THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Saturday, May 9, 2009

Berbahagia Dengan Apa Yang ada

Setiap apa yang berlaku, pasti ada pengertiannya bagi seseorang. Kadang-kala, untuk suatu peristiwa yang sama, pengertiannya berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Ada orang menganggap kemelesetan ekonomi ialah peristiwa menjadikan dirinya lemah dan tidak ada harapan untuk menjadi lebih baik. Dalam masa yang sama, ramai juga yang mendapat kelebihan dan keuntungan semasa zaman kemelesetan ekonomi. Ada orang menganggap dibuang kerja ialah titik noktah kepada kehidupan yang bahagia. Mereka merasakan bahawa itulah permulaan kepada penderitaan. Dalam masa yang sama, ada orang yang baru dibuang kerja, kemudian terus merancang untuk menjadi lebih baik; kerana dia melihat bahawa dibuang kerja adalah peluang untuk memulakan sesuatu yang baru, sesuatu yang lebih baik.

Ada orang yang berkeluh-kesah apabila ditimpa ujian, tetapi ada orang yang tenang dan bersahaja. Orang berkeluh-kesah kerana tidak yakin dengan janji Tuhan; yang tenang dan bersahaja kerana bersangka baik dengan Tuhan. Cara mereka 'membingkaikan' (framing) dunia ini berbeza. Mereka boleh memilih makna dan pengertian terhadap sesuatu.

Setiap Kesusahan Pasti Ada Kesenangan

Kita selalu membaca ayat ini semasa solat. Surah Al-Insyirah dengan jelas memberitahu kita satu prinsip yang mudah; pada setiap kesukaran, pasti ada kesenangan. Dan ayat itu diulang dua kali, untuk memberi penekanan, betapa pentingnya kita semua memahami hukum tersebut. Dalam peradaban China, ada konsep 'Yin dan Yang', iaitu setiap satu ada yang berlawanan. Panas lawannya sejuk, tinggi lawannya rendah, panjang lawannya pendek, besar lawannya kecil, tajam lawannya tumpul, lembut lawannya keras dan seterusnya.

Ini mengingatkan saya kepada satu konsep yang dikembangkan daripada prinsip tersebut. Ia dinamakan sebagai 'Hukum Polariti/Satah Berlawanan' (The Law of Polarity). Hukum ini menyatakan bahawa, jika anda mengalami sesuatu yang sangat negatif, jika 'dibingkaikan semula' secara positif; perkara itu akan menjadi sangat positif.

Dalam kehidupan kita, ada perkara yang menggembirakan, dan ada perkara yang mengecewakan. Ada perkara yang sedikit mengecewakan, dan ada perkara yang sangat mengecewakan. Jika anda cekap membuat reframing positif kepada sesuatu yang sangat mengecewakan, ia boleh bertukar menjadi sesuatu yang sangat menggembirakan! Menarik bukan?

Situasi Sangat Negatif --> Reframing secara positif --> Situasi Sangat Positif

Dalam sirah Rasul, terdapat banyak contoh pengalaman yang sukar yang dihadapi oleh Rasulullah, tetapi akhirnya menjadi satu titik yang sungguh positif, setelah Baginda dan para sahabat menempuhnya secara yang positif. Peristiwa Taif, Tahun Kesedihan, Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq, Perjanjian Hudaibiyah, dan banyak lagi; adalah titik sejarah yang menunjukkan hal ini kepada kita.

Erti dan makna sesuatu peristiwa yang kita tempuhi amat dipengaruhi oleh 'bingkai persepsi' minda kita. Jika kita menukar bingkai tersebut, kita akan menukar erti dan makna peristiwa tersebut. Apa yang menariknya ialah, apabila kita melihat sesuatu dengan pengertian yang berbeza, maka kita akan membuat keputusan yang berbeza, strategi yang berbeza, dan tindakan yang berbeza. Bukankah begitu?

Jadi, amatlah penting untuk kita 'membingkaikan' pengalaman kita secara positif, tidak kira di mana, dengan siapa, ataupun bila-bila masa. Bersangka baiklah dengan Allah, dan carilah bahagia pada setiap kejadian. Anda boleh memilih, sama ada untuk menderita, atau berbahagia. Selamat menikmati kebahagiaan hakiki!

Ku cari bahagia abadi...

Di mana? Di sisi Tuhan...

Firman Allah, maksudnya:"Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendak-Nya." (Surah al-Qamar 54:55)

Bagaimana?

Dengan mengutamakan akhirat...

Firman Allah, maksudnya:"Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat) dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan." (Surah al-Baqarah:86)

Dengan sabar dan taqwa

Firman Allah, maksudnya:"Oleh itu bersabarlah, sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa." (Surah Hud:49)

Untuk siapa?

Yang beriman dan beramal soleh...

Firman Allah, maksudnya:"Orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya." (Surah al-Ra'd 13:29)

Yang beroleh hidayah...

Firman Allah, maksudnya:"Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah maka dialah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan." (Surah al-Israk 17:97)

Solusi, Isu no.6

0 comments: