,
" Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semuga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air kemukanya." (Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)
Renungilah firmanNya ini, lalu kau akan tahu hakikat diriku dan dirimu dipertemukan oleh Allah atas nama pertemuan dan jodoh...
"Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." (An Nisaa’ : 1)
Calon suamiku yang dirahmati,
" Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian
dari harta mereka".(An-Nissa':34)
Membenarkan seperti apa yang telah Dia katakan dalam kalam-Nya yang mulia. Aku meyakini bahawa engkau adalah pemimpin untukku dan anak-anak pewaris kejihadan Islam yang bakal lahir. Jadikanlah pernikahan yang diimpikan ini sebagai asas pembangunan iman.Moga diriku dan dirimu sentiasa didampingi kerahmatan dan keredhaan-Nya. Lakukanlah tanggungjawabmu itu dengan syura kesabaran dan qanaah ketabahan moga kita akan menjadi salah satu daripada jemaah saf menuju ke syurga insyaAllah.
Ingin aku berbicara mengenai pemberianmu kepadaku. Aku tidak menginginkan hantaran bersusun atau mas kahwin ribuan ringgit yang hanya akan menyebabkan hatiku buta dalam menilai erti kita dipertemukan oleh Allah atas dasar agama. Bantulah aku dalam menjayakan agama Allah ini melalui pernikahan, kerana ia adalah laluan untuk aku menyempurnakan separuh daripada agamaku, insyaAllah. Akhlakmu yang terdidik indah oleh ibu bapa dan orang sekelilingmu, itulah yang aku harapkan. Kutitipkan sebahagian daripada pembacaanku dalam Jalan Dakwah Mustaffa Masyhur, tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana'ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Jannatunna'im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini.
Terlalu panjang rasanya aku mencoretkan warkah ini. Cukup dahulu buat tika ini, andai diizinkan aku akan kembali menitipkankan lagi kiriman bertintakan hati ini. Akhir bicara, maaf andai tiada pertemuan yang kususuli kerana padaku biarlah merindu daripada jemu tatkala kita disatukan.
Wassalam
.::. Ya Allah, gembirakan kami dengan redhaMu .::.
~tulang rusuk kirimu~
kita berpisah hanya sementara
kerana pertemuan bukan milik kita...
jasad dan suara berjauhan sentiasa
namun cinta abadi...
biar berpisah selalu menderita
kerana syurga menagih ujian
sedang neraka dipagari oleh nikmat...
Posted by Jihad at 7:39 AM 1 comments