KEM REMAJA ISLAM 2009, 4-7 Jamadil Akhir 1430H: Alhamdulillah atas segala-galanya. Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam Yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi Hidayah. Selawat serta salam untuk kekasih Allah, Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Alhamdulillah, bersama-sama kita merafa’kan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas kurnia dan limpahan rahmatNya, Program Kem Remaja Islam 2009 anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Sarawak (PERMIS) dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia (AMAL) Cawangan Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Cawangan Miri telah berjalan dengan lancar dan jayanya di Kolej Tun Datu Tuanku Hj Bujang, Miri pada 29 Mei - 1 Jun 2009 yang lalu. Peserta Kem kali ini adalah seramai 55 orang, iaitu 24 Muslimin dan 31 Muslimat serta terdiri daripada pelajar-pelajar terpilih dari Sekolah-sekolah Menengah di sekitar Miri, Bintulu dan Sibu. Seramai 19 orang Jawatankuasa Pelaksana telah terlibat dalam merealisasikan Program Kem Remaja Islam 2009 yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi UM, UTM, UTP, KIPSAS, UPSI, UPM, Politeknik dan lain-lain.
OBJEKTIF PROGRAM
Objektif Kem Remaja Islam Sarawak 2009 adalah untuk memberi kefahaman Islam kepada peserta iaitu termasuklah:
*Memberi kefahaman Islam kepada peserta
*Menanam kecintaan kepada cara hidup Islam
*Memupuk ciri-ciri akhlak mulia, konsep berbudi dan memahami tanggungjawab sebagai anak soleh dan solehah
*Memberi kesedaran tentang kepentingan kecemerlangan akademik
*Mewujudkan ikatan silaturrahim yang lebih erat di kalangan peserta dan AJK pelaksana
*Memupuk sifat penyayang dan prihatin di kalangan mahasiswa/ mahasiswi untuk membimbing adik-adik peserta.
PENGISIAN-PENGISIAN PROGRAM
Antara pengisian program ini adalah tiga (3) Kuliah Dasar yang dijadikan sebagai pengisian utama. Setiap Kuliah Dasar kemudiannya disusuli dengan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) antara peserta dan fasilitator. Kuliah Dasar Pertama bertajuk “Aqidah Muslim” telah dibentangkan oleh Ustaz Nik Mohd Shazmizi bin Nik Sin dari Kolej Tun Datu Tuanku Hj Bujang. Manakala Kuliah Dasar Kedua: “Syahadah dan Tuntutannya serta perkara-perkara yang membatalkannya, dan Kesalahan Syariah dan Enakmen-enakmen di Sarawak” pula telah disampaikan oleh Ustazah Anisah selaku Pegawai Pendakwa di Jabatan Agama Islam Sarawak. Seterusnya Kuliah Dasar yang Ketiga dibentang oleh Ustaz Malsiron bin Rogikin, Pegawai di Jabatan Agama Islam Sarawak Cawangan Miri bertajuk “Konsep Ibadah dalam Kehidupan”.
Kem Remaja Islam Sarawak 2009 turut diserikan dengan pengisian istimewa iaitu slot khas mengenai kehidupan bekas pelajar kepada pelajar kini yang bertajuk “Islam Sebagai Ad-Deen: Satu Perkongsian”. Membuatkannya lebih istimewa adalah slot ini disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak sendiri, iaitu Saudara Muhtar bin Hj Suhaili. Namun, keunikan dan keistimewaannya tidak terhenti di sini sahaja. Terdapat satu lagi slot pengisian khas iaitu Forum Akademik yang bertajuk “Cemerlang bersama Islam”. Panel-panel adalah terdiri daripada orang kuat Task Force Kecemerlangan Miri iaitu Puan Lily Hj Morni (Pengetua Cemerlang bersara) di samping Saudara Muhtar bin Hj Suhaili (Jurutera Sarawak Shell Berhad) dan Saudara Hishammudin Afifi bin Huspi (Pelajar Cemerlang Matrikulasi Labuan, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, UTM yang bakal melanjutkan pengajian ke Ijazah Sarjana) sebagai moderator.
Sepanjang program ini, peserta-peserta telah didedahkan dengan pengertian Ukhuwwah Fillah yang kian menghilang dalam kehidupan masyarakat Islam. Iltizam dari itu, para peserta bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan sebuah Organisasi yang bernaung di bawah Yayasan AMAL iaitu Kelab Remaja AMAL. Mudah-mudahan Kelab Remaja AMAL ini akan memberi kesinambungan kepada input-input yang diperolehi sepanjang program.
Kem kali ini telah ditangguhkan oleh Cik Hasyimah bt Abang Zen, Pengetua Kolej Tun Datu Tuanku Hj Bujang selaku tetamu kehormat Majlis Penutupan Kem Remaja Islam 2009.
PENUTUP DAN HARAPAN
Alhamdulillah, dengan kerjasama yang mantap di kalangan Ahli Jawatankuasa Pelaksana serta pihak-pihak terlibat, Kem Remaja Islam Sarawak 2009 ini dapat direalisasikan. Tahniah dan Syabas diucapkan kepada para peserta yang sabar dan tabah serta tekun mengikuti Program Kem Remaja Islam kali ini. Tahniah dan Syabas juga diucapkan kepada semua Ahli Jawatankuasa Pengelola yang diketuai oleh Saudara Mohamad Syukrani bin Addi Saiful Rizal Voon dan pihak-pihak yang ikhlas membantu secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Semoga kalian terus istiqamah dalam merealisasikan misi dakwah khususnya di Bumi Kenyalang, Sarawak tercinta.
Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita, terus mengikatkan hati-hati kita dalam iman dan mudah-mudahan kita semua akan istiqamah dalam kebaikan dan beroleh redhaNya. Amiin Ya Rabbal ‘Alamin.
“REMAJA CEMERLANG BERSAMA ISLAM”
Laporan Disediakan Oleh Jawatankuasa Penganjur.
Dipetik dari: http://amalsarawak.net/
The Story of a Jew Who Islamized Millions Of People
12 years ago
0 comments:
Post a Comment