Alhamdulillah ‘ala kulli hal, saya masih lagi bernafas pada hari ini, masih lagi menghirup udara dunia dalam iman dan Islam, Alhamdulillah.
Selawat dan salam buat kekasih yang sentiasa dirindu, Rasulullah s.a.w, yang telah lama meninggalkan kita umatnya…namun baginda tinggalkan kepada kita warisan yang tidak ternilai harganya, Al-Quran dan sunnah baginda. Susuk peribadi agung itu akan sentiasa dikenang, sentiasa terbayang di ruang mata dalam meniti perarakan perayaan iman yang tak pernah putus-putus ini, itulah dia perjuangan Islam, demi menegakkan daulah dan khilafah Islam.
Sedang saya mengemas buku-buku yang baru sahaja ‘diterbangkan’ dari perlembahan ilmu Kuala Lumpur, ke ceruk kampung yang tersorok di belantara hijau ini, saya terjumpa cebisan-cebisan kertas berisi untaian kalam, suara hati tatkala berjuang di rantau orang. Ingin saya kongsikan kepada pembaca sekalian, moga ada manfaatnya untuk kita bersama.
Entah kenapa malam ini mata saya terlalu segar…hati meronta-ronta untuk mencoretkan sesuatu…tapi saya tidak tahu apakah sesuatu itu…apa sebenarnya yang saya rasa saat ini…puas bermonolog dengan diri…akhirnya jawapan itu saya temui…
Terlalu banyak yang saya simpan dan pendam akhir-akhir ini, sekecil-kecil soal hati saya sendiri hinggalah sebesar-besar soal ummah. Semuanya hanya terpendam di jiwa hingga menjadi satu beban yang amat berat. Hati yang ditarbiah dengan tidak istiqomah, gerak kerja yang tidak fokus, kehidupan yang bercelaru, membayangkan dunia yang teramat banyak duri ranjaunya hinggalah merenung akhirat yang tidak diketahui apakah nasib saya di sana kelak. Tercampak beribu batu jauhnya dari keluarga tercinta, amanah dakwah ini hanya mampu saya sebarkan untuk orang-orang di sekeliling saya sahaja. Keluarga saya sendiri tidak menerima sentuhan dakwah daripada anaknya yang satu ini…kalau ada sekalipun hanyalah sekali-sekala dan jarang-jarang ketika saya pulang bercuti…
Mereka masih kurang mengerti tentang Islam…mereka masih tidak kenal Allah itu ‘siapa’…mereka hanya mengenal sekolah, bukan mengenal Allah…mereka tidak kenal siapa sebenarnya diri mereka di sisi Allah…aahh…saya tidak sanggup melihat keluarga saya menjadi bahan bakar api neraka…ibu yang menanggung susah mengandungkan saya, bertarung nyawa melahirkan saya…ayah yang banyak berkorban untuk keluarga, menumpahkan keringat mencari rezeki untuk kami…adik-beradik yang menjadi tempat berkongsi rasa suka dan derita…jiwa-jiwa itu bukan untuk menjadi bahan bakar api neraka…
Wahai para pejuang agama Allah, redhakanlah dirimu menyahut panggilan dakwah di sana, di bumi yang subur untuk mengutip pahala dakwah SABAH dan SARAWAK…Bumi itu memanggil-manggil kalian untuk menyemai benih-benih iman di atas atasnya…Bumi itu merintih…bumi itu menangis…
Wahai para pejuang agama Allah, selamatkanlah ibu bapa kami dari kejahilan…selamatkanlah keluarga kami dari kezaliman…kezaliman yang menutup mata mereka dari mengenal kebenaran…ajarkanlah mereka tentang Islam sementara menunggu kami pulang…AJARKANLAH MEREKA TENTANG ISLAM SEMENTARA MENUNGGU KAMI PULANG…Sakit Ya Allah…sakitnya api neraka-Mu…panas Ya Allah…panasnya api neraka-Mu…Kami tak sanggup menghadapinya…
Semoga ada sinar hari ‘esok’ untuk kami…hari ‘esok’ di alam ‘sana’…alam akhirat-Mu yang abadi, yang tidak pernah kami tahu apakah untung nasib kami di sana nanti…
Wahai pejuang-pejuang ummah, sudikah kalian menyahut panggilan ini?
Wednesday, October 21, 2009
Mengharap Sinar Hari Esok
Posted by Jihad at 12:35 PM 1 comments
Labels: 'Ibrah Hidup, Tazkirah
Thursday, July 16, 2009
Mengutip 'Ibrah (Bahagian 4)
Alhamdulillah, segala puji bagi-Mu Allah. Juga selawat dan salam buat Rasul tercinta, ahli keluarga baginda juga ummat Islam seluruhnya.
Alhamduliillah natijah latihan mengajar telah diketahui. Alhamdulillah thumma (kemudian) alhamdulillah. Dalam perit, dalam pedih, dalam rintih yang berpanjangan, segalanya telah dilalui. Dari Allah juga sumber segenap kekuatan. Natijah ini mengundang air mata. Bukan air mata gembira kerana saya telah berjaya dengan cemerlang. Khali, saya pun sebetulnya tidak pasti air mata apakah ini.
Saya, seperti juga sahabat-sahabat yang lain mengimpikan pengalaman manis dan indah sepanjang menempuh fasa latihan mengajar. Masing-masing bersemangat ingin mempraktikkan ilmu yang dipelajari di bilik-bilik kuliah kepada anak-anak didik di sekolah nanti. Tapi ujian Allah datang tanpa kita bersedia. Umpama tsunami yang datang tanpa amaran. Begitu takdir yang telah tercatat di atas kanvas hidup saya. Takdir yang telah Allah tetapkan semenjak saya di alam roh lagi dan kini saya meniti di atas takdir itu dengan doa dan harapan yang tidak pernah putus, apapun yang berlaku, hingga nyawa saya sekalipun dipertaruhkan, janganlah cinta saya kepada-Nya pudar dan padam. Hanya itu harapan saya, hanya itu dan hanya itu. Tiada harapan lain.
Dalam lemah kudrat seorang hamba yang cenderung merasa resah gelisah bila di uji, saya masih cuba mencungkil hikmah dari apa yang berlaku. Sebetulnya sangat susah untuk saya mempositifkan fikiran, mencari hikmah dalam mehnah. Mungkin itulah sebabnya semangat saya yang ingin berkongsi 'ibrah kian luntur, ilham dan idea untuk menulis juga tidak muncul-muncul. Fikiran saya hanya fokus pada perkara yang satu ini, dan perkara yang satu inilah yang membuatkan seluruh kehidupan saya seolah-olah terhenti. Dahsyat bukan. Itulah ujian, datang tanpa kita bersedia. Kerana saya hanya seorang hamba yang lemah iman-Nya. Mencari dan terus mencari cinta Tuhannya.
**********************************************************************************
Hari kedua saya dan sahabat saya datang ke sekolah untuk melihat-lihat keadaan sekolah, kami terus memutuskan untuk terus mencari rumah sewa atau sekurang-kurangnya pun bilik sewa. Bertanya ke sana ke mari, usaha kami tidak berjaya. Tiada satu rumah pun yang ada untuk disewa di kawasan tersebut. Hati berdoa, mohon Allah berikan bantuan. Kami tidak punya banyak masa untuk mencari rumah sewa memandangkan kami sedang dalam minggu peperiksaan. Lebih-lebih lagi peperiksaan yang menanti kami adalah peperiksaan subjek Fiqh al-Muamalat, yang mana ramai sahabat-sahabat kecundang dalam subjek tersebut. Apa lagi di pihak saya, subjek tersebut ada kisah tersendiri yang mengundang resah di jiwa.
Akhirnya, setelah penat berusaha kami berjaya mendapatkan sebuah bilik sewa dalam sebuah rumah yang dikongsi bersama dengan satu pasangan berbangsa India dan seorang warga Indonesia. Kerana sudah tiada pilihan lain, mahu tidak mahu kami terpaksa memilih untuk menyewa bilik tersebut. Perbincangan dibuat antara saya dan sahabat saya, apa penyelesaian yang ada memandangkan Islam tidak membenarkan wanita Muslimah untuk tinggal sebumbung dengan lelaki bukan mahram lebih-lebih lagi yang bukan Islam. Setelah berbincang, mencari solusi, dengan muktamad kami akan menyewa di bilik tersebut. Mujur si suami yang berbangsa India ini hanya pulang ke rumah pada hujung minggu. Jadi setiap hujung minggu kami menumpang di rumah sahabat yang lain.
4 Mei 2009, selesailah semua peperiksaan yang perlu di ambil untuk meraih segulung Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam. Lega hati tidak terkira, masa untuk berikhtiar telah tamat. Kini adalah tempoh untuk bertawakal. Belum hilang penat memerah otak dalam dewan peperiksaan, kami mula berpindah ke Desa Tasik. Saat ini air mata saya tidak henti-henti mahu keluar. Ujian yang satu itu terlalu menguji rasa. Tabahlah hati, wahai iman, pujuklah diri agar terus mampu tahan di uji.
Sampai di rumah yang dimaksudkan, dengan barang-barang yang begitu banyak, kami melemparkan senyuman kepada ahli rumah, kakak yang berbangsa India itu sedang bersembang bersama ibunya. Mujur pintu rumah sedia terbuka. Agak janggal menjadi tetamu tanpa mengucapkan salam terlebih dahulu. Mereka terkejut dengan kehadiran kami! Saya lebih terkejut melihat reaksi tersebut!
"Kenapa tak beritahu dulu nak datang?" Soal makcik India tersebut dengan 'telor' Indianya yang susah difahami.
"Kan kami dah cakap hari tu kami confirm nak sewa bilik kat rumah ni?" Jawab sahabat saya.
"Tak, you kena call. Confirmkan dulu. You tak bayar pun duit deposit hari tu. Mana boleh. Ni ada orang lain dah sewa kat sini," Bidas makcik.
Nah, seperti ada batu besar menghempap kepala saya. Malam semakin lewat. Tiada siapa yang kami kenali di kawasan tersebut. Ke mana kami harus membawa diri? Barang-barang kami yang banyak ini hendak disimpan di mana? Esok adalah hari pertama kami perlu memulakan latihan mengajar...Otak saya tidak mampu berfikir.
"Tak apalah, kamu boleh menyewa di sini. Penyewa bilik yang lagi satu ni pun dah lama tak balik. Duit sewa bulan ni pun dia tak bayar lagi." Kata-kata kakak India memecah suasana.
Dia terus mengeluarkan barang-barang yang ada dalam bilik tersebut dan membenarkan kami untuk masuk. Alhamdulillah, lega...
"Usah kau biarkan segala kelemahan menghampiri
Hindari semua kesamaran semalam
Kerana apabila kau percaya
Jiwamu lebih bersedia
Tiba masanya akan kau sedar kau berupaya"
Posted by Jihad at 2:19 PM 0 comments
Labels: 'Ibrah Hidup
Saturday, July 11, 2009
Mengutip 'Ibrah (Bahagian 3)
10 Julai 2009 - 6:45 petang
Merdeka!
Eh, betul ke merdeka? Bukan merdeka, tapi saat ini tamatlah status saya sebagai seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya. (Confirm ke? Wallahu a'lam, semoga dipermudahkan Allah segalanya. Mohon didoakan.)
Sedih ada, sebak ada, berat hati ada, lega ada, erm...macam-macam perasaan bercampur-baur hingga tak tahu nak rasa yang mana satu. SMK BTS akan dikenang sampai bila-bila. Pelajar-pelajar yang baik, guru-guru yang baik, semuanya lancar sepanjang praktikal di SMK BTS ini, terima kasih kepada semua...
Tapi....ha...ada tapinya. Saya dan sahabat saya ditakdirkan dapat sekolah yang serba-serbi baik, tapi kisah 'rumah tangga' kami sangat menguji rasa. Hari pertama berlaku peristiwa yang akhirnya saya berkata kepada sahabat saya, "Mujurlah kita dibenarkan masuk. Kalau tak, mana lah kita nak tidur malam ni. Dah lah esok mula paktikal." Nak tahu ceritanya? Tungguuu....
Menyewa bilik di rumah orang India, satu pengalaman yang baru dan mencabar bagi kami. Sebulan menetap di rumah tersebut, berlaku lagi peristiwa yang menggoncang 'rumah tangga' kami...Akhirnya kami memutuskan untuk pindah rumah. Nak tahu apa peristiwa tu? Tungguuu...
Banyak adegan terkejut dan tersentak dalam 'rumah tangga' sepanjang melalui tempoh praktikal ini. Insya Allah akan dicoret di sini buat kenangan sepanjang hayat. Moga-moga 'ibrah ini jadi bekalan, buat meniti perjalanan panjang kembara hidup sebagai seorang insan yang mengaku beTuhan.
Posted by Jihad at 1:53 AM 0 comments
Labels: 'Ibrah Hidup
Wednesday, May 6, 2009
Mengutip 'Ibrah (Bahagian 2)
Cantik masjid ni...besar, luas, indah. Terasa ada zouq di jiwa walau hanya dengan memandangnya. Imarah atau tidak itu soal lain. Kalau Islam berkuasa, pasti masjid dapat memainkan peranannya sebagai institusi pembangunan ummah seperti yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. Tidak hanya tempat untuk solat berjemaah semata-mata. Tapi di situlah tempat menyubur ukhwah, menyemai iman, aqidah, syariah dan akhlak bahkan siasah sekalipun. Di situlah asal benih jiwa-jiwa pembina tamadun ummah.
Tiba-tiba fikiran saya terbang merentas Laut China Selatan menuju ke kampung halaman saya. Perkampungan melayu Islam yang tidak mempunyai masjid. Suraunya dhaif sekali, masyarakatnya rosak berkali-kali. Zina, arak, judi berleluasa depan mata persis zaman jahiliah bahkan lebih dahsyat kerana mereka ini mengaku Islam tetapi berbangga dengan dosa-dosa besar seperti itu. Bagaimana harus aku sampaikan firman-Mu di situ wahai Tuhanku?
Dengan menyerap semangat juang srikandi Islam terdahulu seperti Sumaiyah wanita syahid pertama, Masyitah yang tidak gentar mengaku beriman, mahupun Asiah yang rela disakiti suaminya Firaun yang zalim demi Islam, saya mula mengusahakan sesuatu.
Anak-anak kecil yang leka bermain kejar-kejar, bermain di belukar mahupun di longkang, saya panggil sekali-sekala menjadi tetamu di rumah saya. Tetamu kecil ini saya 'hidangkan' dengan ayat-ayat Tuhan. Saya ajarkan mereka mengenal huruf-huruf alif ba ta...Sesekali saya pula menjadi 'kecil', menjenguk dunia mereka, bersama-sama mereka ke belukar menangkap belalang, bermain ulat dan cacing di tanah, sambil saya perkenalkan kepada mereka bahawa alam ini petanda bahawa Tuhan itu ada. Belalang itu sentiasa berzikir. Kala diamnya sang ulat itu sedang bersolat. Begitu saya mendidik jiwa mereka. Sesekali keletihan datang menjengah, mujahid-mujahidah kecil ini bermasam muka lantaran saya tidak mampu bersama mereka, meneroka alam untuk mengenal Tuhan. Tuhan...beri aku kekuatan...
Kala Ramadan datang bertamu, saya tuntun kudrat si tua menuju ke surau. Saya tatap wajah-wajah jemaah di hujung usia itu. Wajah seribu derita, mungkin memikirkan kegagalan mereka membentuk pewaris seperti mereka. Mana perginya generasi muda? Di mana silapnya? Saat surau dan masjid semakin bertambah, pub dan kelab malam juga semakin bercambah. Haq dan batil berlumba-lumba menguasai dunia. Siapa yang lebih banyak berusaha, merekalah yang akan menang. Itulah cabaran hidup akhir zaman. Perjuangan ini takkan terhenti selagi Islam tidak tertegak di atas muka bumi. Tak mampu buat semua jangan tinggal semua.
"Kita nak balik jalan kaki atau nai teksi?" Soal sahabat saya.
Tersentak seketika, terlalu jauh fikiran saya menerawang.
"Naik teksi je lah." Jawab saya.
Dalam keadaan yang tidak sihat, menempuh perjalanan di bawah terik matahari dengan berjalan kaki lebih satu jam, saya amat letih. Sambil-sambil menunggu teksi, fikiran saya menerawang sekali lagi. Perjuangan ini memang perit. Tapi apalah sangat keperitan yang saya tanggung ini berbanding dengan ujian yang dihadapi oleh para Nabi dan Rasul. Mereka itu kekasih Allah. Tapi kita? Kasihkah Allah kepada kita dengan ujian-Nya yang tidak seberapa ini? Nasyid 'Perantau' dan 'Sunnah Berjuang' terngiang-ngiang di telinga. Di ulang-ulang hingga tak sedar ada mutiara jernih yang keluar dari kelopak mata.
Perantau
Perantau, musafir perjuangan
Tabahkanlah hatimu
Berjuang di rantau orang
Sedih pilu hanya Engkau yang tahu
Ingatan anak dan isteri
Janganlah menghiris hatimu
Kerinduan desa nan permai
Janganlah melemahkan semangat juangmu
Diwaktu ujian dan badai terus melanda
Engkau tetap gigih berjuang
Membenarkan sabda junjungan
Terus memburu menuntut janji
Pastinya Islam gemilang lagi
Tapi pejuang, kembara perjuangan
Ujian bukan batu penghalang
Kerana itulah syarat dalam berjuang
Oh pejuang, di mana pun ada ketenangan
Di mana pun ada kebahagiaan
Bila insan kenal pada Tuhan
Kasih sayang dan pembelaan-Nya
Bagi insan yang menyerahkan
Jiwa dan raga, anak dan isteri
Kepada Allah
Sunnah Berjuang
Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid membela tauhid
Di siksa dia berkelana
Di penjara dia 'uzlah
Di bunuh syahid
Namun jiwa tetap mara menuju cita
Membara demi Allah dan Rasul-nya
Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang resah silih berganti
Itulah sunnah orang berjuang
Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa air mata
Siangnya bagaikan singa di rimba
Memerah keringat mencurah tenaga
Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerana kebenaran
Antara dua jadi taruhan
Tunggulah syahid atau menang
************************************************************************************
Akhirnya ada juga sebuah teksi yang sudi membawa kami.
"Pakcik ni tak pakai meter lah" Rungut saya kepada kawan saya. Berapalah dia cas nanti. Mesti mahal...Jauh juga jalan kaki tadi...hati berbisik.
Dalam pada saya dan sahabat saya berbisik-bisik macam mana kami hendak meminta pemandu pemandu teksi itu untuk menggunakan meter, kami sudah sampai ke stesen komuter Bandar Tasik Selatan.
"Hah? Dah sampai? Dekatnya?" Saya seperti tidak percaya dan sangat tidak berpuas hati. Pemandu teksi tersebut hanya meminta bayaran RM2 daripada kami.
"Tengok, meter pun tak jalan." Saya memberitahu sahabat saya dengan nada yang betul-betul tidak puas hati.
Rupa-rupanya kami kena memilih laluan pejalan kaki di sebelah kiri untuk ke sekolah tersebut, bukannya laluan di sebelah kanan. Dan rupa-rupanya kami telah mengelilingi beberapa kawasan perumahan sebelum sampai ke sekolah. Cobaan...
Keesokannya saya dan sahabat saya bertekad untuk datang lagi ke sekolah tersebut. Kami ingin melalui jalan yang betul, jalan yang 15 minit itu. Jalan yang betul? Begitu hidup kita. Kala langkah sudah tersasar, kembalilah ke pangkal jalan dan mulakan langkah baru, di atas jalan yang betul. Apakah jalan yang betul itu? Jalan yang telah ditunjukkan oleh para Nabi dan Rasul. Tidak akan sesat selama-lamanya bagi insan yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Kalau betul jalan di dunia, pantaslah masa meniti titian Sirat. Sesat jalan di dunia, payahlah langkah di 'sana'.
************************************************************************************
Seawal fajar saya dan sahabat saya sudah bersiap untuk ke sekolah. Kesihatan saya masih tidak memuaskan, dengan 'exam fever' yang melanda, cukup buat saya untuk merasa tertekan. Ini ujian...hiburkan hati dengan ayat-ayat Allah, tenangkan hati dengan sirah perjuangan Rasulullah.
Kami membelah keheningan Subuh menuju ke stesen komuter terdekat. Demi melupakan sakit yang kian terasa, saya berfikir apakah perkara yang boleh melarikan pusat perhatian saya daripada memikirkan soal sakit ini...
"Ha...tangga! Saya kira kami akan melalui banyak anak tangga semasa naik turun di stesen komuter nanti, 3 stesen menanti. Mulalah saya menanti-nanti anak tangga untuk dikira. 1,2,3....101, 102, 103...dan seterusnya. Saya seronok membilang hingga sakit juga hilang. Wah, mujarab! Getus hati saya. Alhamdulillah...
Kami berjalan dan terus berjalan...
"Aaa!!!Ular!!!" Jerit sahabat saya.
"Ish ish, kat sini pun ada ular. Bahaya betul." Jawab saya. Geli dan takut. Tapi ular itu pun makhluk Tuhan. Jangan dipandang hina sungguhpun ia haiwan yang tak berakal. Dia mungkin disayang Allah kerana zikirnya yang tak pernah putus. Tapi kita? Tau tak apa...
Berjalan lagi menuju ke jejantas untuk menyeberang lebuh raya. Jalan yang pelik, seumur hidup saya inilah kali pertama saya melihat jalan sebegini di tepi lebuh raya. Jalan ini hanya denai kecil di tepi bukit yang curam. Macam 'jungle tracking'. Sunyi dan bahaya.
Pemerintah oh pemerintah. Tidakkah kalian perhatikan perkara ini? Mana duit untuk kebajikan rakyat? Masuk poket sendiri?
To be continue...insya Allah.
Posted by Jihad at 8:39 PM 0 comments
Labels: 'Ibrah Hidup
Tuesday, May 5, 2009
Mengutip 'Ibrah
Sesungguhnya hati yang celik akan sentiasa berbicara dengan Tuhannya. Dalam usaha mencelikkan hati insan menuju upaya memahami makna hidup berTuhan, setiap peristiwa hidup dicungkil hikmah, dikutip 'ibrah buat bekal menuju perjalanan panjang sebuah kehidupan.
"Pakcik, kat mana SMK Bandar Tasik Selatan?" Tanya sahabat saya kepada seorang pakcik yang menjual kuih di stesen komuter Bandar Tasik Selatan. Keadaan diri saya yang tidak berapa sihat ketika itu menjadikan saya lebih banyak diam dan menurut sahaja langkah kaki sahabat saya.
"Oh, sekolah tu tak jauh. Ikut saja lorong pejalan kaki sebelah kanan ni, nanti jumpa stesen minyak, jalan terus ke hujung jalan, akan jumpa sekolah tu. Lebih kurang lima belas minit jalan kaki dari sini." Jelas si pakcik dengan bersungguh-sungguh.
Macam jauh je...hati saya berbisik...
Kami mula menapak. Beberapa langkah menapak,
"Eh, tu stesen minyak. Dekat je pun. Mungkin sekolah tu dekat-dekat situ je. Jalan sikit lagi sampaila." Beritahu saya kepada sahabat saya dengan gembiranya. Sambil-sambil ayat itu ditujukan buat diri saya sendiri. Memujuk hati agar terus kuat, agar hati membantu badan untuk terus bertahan.
Sampai di stesen minyak selepas 10 minit berjalan kaki,
"Ada banyak simpang ni. Hujung jalan mana kita nak pergi?" Soal sahabat saya.
"Erm..." Saya cuba mengintai-intai hujung jalan...perasan tinggilah tu...
"Kita tanya orang kat stesen minyak ni je lah." Ujar saya, mula sedar diri tu tak tinggi mana...
Pakcik yang kami tanya tu siap lukis peta lagi untuk menunjukkan kepada kami arah menuju ke SMK Bandar Tasik Selatan. Berbekalkan keyakinan dengan pakcik yang pertama bahawa lebih kurang lima belas minit sahaja untuk berjalan kaki ke SMK Bandar Tasik Selatan dari stesen komuter tersebut, kami meneruskan langkah. Dari peta yang dilukis itu macam jauh juga sekolahnya. Tapi 15 minit - 10 minit = 5 minit. Saya mencongak. Kita kena jalan kaki lima minit je lagi...Masih lagi saya berusaha memujuk diri.
Kami pula tidak mahir membaca peta, beberapa kali berbalah di jalanan, memutuskan simpang mana yang ingin dituju. Akhirnya 5 minit menjadi 50 minit! Di bawah terik matahari waktu zohor, diselubungi udara berdebu kota raya yang menyesakkan, saya mula hilang kudrat. Ah, bagaimana lagi harus dipujuk hati ini? Teruskan...teruskan...
Akhirnya kilatan pedang menerjah minda. Ya! Peristiwa Perang Badar kembali saya tayangkan di skrin minda. Rasulullah dan para sahabat berperang di padang pasir yang kering kontang dalam keadaan berpuasa demi kemenangan Islam. Saya ini tidak bawa tugas Islam kah? Tidak...Saya kini pewaris tugas Rasul. Saya mahu meneruskan mata rantai perjuangan Islam...Saya mahu memartabatkan firman Tuhan...dengan mencari sekolah? Ya, sekolah itu lubuk anak-anak ummah, generasi rijal yang akan menobatkan Islam...al-qawiyyul amiin...al-qawiyyul amiin...semangat itu kembali membara.
"Kita ni dah sesat dah ni...Sesat di hutan batu." Saya bersuara kepada sahabat saya setelah lama berdiam diri. Di sebuah kedai makan, kami berhenti untuk bertanya.
"Boleh tunjukkan kat mana SMK Bandar Tasik Selatan?" Giliran saya pula bertanya.
"Oh, ikut jalan depan ni...jalan kaki lebih kurang 15 minit macam tu akan jumpa banyak flat, SMK Bandar Tasik Selatan kat belakang flat tu." Jawab si penjaga kedai.
Dari tadi 15 minit, 15 minit...Hati saya mula memberontak. Kali ni pun 15 minit lagi. Kami ni dah berjalan kaki lebih satu jam! Panas terik pula ni. Bentak hati saya.
Alang-alang dah di kedai makan ni, macam best je kalau singgah makan. Hati besar saya berkata. Namun hati kecil membantah. Capai dulu matlamat, baru buat perkara lain. Ya, matlamat saya cari sekolah, SMK Bandar Tasik Selatan. Dah jumpa sekolah baru boleh makan. Bagaimana pula matlamat menegakkan Islam? Harta benda, jiwa raga, hidup dan mati semuanya mesti dikorbankan untuk menegakkan Islam. Nak rehat? Nak bersenang-lenang? Nak lepak-lepak? Nanti dulu...Selagi Islam tak tertegak di muka bumi, selagi itu tiada istilah rehat. Sebelum nak tegakkan dunia Islam, kenalah tegakkan daulah Islam dulu. Tapi paling penting diri kita sendiri perlu kita Islamkan sepenuhnya dulu. Bukan ambil Islam separuh-separuh.
Dalam monolog yang kian panjang, tidak sedar langkah kaki sudah sampai ke destinasi. Ini rupanya sekolah yang dicari-cari...SMK Bandar Tasik Selatan. Strategiknya tempatmu bersebelahan dengan rumah Allah. Alhamdulillah.
Cerita tidak terhenti setakat itu. Banyak lagi 'ibrah yang ingin dikongsi. Moga diberi kesempatan untuk menulis lagi...Kerana esok lusa mungkin kita pergi menemui Illahi...
Siapakah yang dapat memberi jaminan kita akan hidup pada esok hari? Tiada siapa yang pasti...
Posted by Jihad at 12:41 AM 2 comments
Labels: 'Ibrah Hidup
Wednesday, April 1, 2009
Sayang-sayang Si Kecil Ku Sayang
Hari ini fikiran saya kembali ke tahun-tahun kemelesetan ekonomi negara sekitar tahun 1999-2000. Ketika itu saya berada di sekolah menengah dan adik bongsu saya baru menjengah alam dunia, Muhd Khairul Nizam nama diberi. Keluarga kami yang sebelumnya ada pembantu terpaksa diberhentikan beberapa bulan sementara saya bercuti. Bercuti sebagai pelajar dan mengambil alih tugas seorang ibu di rumah, menjadi suri rumah sepenuh masa.
Ketika inilah kenangan indah tercipta dalam hidup saya, di perjalanan meniti usia menginjak dewasa. Menghabiskan masa di rumah bersama dua orang adik yang masih kecil serta melakukan kerja-kerja memasak, mengemas, menyapu, membasuh dan sebagainya sangat memberi kebahagiaan kepada saya. Masih terpahat di minda saya sehingga ke hari ini betapa pendidikan sewaktu kecil itu sangat berkesan kepada anak-anak, umpama memahat ukiran di atas batu.
Salah satu teori pendidikan, anak-anak mudah mengikut apa yang mereka lihat bukan apa yang mereka dengar. Sopan tingkah ibubapa, sopanlah tingkah si anak. Lembut bicara ibu bapa, lembut jugalah bicara si anak. Seperti apa yang berlaku kepada saya dalam tempoh waktu saya menjadi suri rumah sepenuh masa itu, sangat indah untuk dikongsi bersama. Tanpa saya sedar segala perlakuan dan rutin saya setiap hari rupa-rupanya diperhatikan oleh si kecil yang baru pandai berjalan, belum pandai menutur kata.
"Nizam tunggu je kat situ, kakak nak keluar ambil kain sekejap," Saya memberitahu si kecil Nizam yang comel berdiri di pintu rumah menuruti langkah saya. Si kecil mendongak wajah saya kemudian berjalan terkedek-kedek masuk ke dalam rumah. 'Oh, faham rupanya adik aku ni dengan kata-kataku', bisik hati saya. Rasa gembira kerana si kecil mula memahami kata-kata orang dewasa, tidak kurang juga rasa risau apabila si kecil ditinggal berseorangan di dalam rumah.
Beberapa minit saya berada di ampaian belakang rumah, si kecil keluar menapak dengan langkah yang masih ke kiri ke kanan sambil kepalanya ditutupi sehelai tuala ala-ala perempuan memakai tudung. Tergelak saya melihat tingkah si kecil yang mengikut saya memakai tudung setiap kali keluar rumah. Saya lantas mendukung si kecil, membawanya masuk ke dalam rumah semula dan menukar 'tudung' yang dipakai kepada kopiah. "Nizam lelaki, tak perlu pakai tudung. Kakak perempuan, sebab tu kena pakai tudung. Kalau Nizam nak pakai tutup kepala bila keluar rumah macam kakak, Nizam pakai kopiah ni ye. Kopiah ni untuk lelaki," Saya cuba mendidik si kecil membezakan antara lelaki dan perempuan juga secara tidak langsung menghantar mesej kewajipan menutup aurat bagi perempuan dan amalan sunnah memakai kopiah bagi lelaki ke dalam mindanya.
Semenjak hari itu, menjadi kebiasaan bagi si comel ini memakai kopiah di kepalanya setiap kali saya membawanya ke luar rumah atau pergi bersiar-siar di waktu petang. Sejuk mata dan damai hati saya melihat wajah bersih si kecil dengan kopiah di kepala...semoga menjadi anak yang soleh bila besar nanti.
Suatu ketika, kerana terlampau penat melakukan kerja-kerja di rumah, saya tertidur di ruang tamu. Saya tertidur sebelum sempat si kecil saya tidurkan. Sedang saya lena melepas penat, terasa lengan saya ditarik-tarik dan dengan payah saya cuba mencelikkan mata. Si kecil menghulurkan tudung yang biasa saya gunakan untuk ke luar rumah. Tidak dapat memikirkan kenapa si kecil berbuat begitu, saya mencapai tudung yang dihulurkan dan menyambung semula tidur saya. Belum sempat saya terlena, si kecil menarik-narik lengan saya semula. "Kenapa Nizam?" Soal saya kepada si kecil yang belum pandai bercakap. Si kecil menunjuk ke arah luar jendela, maka tahulah saya rupa-rupanya hujan mula turun dan saya belum lagi mengangkat kain-kain yang bersidai di ampaian!
Tidak perlu saya bergegas ke dalam bilik untuk mengambil tudung kerana si kecil awal-awal lagi telah mengambilkannya untuk saya. Saya tinggal memakai tudung dan berlari menyelamatkan kain-kain di luar daripada kebasahan. Alhamdulillah, sungguh cerdik si kecil ini memerhati dan bertindak, sungguh pun belum mampu menutur kata.
Begitulah anak-anak belajar daripada persekitaran. Anak-anak kecil sangat cepat menyerap apa-apa sahaja yang berada di sekitarnya untuk di ambil sebagai satu pengetahuan baru. Saya memang tidak mengajar mujahid kecil ini untuk memakai tudung seperti saya setiap kali keluar rumah tetapi perlakuan saya menjadi ikutannya. Andai si kecil ini seorang mujahidah, pastinya kewajipan menutup aurat telah sebati dalam dirinya tika menjadi mukallaf kerana didikan ini telah dia terima seawal usia kanak-kanak.
Juga saya tidak berpesan kepada si kecil supaya mengejutkan saya kalau hari hujan kerana saya tahu apalah yang si kecil ini faham dengan arahan sebegitu. Rupa-rupanya sangkaan saya silap. Sangat silap. Bukan sahaja si kecil yang belum menginjak usia dua tahun ini mengejutkan saya daripada tidur ketika hari hujan, bahkan dia turut juga memberikan saya tudung dan memastikan saya betul-betul bangun! Sesuatu yang di luar jangkaan saya. Semenjak dari itu, saya berfikir bahawa anak-anak kecil mempunyai potensi yang luar biasa andai di didik dengan betul. Tekad dan azam saya untuk mendalami bidang Pendidikan dalam Islam semakin kuat, dan itulah saya pada hari ini. Alhamdulillah.
Cahaya Mata (In-Team)
Anak-anak adalah cahaya mata
Penghibur hati penyejuk mata
Nikmat Allah yang paling bahagia
Nisbah benda lahir yang di dunia
Amanah Allah yang mesti di jaga
Di asuh dan dipelihara
Mencuaikannya khianat dan dosa
Zahirnya ibu bapa yang mendidik mereka
Hakikatnya adalah Tuhan Yang Esa
Bimbing mereka dengan bijaksana
Apakah akan jadi Yahudi
Jadi Nasrani atau Majusi
Moga jadi mukmin sejati
Bersabarlah mendidik mereka
Permata pada ayah bonda
Sinaran bahagia membawa ke syurga
Bersyukur kepada Yang Esa
Atas anugerah, nikmat dan rahmat-Nya
Bentuklah mereka sedari kecil
Taati ajaran agama
Anak yang soleh
Harta berharga
Doa mereka untuk kita
Mereka bagai kain putih
Yang lahir dengan suci bersih
Corakkanlah berhati-hati
Besarkan dengan akhlak terpuji
Anak soleh harta berharga
Kenang kita dalam doanya
Posted by Jihad at 12:09 AM 0 comments
Labels: 'Ibrah Hidup