THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Monday, June 15, 2009

Wahai Da'ie, Berhikmahlah Dalam Berdakwah

"Lain kali pakai baju lengan panjang! Pakai seluar panjang! Jangan pakai macam tu lagi. Faham?! Tu bogel namanya!"

Telinga saya menangkap bicara seorang lelaki. Ketika itu saya sedang melihat-lihat makanan apa yang ada untuk saya mengalas perut tengah hari tadi. Saya menoleh ke belakang, 'Oh, ustaz ni rupanya...Siapa yang ustaz tegur tadi?' Soal hati saya. Mata terus memerhati sekeliling kedai makan. Di satu meja saya lihat seorang anak gadis sedang duduk berseorangan menghadap sepinggan nasi.

Saya lihat air muka anak gadis itu muram, hanya merenung nasi di pinggan yang masih tidak terusik. Segera saya meminta izin untuk duduk di hadapannya sambil senyuman di ukir, ingin sekali kesuraman di wajah itu saya singkir pergi.

Saya pasti gadis inilah yang ditegur ustaz sebentar tadi. Ahli keluarga kami dalam komuniti yang kecil ini. Sekalipun sumbangannya umpama pejuang tanpa nama. Agak lama si gadis termenung, tidak mempedulikan saya yang ada di hadapannya. Tidak mahu membiarkan masa terus berlalu dalam keadaan kami membisu sedemikian rupa, saya membuka bicara.

"Cikgu di sini?" Tanya saya. Soalan yang tidak munasabah kerana mustahil saya tidak dapat membezakan penampilan seorang guru dengan penampilan seorang par. Saya cuma berharap dengan soalan saya itu si gadis terasa dia juga ada potensi umpama seorang guru.

"Pelajar?" Soal saya lagi kerana melihatkan wajahnya yang masih muda remaja.

"Bukan." Jawab si gadis mula mengukir senyuman.

"Saya bekerja di....(terpaksa dirahsiakan)" Si gadis menjelaskan.

"Berapa umur?" Soal saya lagi...

Seterusnya kami mula bersembang dan tahulah saya kenapa si gadis begitu.

Kasihan saya melihat gadis ini, anak sulung dalam keluarga, ibu bapa telah bercerai, ayah yang malas bekerja (pastinya tiada nafkah diberikan buat isteri dan anak-anak), ada kesedihan yang disembunyikan ketika dia bercerita kepada saya perihal keluarganya yang porak-peranda. Lebih kasihan bila golongan seperti gadis ini menerima dakwah yang tidak sepatutnya...seperti mana kata-kata ustaz yang saya dengar sebentar tadi...

Saya mendengar cerita si gadis dengan penuh minat, sedaya mungkin saya cuba menyelami isi hati mad'u di hadapan saya ini. Ibu bapa yang asyik bergaduh, sibuk dengan konflik dan krisis suami isteri, mana mungkin ada masa untuk mendidik anak-anak mengenal Allah. Mereka juga perlukan bimbingan.

Benar, di sekolah sudah di ajar bahawa orang Islam wajib menutup aurat, sudah di ajar berdosa bagi orang Islam yang tidak menutup aurat. Tapi kita jenguklah ke kelas-kelas Pendidikan Islam di sekolah-sekolah, bagaimana para ustaz dan ustazah mendidik anak-anak Islam ini? Mereka terikat dengan masa dan silibus! Isi kandungan buku teks hanya mengenyangkan otak sebelum segala isi itu dimuntahkan dalam kertas-kertas peperiksaan seterusnya dilupakan. Saya sendiri muak dengan silibus yang gersang penghayatan, kontang penerapan keyakinan yang menyebabkan matlamat ilmu dipelajari hanya sesingkat untuk peperiksaan, bukan untuk kehidupan duniawi dan ukhrawi juga bukan untuk mencari redha Allah.

Ustaz dan ustazah tersepit. Bagi yang ada kesedaran untuk memimpin anak-anak ummah memahami Islam seperti mana ia disampaikan oleh Rasulullah s.a.w, sedaya upaya tarbiah diberikan di dalam kelas, nasihat demi nasihat, teguran demi teguran dan analogi demi analogi diberikan supaya anak-anak yang masih mentah ini berfikir yang akhirnya menghasilkan yakin. Yakin bahawa syurga dan neraka itu benar. Yakin bahawa dosa dan pahala itu benar. Yakin yang menatijahkan 'amal. Beramal dengan ilmu yang dipelajari, demi mencari redha Rabbi.

Namun berapa kerat sahaja mereka yang sebegini. Selebihnya, hanya hampas! Ustaz ustazah ibarat buih di lautan. Banyak tapi tidak bermakna, menurut sahaja ke mana ombak terhempas. Sampai ke pantai hancur berkecai...

Saya sangat kasihan dengan gadis di depan saya ini. Mahu saja air mata saya mengalir laju, namun tiada gunanya ia dituruti. Tiada siapa yang faham rasa hati saya tika ini, betapa ia memberontak dengan sistem hidup buatan manusia yang rosak. Gadis di depan saya ini salah satu bukti daripada sekian banyak bukti yang ada. Gadis ini rosak kerana persekitarannya rosak. Persekitaran rosak kerana pemerintah tidak memerintah dengan acuan Islam. Urusan umat Islam diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya. Sistem pendidikan turut dicampuri dengan matlamat politik sesetengah pihak. Inilah bahananya...

Sebelum berlalu, saya tinggalkan gadis ini dengan kata-kata:

"Kalau adik pakai tudung lagi cantik." Sambil tersenyum saya terus berlalu. Moga hikmah ini terkesan di hatinya.

..................................................................

Mengenangkan peristiwa itu, cukup untuk membuatkan saya lama berteleku di atas tikar sejadah. Ingin saya mengubah bangsa, tapi apa kudrat yang saya ada. Berseorangan tidak akan mampu mengubah apa-apa. Ayuh teman seperjuangan, kita rapatkan soff jihad kita, kita bina kekuatan, kita hidupkan jemaah, genggam Islam hingga kita terkorban...ataupun menang. Allahu Akbar!!!

0 comments: