THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Wednesday, September 9, 2009

WANITA



Sebutir permata diperlubukan
Memancar sinaran di kegelapan
Biarpun tersimpan dalam lumpur
Serimu takkan luntur

Terlukis di wajah keriangan
Tergambar sebuah ketenangan
Namun tak siapa yang mengerti
Rahsia dalam hati
Wanita tertawa...
Wanita menangis...
Wanita tersenyum...
Wanita berduka....

Biar apa yang menanti
Kau tetap teguh berdiri
Dalam satu perjuangan yang tak berkesudahan
Engkau korbankan segala tak pernah pinta balasnya
Kau titiskan air mata namun tersenyum jua

Wanita engkaulah sang lantera
Tanpamu sepilah persada maya
Semoga kau damai sejahtera
Untuk selama-lama...
-Durrani-

"Ya Allah jadikanlah aku dari kalangan orang yang sedikit..."

Saturday, September 5, 2009

INGIN MENDAKAP RAMADAN

( Buat mengenang tragedi di Bosnia …dan kembali menyerangnya musuh Islam di Palestin, Kashmir, Checynya , Afghanistan , Iraq dan Lubnan )

Tubuh kecil Aleeja menggigil kedinginan di antara sisa puing keruntuhan Desa Mededa ini. Entah sudah berapa jauh dia berjalan. Sudah dua hari sejak dia berlari dari Visegrad! Dan kini…dia begitu lelah. Begitu lemah. Aleeja kecil mengusap matanya yang bengkak dan merah. Sudah setahun kolam air matanya telah kering. Kini yang bergayut cuma kepiluan, kebekuan. Menanti episod penyiksaan baru tentera Serbia di bumi Bosnia . Ya, dia tidak pernah tahu mengapa tiba-tiba serangan yang lebih biadap dari khayalan mana-mana manusia pun ini, terjadi di negaranya Bosnia yang dulu tenang dan damai. “Kata papa dan mama, kerana kami muslim, maka itu kami di perlakukan seperti ini.” Lirih Aleeja sendiri.

Aleeja menatap kosong ke hadapan. Di antara hembusan angin dan dinginnya salji, dia melihat bayangan dirinya dan keluarganya tiga tahun lalu. Mereka masih tinggal bersama, bercengkerama, menjalin benang-benang kehidupan dengan tenang dan penuh kasih sayang. Masih jelas di ruang matanya papa mencium pipinya juga pipi kakak dan abang serta membelai kepala adiknya Ivansevic dengan riang, sebelum bertolak ke pejabat. Masih terbayang jelas mama sambil menyanyi memetik sayur di belakang rumah mereka. Biasanya sebelum pergi ke sekolah, dia dan adik-beradiknya yang lain menyempatkan diri untuk membantu mama. Dan ketika mereka pulang dari sekolah, aroma masakan mama yang sedap pasti menyambut mereka di meja makan.

Aleeja menarik nafas. Dia tidak tahu secara pasti…tapi…ya, mungkin esok atau lusa atau dua hari lagi akan masuk bulan yang mulia, bulan puasa. Senyum datar Aleeja sekilas tampak. Bulan puasa…dah, ah…setelah itu lebaran…Dahulu setiap kali bulan mulia, dia dan kakak serta abangnya akan berlumba-lumba untuk puasa penuh sebulan. Berlumba-lumba untuk sampai dulu ke masjid untuk solat tarawih, dan berebut-rebut memberi sedekah kepada orang miskin. Dia tahu Allah akan mencatat semuanya itu. Malah kata papa, ganjarannya berlipat kali ganda kerana ia dilakukan di bulan mulia lagi suci.

Sudah lebih dua tahun ini, tidak ada lagi bulan mulia di Bosnia . Yang ada cuma detik, minit, jam dan minggu yang penuh dengan darah. Mama…dia begitu teringat pada hidangan yang manis serta enak hasil masakan mama untuk juadah berbuka puasa. Emm…dia menahan air liur, namun yang terasa hanyalah kekesatan dan kekeringan di benaknya. Kini bayangan itu bercampur-baur dengan darah, penggalan kepala manusia dan nanah. Aleeja menggelengkan kepalanya sekuat tenaga dan berusaha mengusir bayangan itu.
“ Astaghfirullah…”
“ Ingat pada Allah di mana pun kamu berada. Maka Allah akan bersamamu walau apapun yang terjadi.”
Itu suara papa! Suara papa beberapa tahun lalu. Aleeja merasakan suara itu begitu hampir di hatinya. Tiba-tiba dilihatnya wajah teguh papa yang ramah, dilihatnya mama dengan berbaju cantik beserta tudung putih. Dilihatnya wajah abang, wajah kakak, mereka tersenyum manis kepadanya. Dilihatnya pula wajah adik tersayang, sambil menunjukkan permainan barunya. Dilihatnya wajah-wajah tersebut…menghantui fikirannya…terus-menerus…
“ Astaghfirullah… “ Aleeja beristighfar lagi. Tiba-tiba dia terasa amat letih. Dia berasa bersalah kerana dia berusaha untuk menghadirkan kembali bayangan utuh keluarganya! Dia berasa bersalah…kerana mereka kini telah tiada dan dia pula masih hidup, walau dia merasa penuh pilu dan derita. Aleeja beristighfar berulang-kali.

Angin berhembus dan salji turun satu-persatu. Aleeja merapatkan tubuh, menyelimuti dirinya dengan runtuhan rumah tempatnya kini beristirehat. Dingin sekali…amat dingin. Perutnya berteriak berkali-kali minta diisi. Lapar…dia benar-benar lapar.
Tiba-tiba dia terasa menindih sesuatu. Dia cuba untuk meraba tempat duduknya yang diseliputi salji.
“ Aaaa…!!!” teriaknya seperti dirasuk.
Kepala manusia timbul dari timbunan yang dikaisnya. Kepala manusia yang biru dan membeku!
“ Aaaa…!!!” teriaknya sekali lagi. Dilihatnya satu…dari timbunan lain yang dikaisnya. Aleeja terpaku! Dia ingin berlari kencang atau terbang pada saat itu juga…tapi, ke mana? Tak ada tempat lain lagi! Aleeja memejamkan matanya rapat-rapat dan kuat. Dia takut. Ngeri. Dia mahu muntah! Entah mayat ke berapa yang ditemuinya sepanjang perjalanan yang dilaluinya selama dua tahun ini.

Aleeja mengengsot perlahan menjauhkan diri dari mayat yang tertimbus itu. Tetapi…dia terlihat dua tangan kecil dan tangan orang dewasa serta kaki beku di tempat dia beralih.

Tiba-tiba bayangan keluarganya kembali menerjah ke dalam fikirannya…ya…dua tahun lalu…ketika Ramadan tiba… mereka sedang berbuka puasa, tiba-tiba beberapa tentera Serbia yang dikatakan baru pulang dari Croatia dan singgah terlebih dahulu di Bosnia . Tentera-tentera itu dengan bengis memusnahkan rumah mereka walaupun papa cuba menegahnya. Dengan tak semena-mena tentera itu menembak papa! Bertalu-talu darah terpercik di ruang makan! Saat itu papa masih sempat berteriak menyuruh mama dan kami lari, tapi mama kulihat terpaku! Aleeja masih ingat , mama diheret tentera Serbia . Mama dipukul. Baju dan tudungnya dikoyak-rabakkan. Kakaknya Misovic yang baru mencecah umur tiga belas tahun turut diheret di depan matanya! Dia masih ingat, abangnya Hasanovic yang berusia lima belas tahun melempar tentera Serbia dengan apa saja yang ada di ruang makan. Kemarahan tentera Serbia itu semakin menjadi-jadi. Mereka dengan ganas dan kejam…memotong…tangan…dan kedua kaki Hasanovic…hingga dia menjerit kesakitan.

“ Lari…la…ri…!!! Alee…ja…ayat…Qursi…!!!” Itulah kata-kata terakhir yang Aleeja dengar dari abangnya. Akhirnya Aleeja yang ketika itu berusia sepuluh tahun berlari keluar melalui pintu belakang, setelah berjaya melarikan diri daripada tentera jahat itu. Mereka terus mengejar. Aleeja terus barlari…berlari dan berlari…terus berlari…sepantas yang mungkin. Dan ketika Aleeja keluar dari rumah itu, dilihatnya jalan raya sudah penuh dengan darah…merah! Entah berapa kali dia terpeleset, terjatuh dan bangun. Tubuhnya bukan sekadar dibasahi peluh tetapi juga darah, entah darah siapa! Dia menangis. Namun tak henti lidahnya membaca ayat Qursi. Dia amat takut…dia terperanjat dan terkejut.

Esoknya ketika terbangun, didapati dirinya tertidur dengan matanya yang basah berhampiran dengan longgokan mayat! Dia tak lagi berpuasa walaupun itu bulan mulia. Dia mesti berlari dan berlari. Dan dia amat memerlukan tenaga. Dia mesti pandai bersembunyi…dia…mesti makan…dan…berlari di bulan yang mulia ini. Dia yakin Allah akan mengampuninya. Dia pasti. Walaupun tak berpuasa Aleeja seperti berpuasa apabila dia tak menemui makanan dan pengsan beberapa jam, entah di mana. Namun alhmdulillah, Aleeja masih tidak lupa solat.

Dalam perjalannya selama dua tahun ini, terlalu banyak yang dialami. Aleeja pernah melihat orang-orang yang ditangkap Serbia . Mereka ditelanjangkan, diseksa, dihiris kedua telinganya, dihiris hidungnya, dicacatkan…sebelum dibakar hidup-hidup di kem-kem, di rumah kediaman malah di masjid! Kepala mereka dipenggal dan kadangkala digantung di tiang masjid yang telah hangus terbakar!

Aleeja sedih…amat sedih. Hatinya bagai dihiris-hiris…cukup sakit dan pedih. Dia ingin melakukan sesuatu, namun apakah yang mampu dilakukan oleh anak seusia ini? Boleh bertahan ke saat ini sudah menjadi suatu keajaiban tersendiri baginya. Aleeja pelik dan hairan, ke mana perginya penduduk dunia yang berjuta-juta itu? Di sekolah dulu dia pernah belajar bahawa PBB sering membantu usaha perdamaian dengan sukarela…tapi di mana mereka sekarang? Di mana pula saudara-saudara kami, umat Islam yang jumlahnya begitu ramai? Dulu papa selalu bercerita pada Aleeja dan saudaranya tentang persaudaraan dalam Islam yang tak mengenal batas geografi dan bangsa. Persaudaraan adalah kekuatan umat Islam kerana ia hasil keimanan, kata papa lagi. Tapi mengapa mereka membiarkan kami disiksa dan disembelih di sini? Mengapa? Atau…ah,mungkin saudara-saudara seIslam itu tak tahu apa yang terjadi di sini. Polos.

Aleeja menggigil lagi. Kakinya mula terasa kejang. Dia menarik nafas panjang. Dia berusaha untuk berdiri…aah! Tak kuat. Fikirannya menerawang kembali…
Setahun lalu, dia masih ingat, dia pernah memimpin dan mengetuai barisan kanak-kanak sebatang-kara yang sebaya dengannya. Mereka sama-sama melarikan diri dari tentera Serbia . Mereka terdiri daripada kanak-kanak yang berusia tiga hingga tiga belas tahun. Masih segar dalam ingatannya bagaimana Umar yang paling muda usianya namun sungguh menghiburkan dengan telatah dan gelagatnya yang melucukan. Dialah yang sering mendukung Umar apabila Umar letih, memujuknya apabila lapar atau menenteramkannya apabila dia dalam ketakutan. Barisan itu terdiri daripada tiga belas orang…namun sayang…satu demi satu pergi menemui Illahi. Ada yang tercicir di belakang apabila berlari ketika diserang Serbia , maka sudah pasti mereka menjadi mangsa senjata musuh tersebut. Ada pula yang sakit dalam perjalanan yang tiada penghujungnya itu. Ada yang tergelincir jatuh ke dalam gaung, ada yang tewas kerana kedinginan, kelaparan, atau terlampau letih. Umar juga meninggal…dia dibunuh oleh Serbia ketika Aleeja mencari makanan…dan apabila Aleeja pulang yang ditemui hanyalah secarik pakaian Umar…dengan serpihan daging yang melekat pada cebisan baju itu. Hati Aleeja terlalu sakit! Pedih sekali…

Aleeja masih ingat bagaimana sebuah hospital yang dipenuhi dengan wanita dan lelaki yang lemah dibom oleh Serbia tanpa belas kasihan. Dia amat geram kerana ketika itu dia hanya dapat menyaksikan adegan tersebut sambil menangis, padahal dia berada di situ. Tak tergambar perasaannya ketika itu. Marah, kesal dan sedih bercampur-baur kerana dia hanya mampu bersembunyi seperti seorang PENGECUT!

Peristiwa di Tuzla juga menjadi satu perkara yang tidak mungkin Aleeja lupakan. Bagaimana bas-bas yang sarat dengan orang tua dan kanak-kanak sebayanya di angkut menuju ke kapal besar. Menurut mereka, mereka akan dihantar ke Perancis. Negara itu sanggup membantu tetapi dengan bayaran yang sungguh mahal, syaratnya sanggup dikristiankan.
“ Jangan! Jangan berpaling dari agamamu, saudaraku…! Islam agama dari Allah! Tidak ada kebenaran kecuali Islam! Pergilah kamu kalau tak tahan dengan penderitaan ini tapi jangan sekali-kali kamu keluar dari Islam! Saudara-saudara kita pasti datang memberikan bantuan! Mereka juga akan menolong kita! Baca ayat Qursi!” Namun teriakan itu tenggelam dalam gelombang asakan manusia yang berebut-rebut naik ke bas-bas tersebut. Tak siapa yang mendengar teriakannya. Malah dia dipukul oleh petugas PBB dan petugas yang lain.

Tubuh Aleeja semakin kuat menggigil. Ya Allah…esoknya bulan mulia datang lagi…dan hari lebaran. Semua kenangan yang menggembirakan menerpa dalam ingatannya, silih berganti. Dia terlalu ingin mendakap Ramadan, seperti rakan sebayanya di negara lain. Namun wajah mungil kanak-kanak berusia dua belas tahun milik Aleeja itu kian pucat…dan dia rasa sudah tak mampu untuk bergerak lagi. Tiba-tiba kedengaran derap langkah! Aleeja ingin lari tetapi dia tidak mampu. Derap langkah itu semakin dekat! Oh Bosnia , maafkanku…yang tidak mampu membelamu…rintih hati kecil itu. Dia rasa derap langkah itu semakin hampir dengannya. Dibacanya ayat Qursi sekuat-kuatnya, biar Serbia itu gerun mendengarnya. Tapi sebenarnya…tidak ada apa-apa yang keluar dari bibirnya yang mungil dan membiru itu…

“ Ada anak kecil di sini,” Dia terdengar suara seseorang. Jantungnya hampir terhenti! Tapi Aleeja tekad akan membeliakkan matanya kepada Serbia sebagai tanda marah sebelum dia pergi…Dan Aleeja memang benar-benar membeliakkan matanya…tapi dia sangat-sangat terkejut! Di hadapannya lebih kurang lima orang pemuda berpakaian…ya, Afghanistan , mereka tersenyum padanya…tersenyum! Mujahidin Afghanistan ! Dan di belakang mereka mungkin mujahidin Bosnia ! Mereka melafazkan tahmid dan takbir…

“ Saudaraku…anda…datang…ju…ga…,” Suara Aleeja terputus-putus dan amat payah. Mereka tersenyum dan mengangkat Aleeja. Untuk pertama kalinya selama lebih dua tahun, Aleeja merasakan ketenteraman dalam hatinya…Tiba-tiba, setelah lebih dua tahun dia bergelumang dengan darah, Aleeja terlalu ingin tidur dengan tenang. Dia letih…letih sekali…Sayup-sayup kedengaran para mujahid bernasyid, “ Allah bersama kita…Allah bersama kita…”

RENUNGAN…
Wahai sahabatku,
Ketika engkau gembira menikmati hidangan,
Ramai saudara sebayamu,
Sedang merintih kelaparan,
Sedang berjuang merebut sekeping roti yang bersarang…
Wahai sahabatku,
Ketika engkau tertawa menikmati kemewahan,
Ramai saudaramu di sana ,
Menitiskan darah perjuangan,
Menangis sayu dalam kesejukan,
Mengemis hiba menanti ihsan,
Tiada pakaian apatah lagi tempat perlindungan…

Wahai sahabatku,
Ketika kita masih mampu bersenda gurau,
Pernahkah kita menangis kerana mengenangkan nasib saudara seIslam?
Pernahkah kita menghulurkan tangan menyelamatkan mereka?
Atau pernahkah kita membayangkan betapa sengsaranya mereka?
Atau kita hanya membayangkan untuk memasuki syurga…
Tanpa mengalirkan peluh apatah lagi darah!
Wahai sahabatku…kejamkah kita???

Dipetik dan diubahsuai dari Al-Mubarak-MUTIARA ‘04
- Keintelektualan Teras Kebangkitan -