THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?
Showing posts with label Diri. Show all posts
Showing posts with label Diri. Show all posts

Monday, June 15, 2009

Pemikiran Songsang

Sambungan 'Wahai Da'ie Berhikmahlah Dalam Berdakwah"

Lama berteleku, telinga saya menangkap perbualan teman-teman di luar,

"Bagus budak ni. Dia sanggup tangguhkan perkahwinan semata-mata nak bina rumah untuk mak ayah dia."

Astaghfirulllah al-azim...saya beristighfar berkali-kali. Inilah pemikiran songsang orang zaman sekarang. Jauh terpesong dan menyeleweng. Tidak tahu lagi untuk membezakan mana tujuan mana keperluan. Tujuan hidup untuk beribadah, hanya untuk beribadah. Perkahwinan itu ibadah, melengkapkan separuh daripada agama. Harta itu keperluan. Tapi seringkali kita menjadikan keperluan itu tujuan. Betapa songsangnya pemikiran umat Islam hari ini, sesat dalam cahaya. Lebih parah kesesatan cara berfikir itu tidak mahu diakui dan dibetuli.

Ada pula yang terang-terangan mengejar redha manusia, redha Allah diketepikan. Tidak mahu menyegerakan perkahwinan dengan alasan belum cukup 'kaya', kalau kahwin nanti orang cakap bukan-bukan sebab kenduri kahwin yang ala kadar, ada pula beralasan harta-benda belum lagi dilonggokkan untuk membahagiakan ibu dan ayah...dan macam-macam lagi alasan.

Bagi golongan seperti ini, bersiap-sedialah di mahkamah Rabbul Jalil, Allah akan perintahkan kalian memohon pahala dari orang-orang yang kalian cari redhanya, sedang pahala itu hanya Allah yang layak memberikannya kepada hamba-Nya.

Mungkin tanpa sedar kita telah termasuk dalam golongan ini. Mohon ampunlah daripada Allah. Semua kita mohon ampun daripada Allah. Sangat susah membezakan haq dan batil di akhir zaman ini. Moga kita sentiasa dipimpin oleh Allah meniti jalan jihad yang penuh onak duri juga terus berhikmah dalam berdakwah. Mereka-mereka ini perlu dakwah daripada kita...

"Ya Allah tunjukkanlah perkara yang haq itu haq dan berilah kami kekuatan untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah yang batil itu batil dan berilah kami kekuatan untuk menjauhinya."

Wahai Da'ie, Berhikmahlah Dalam Berdakwah

"Lain kali pakai baju lengan panjang! Pakai seluar panjang! Jangan pakai macam tu lagi. Faham?! Tu bogel namanya!"

Telinga saya menangkap bicara seorang lelaki. Ketika itu saya sedang melihat-lihat makanan apa yang ada untuk saya mengalas perut tengah hari tadi. Saya menoleh ke belakang, 'Oh, ustaz ni rupanya...Siapa yang ustaz tegur tadi?' Soal hati saya. Mata terus memerhati sekeliling kedai makan. Di satu meja saya lihat seorang anak gadis sedang duduk berseorangan menghadap sepinggan nasi.

Saya lihat air muka anak gadis itu muram, hanya merenung nasi di pinggan yang masih tidak terusik. Segera saya meminta izin untuk duduk di hadapannya sambil senyuman di ukir, ingin sekali kesuraman di wajah itu saya singkir pergi.

Saya pasti gadis inilah yang ditegur ustaz sebentar tadi. Ahli keluarga kami dalam komuniti yang kecil ini. Sekalipun sumbangannya umpama pejuang tanpa nama. Agak lama si gadis termenung, tidak mempedulikan saya yang ada di hadapannya. Tidak mahu membiarkan masa terus berlalu dalam keadaan kami membisu sedemikian rupa, saya membuka bicara.

"Cikgu di sini?" Tanya saya. Soalan yang tidak munasabah kerana mustahil saya tidak dapat membezakan penampilan seorang guru dengan penampilan seorang par. Saya cuma berharap dengan soalan saya itu si gadis terasa dia juga ada potensi umpama seorang guru.

"Pelajar?" Soal saya lagi kerana melihatkan wajahnya yang masih muda remaja.

"Bukan." Jawab si gadis mula mengukir senyuman.

"Saya bekerja di....(terpaksa dirahsiakan)" Si gadis menjelaskan.

"Berapa umur?" Soal saya lagi...

Seterusnya kami mula bersembang dan tahulah saya kenapa si gadis begitu.

Kasihan saya melihat gadis ini, anak sulung dalam keluarga, ibu bapa telah bercerai, ayah yang malas bekerja (pastinya tiada nafkah diberikan buat isteri dan anak-anak), ada kesedihan yang disembunyikan ketika dia bercerita kepada saya perihal keluarganya yang porak-peranda. Lebih kasihan bila golongan seperti gadis ini menerima dakwah yang tidak sepatutnya...seperti mana kata-kata ustaz yang saya dengar sebentar tadi...

Saya mendengar cerita si gadis dengan penuh minat, sedaya mungkin saya cuba menyelami isi hati mad'u di hadapan saya ini. Ibu bapa yang asyik bergaduh, sibuk dengan konflik dan krisis suami isteri, mana mungkin ada masa untuk mendidik anak-anak mengenal Allah. Mereka juga perlukan bimbingan.

Benar, di sekolah sudah di ajar bahawa orang Islam wajib menutup aurat, sudah di ajar berdosa bagi orang Islam yang tidak menutup aurat. Tapi kita jenguklah ke kelas-kelas Pendidikan Islam di sekolah-sekolah, bagaimana para ustaz dan ustazah mendidik anak-anak Islam ini? Mereka terikat dengan masa dan silibus! Isi kandungan buku teks hanya mengenyangkan otak sebelum segala isi itu dimuntahkan dalam kertas-kertas peperiksaan seterusnya dilupakan. Saya sendiri muak dengan silibus yang gersang penghayatan, kontang penerapan keyakinan yang menyebabkan matlamat ilmu dipelajari hanya sesingkat untuk peperiksaan, bukan untuk kehidupan duniawi dan ukhrawi juga bukan untuk mencari redha Allah.

Ustaz dan ustazah tersepit. Bagi yang ada kesedaran untuk memimpin anak-anak ummah memahami Islam seperti mana ia disampaikan oleh Rasulullah s.a.w, sedaya upaya tarbiah diberikan di dalam kelas, nasihat demi nasihat, teguran demi teguran dan analogi demi analogi diberikan supaya anak-anak yang masih mentah ini berfikir yang akhirnya menghasilkan yakin. Yakin bahawa syurga dan neraka itu benar. Yakin bahawa dosa dan pahala itu benar. Yakin yang menatijahkan 'amal. Beramal dengan ilmu yang dipelajari, demi mencari redha Rabbi.

Namun berapa kerat sahaja mereka yang sebegini. Selebihnya, hanya hampas! Ustaz ustazah ibarat buih di lautan. Banyak tapi tidak bermakna, menurut sahaja ke mana ombak terhempas. Sampai ke pantai hancur berkecai...

Saya sangat kasihan dengan gadis di depan saya ini. Mahu saja air mata saya mengalir laju, namun tiada gunanya ia dituruti. Tiada siapa yang faham rasa hati saya tika ini, betapa ia memberontak dengan sistem hidup buatan manusia yang rosak. Gadis di depan saya ini salah satu bukti daripada sekian banyak bukti yang ada. Gadis ini rosak kerana persekitarannya rosak. Persekitaran rosak kerana pemerintah tidak memerintah dengan acuan Islam. Urusan umat Islam diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya. Sistem pendidikan turut dicampuri dengan matlamat politik sesetengah pihak. Inilah bahananya...

Sebelum berlalu, saya tinggalkan gadis ini dengan kata-kata:

"Kalau adik pakai tudung lagi cantik." Sambil tersenyum saya terus berlalu. Moga hikmah ini terkesan di hatinya.

..................................................................

Mengenangkan peristiwa itu, cukup untuk membuatkan saya lama berteleku di atas tikar sejadah. Ingin saya mengubah bangsa, tapi apa kudrat yang saya ada. Berseorangan tidak akan mampu mengubah apa-apa. Ayuh teman seperjuangan, kita rapatkan soff jihad kita, kita bina kekuatan, kita hidupkan jemaah, genggam Islam hingga kita terkorban...ataupun menang. Allahu Akbar!!!

Friday, May 8, 2009

Hmmmm...JIKA KAMU...

Jika kamu lihat aku berdakwah,
Berdakwahlah aku,
Jika kamu lihat aku memberi nasihat,
memberi nasihatlah aku,
Jika kamu lihat aku bermadah berpuitis,
Bermadah puitislah aku.
Jika kamu lihat aku lazer,
Lazerlah aku.

namun itu semua bukannya disengajakan..
bahasa diguna untuk menyampaikan rasa.

TAPI
Jika kamu lihat aku menjiwang,
berhipokrit. merasakan diri aku terbaik,
hanya tahu memberi, tidak mengharapkan peringatan,
perasan banyak ilmunya,
itu bukanlah aku.
(sewious ni..kakaka)

Banyak TAHU tak semesti banyak iman dan taqwanya,
berpesan2lah dengan kesabaran & berpesan2lah dengan kebenaran.
Amr bin Asr ditegur RSAW kerana mengukur semangat orang dengan semangatnya,

INGATkanlah rakan2 yang bersemangat,
“Idola kita Rasul tercinta,
mengikut bukan berniat untuk menjadi sepertinya,
atau menjadi Rasul Melayu (kakaka) @ Rasul *****( mantop ustaz ni, kekeke?)
buat rujukan di dunia yang semakin menggila,
dimana semua insan berkata cara AKU, cara AKU!
amat terlupa cara ALLAH itu paling mulia!”

Jika kamu lihat kebaikan pada diriku,
itu kebaikan Rasullullah yang punya,
sayangilah RSAW..
jika tak kenal baginda, bagaimana mungkin untuk bercinta?
(oh, aku masih dalam pencarian..sesama la kita..)

Jika kamu lihat keburukan pada aku,
Itu kelemahan aku sebagai manusia.
aib itu tidak aku bukakan disini
kerana aib itu akan dibuka semua di Masyar nanti.

TAPI
Jika kamu melihat hanya seorang manusia biasa berdosa menulis,
yang ingin memuhasabah kesalahan,
yang ingin kurangkan perkataan,
bukan inginkan perhatian okay? hahaha
dan cuba untuk banyak berfikir sebelum butir kata dibicara,
sememangnya itulah kawe.. eh aku..

maaf atas kekhilafan,
dan teguran yang tercetus dari kelazeran.
Benar, perkataan yang baik pun kekadang boleh menjadi mudarat
jika overdose & tidak pintar dijaga.

di copy paste dari blog: http://www.palirulez.blogspot.com

Friday, April 3, 2009

Hari Ini Saya Gagal Lagi


Tidak tahu dari mana hendak saya memulakan penulisan...Mungkin lebih tepatnya saya harus bermula dengan lafaz 'Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Roji'un' kerana hari ini saya berdepan dengan satu lagi kegagalan, menambahkan siri-siri kegagalan yang sedia termaktub dalam sejarah hidup saya.

Iya, begitu banyak berita gembira saya terima pada hari ini, begitu banyak urusan saya dipermudahkan Allah pada hari ini, tetapi hati saya tetap terdorong untuk memikirkan tentang keGAGALan saya. Berbagai perasaan melanda jiwa saya antara sedih, kecewa, bersyukur (kerana ramai lagi yang mengalami kegagalan yang lebih teruk daripada saya), geram, rasa ingin menuntut bela atas kegagalan ini dan bermacam-macam lagi rasa.

Tetapi yang pastinya hanya satu rasa yang mendominasi rasa-rasa yang ada, saya ingin menuntut bela. Ya, kegagalan ini akan saya bayar dengan kejayaan. Kegagalan ini memberikan saya satu booster untuk memecut dan berlari menderu laju meninggalkan 'peserta-peserta' yang lain. Kata hati saya ini akan saya semat, dan akan saya kunyah hingga lumat, biar ia sebati dengan darah daging saya, jiwa raga saya.

Terpujuk jiwa saya yang berkecamuk dengan kata-kata Ustaz Azrul Azlan dalam kelas Multimedia Dalam Pendidikan Islam petang tadi, "Saya memang mengajar kamu untuk mendapatkan sesuatu dengan kesusahan, kerana perkara yang kamu dapat dengan mudah, senang untuk kamu melupainya. Sebaliknya perkara yang kamu dapat dengan susah payah, akan kamu ingat dan kenang sampai bila-bila."

Impian ini penuh jalan berliku, semoga bila saya menggapainya suatu hari kelak, saya tak lupa rumput di bumi tempat saya berpijak. Saya tak lupa perit maung jalan yang telah saya tempuh. Paling penting saya tak lupa Allah, Tuhan yang mengatur perjalanan hidup saya. Masa kan nikmat-Nya terlalu tinggi nilainya jika ujian-Nya tak sehebat mana. Ya Allah, lapangkanlah dada kami dengan sifat sabar dan matikanlah kami sebagai seorang Islam...

Monday, March 30, 2009

Corat-Coret Bengkel Latihan Mengajar

Alhamdulillah semalam kami telah selesai melalui Bengkel Latihan Mengajar sehari suntuk. Langkah disambut dengan wajah-wajah ceria bakal ustaz dan ustazah yang telah memenuhi Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Semuanya kemas berpakaian seperti seorang guru. Bakal-bakal ustaz nampak segak berkemeja dan bertali leher, tidak ketinggalan songkok hitam melengkapkan imej seorang ustaz. Bakal-bakal ustazah pula anggun dalam balutan baju kurung dan jubah serta kebanyakannya bertudung labuh, memenuhi tuntutan sunnah Rasulullah. Alhamdulillah, pemandangan yang tidak diketahui adakah ditemui lagi selepas ini di tempat lain...



Wajah bakal-bakal ustaz

Majlis dimulakan dengan nasyid Asmaul Husna seterusnya lagu Universiti Malaya. Rata-rata menyatakan rasa sebak sebab inilah saat-saat akhir kami bergelar pelajar Universiti Malaya sebelum menamatkan pengajian pada bulan depan dan melalui Latihan Mengajar selama 10 minggu berikutnya. Pastinya seribu satu cabaran menanti di hadapan. Tetapi lagu Univeriti Malaya telah menghidupkan semangat kami untuk terus optimis dalam bidang ilmu.

UNIVERSITI MALAYA

Universiti Malaya
Kebanggaan kita semua
Bertambah para ilmuan
Di pelbagai lapangan

KAMI BERTEKAD DI HATI
MENCAPAI CITA MURNI
Tradisi kecermelangan
Menepati wawasan

DI SINI KAMI SEDIA BERBAKTI
TERUS BERINOVASI
KAMI HARAPAN GENERASI MUKA
TERAS NUSA DAN BANGSA

Varsiti kesayanganku
Sungguh banyak jasamu
Mendidik insan mulia
Berilmu berbudaya

Selesai menyanyikan lagu Universiti Malaya, kami menyanyikan pula lagu 'Kami Guru Malaysia'. Saya tidak menyangka, jika beberapa waktu dahulu saya hanya melihat dan mendengar cikgu-cikgu saya di sekolah menyanyikan lagu ini, tapi hari ini saya pula yang akan menyanyikannya. Dulu sewaktu zaman persekolahan, pernah juga saya menghafal lagu ini dan sering menyanyikannya sewaktu bermain masak-masak bersama kawan-kawan di bawah rumah. Lagu ini menjadi salah satu lagu yang hit di bibir saya tika itu, mungkin kerana rentaknya yang penuh semangat. Namun apalah seorang kanak-kanak faham maksud besar dan mendalam di sebalik bait-bait yang dinyanyikan.

Hari ini, saya akan menyanyikan lagu ini dengan penuh penghayatan kerana beberapa waktu lagi saya akan memikul amanah sebagai seorang guru, mendidik anak bangsa, melakar tamadun ummah. Namun nyanyian saya tidak sampai ke penghujung, jiwa saya dilanda sebak yang teramat hingga sesak dada saya menahan air mata yang mula bergenang daripada turun ke pipi. Lagu ini benar-benar menyentuh jiwa saya...

KAMI GURU MALAYSIA

Kami Guru Malaysia
BERIKRAR DAN BERJANJI
MENDIDIK DAN MEMIMPIN
PUTRA PUTRI NEGARA KITA

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu membina
Negara yang tercinta

AMANAH YANG DIBERI
KAMI TAK PERSIAKAN
APA YANG KAMI JANJI
TUNAI TETAP KAMI TUNAIKAN


Penuh penghayatan

Tugas guru bukan mudah. Di luar sana guru bukan setakat berdepan dengan cabaran mendidik pelajar, tetapi guru juga berdepan dengan cabaran golongan guru yang menjadi guru kerana tuntutan pekerjaan, bukan atas kesedaran untuk mendidik anak bangsa, dan golongan ini bukan sedikit.

Kami juga ditekankan untuk mengotakan janji kami untuk menjadi guru yang dedikasi, janji kepada Universiti Malaya yang telah menyediakan prasarana yang cukup lengkap untuk mendidik bakal guru, akan dijulang nama Universiti sebagai institusi yang melahirkan guru-guru berkualiti. Juga janji kepada Negara Malaysia yang telah mengamanahkan tugas mendidik anak bangsa di pundak para guru, akan dijulang nama Malaysia sebagai pusat kecemerlangan ilmu.

Satu yang tidak disebut, paling utama ialah janji kita kepada Allah. Setiap amanah akan disoal di hari Akhirat kelak. Tidak semua orang diberi peluang mengutip pahala sebagai seorang guru. Bayangkan seorang guru itu, pahalanya berlipat kali ganda apabila ilmu yang dicurahkan terus-menerus disampaikan dari satu generasi ke satu generasi. Setiap manfaat yang diperolehi oleh orang lain daripada ilmu yang telah di ajar oleh guru, sang guru beroleh pahala. Bersyukur kepada Allah yang telah memilih kita untuk berada di jalan ini.

Namun harus di ingat, tugas kita bukan setakat pindahkan ilmu dan pelajar muntahkan pada kertas peperiksaan, atau mengajar untuk menghabiskan silibus. Wahyu pertama yang diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu telah memberikan kita garis panduan, 'Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan'. Pertama sekali tugas guru adalah kenalkan pelajar kepada Penciptanya (makrifatullah), bukan makrifatus sekolah!

Pelajar seharusnya di didik untuk menyerap nilai ke dalam diri, ke dalam hati. Zaman sekarang begitu mencabar dengan proses globalisasi langit terbuka, dunia tanpa sempadan yang hakikatnya merupakan proses penaklukan Barat terhadap dunia. Kebenaran bercampur aduk dengan kebatilan seiring dengan pesatnya perkembangan teknologi, dua perkara ini semakin sukar untuk dipisahkan. Tugas para guru untuk mendidik pelajar menilai yang benar dan yang batil semakin sukar dan mencabar. Hari ini telah membuktikan, tanpa pedoman nilai dan tunjangan akhlak, teknologi telah membinasakan manusia pada hari ini.

Pendidikan pada hari ini hanya mementingkan akal dan meminggirkan hati dan kalbu. Akhirnya lahirlah generasi yang mantap akal fikirnya tapi gersang jiwanya, itulah manusia yang tidak manusiawi. Bukan generasi sebegini yang kita harapkan untuk mengimarah bumi sebaliknya yang kita harapkan daripada pendidikan ialah generasi RIJAL dalam bentuk yang holistik dan komprehensif, umpama ungkapan Asy-Syahid Sayyid Qutb, Jiil Al-Quran.

Wahai para guru, kembalilah kepada Islam. Tidak ke mana kita tanpa Islam. Didiklah anak-anak bangsamu, rijal ummahmu dengan limpahan kasih sayang, sambil menginsafi tangan kitalah penentu gemilang atau terbuangnya Islam di masa hadapan. Apa senjatamu menghadapi semua ini? Itulah DOA. Berdoalah kepada Allah, doakan anak-anak bangsamu, doakan rijal ummahmu...doakan semuanya...kerana Tuhanmu Maha Mendengar.

Friday, March 27, 2009

Sahabat Itu Anugerah Allah

Hari ini (Jumaat, 27 Mac 2009)merupakan hari yang penuh ujian buat saya...Bila diri tidak diletakkan pada arus yang betul (arus alpha) pelbagai kesilapan boleh berlaku. Mungkin juga semua ini kifarah dari Allah...namun bersyukur pada-Nya, dalam keras mehnah-Nya, dikurniakan juga belai rahmat-Nya dengan kehadiran seorang sahabat yang sangat memahami situasi saya tika ini..

Itulah dia Hidayah(Dayah), teman serumah saya yang sama-sama menghuni Rumah Balqis...

Bermulanya cerita apabila hujan turun dengan lebat ketika saya perlu keluar rumah untuk menghantar tugasan Fiqh Al-Mu'amalat yang belum siap sepenuhnya. Sebelum hujan turun, Dayah telah menawarkan diri untuk menghantar saya ke Akademi Pengajian Islam dengan menaiki motosikal. Hari semakin gelap tapi tugasan saya masih lagi belum siap. Dayah yang telah selesai bersiap menawarkan dirinya sekali lagi untuk menaip tugasan saya sementara saya pula mula bersiap. Terasa ragu-ragu juga untuk saya mengatakan 'ya' pada mulanya. Hati saya berkata, "Eh, boleh ke Dayah ni baca tulisan Arab? Dia kan ambik engineering?" Tapi akhirnya saya bersetuju juga dan buku pun bertukar tangan. Sambil-sambil bersiap, saya menjeling-jeling Dayah yang sedang menaip...

Selesai bersiap, saya mengambil alih tempat Dayah untuk menaip. Jam menunjukkan pukul 4:30 petang dan saya perlu menyerahkan tugasan tersebut di bilik pensyarah sebelum berakhirnya masa pejabat!

Sekali lagi Dayah menawarkan pertolongan, "Biar Dayah baca, pastu akak taip. Cepat sikit." Katanya. Sekali lagi saya dilanda ragu-ragu, "Eh, boleh ke Dayah ni nak baca tulisan Arab? Kang nanti saya plak yang tak faham apa dia sebut. Macam mana nak taip?" Tetapi saya tetap mengatakan 'ya' kepada Dayah kerana keadaan saya memang sangat kritikal ketika itu.

Sambil Dayah membaca, saya menaip...Ingin hati saya menungkapkan kepada Dayah, 'Tak sangka bakal jurutera mahir juga berbahasa Arab!' Tapi suara itu hanya terpendam dalam hati saya kerana tidak mahu melengahkan masa walau sesaat, masa semakin suntuk.

Akhirnya lebih kurang pukul 4:40 petang, tugasan Fiqh Al-Mu'amalat berjaya disiapkan oleh seorang bakal guru dan seorang bakal jurutera. Subhanallah! Hujan semakin lebat, kilat dan guruh berselang-seli seolah-olah tidak mahu memberi peluang kepada warga kota untuk melangkah keluar rumah. 'Duummm!!!' Tiba-tiba berdentum bunyi guruh menyebabkan bekalan elektrik di rumah kami terputus. Hati saya bersyukur kerana bekalan elektrik terputus setelah tugasan saya disiapkan, dengan bantuan Dayah. Dalam keadaan gelap dan kelam-kabut, kami berusaha mem'binding' tugasan tersebut menjadikannya satu buku. Setelah selesai....,"Alamak, terbalik pulak. Kalau tugasan Bahasa Arab, kena binding sebelah kanan, tak macam tugasan yang guna tulisan rumi." Saya memberitahu dayah. Kami pun berusaha membuka balik selotep dan dawai kokot dalam keadaan nampak tak nampak. Setelah selesai tugas tersebut, kami mula mem'binding' balik. "Alamak, dawai kokot habis pulak. Macam mana nak cari dalam gelap ni?" Tak dapat digambarkan perasaan saya ketika itu, sangat-sangat genting. Akhirnya saya memujuk diri, "Tak apalah, kita guna je apa yang ada."

Keadaan di luar masih lagi menggerunkan. Suasana ribut seperti ini memang tidak selamat untuk bermotosikal, lantas saya mengambil keputusan untuk menuju ke Akademi Pengajian Islam dengan menaiki teksi. Demi satu amanah, saya cekalkan hati untuk menghadapi cuaca buruk di luar. Dayah juga menuruti langkah saya. "Dayah nak pergi mana?" Soal saya. "Temankan akak lah" Jawabnya selamba. "Tak pe je pergi sorang, lagipun naik teksi." Saya menolak pelawaan Dayah. "Kesian plak akak kena pergi sorang-sorang. Dah la hujan lebat ni." Dayah membalas. Kata-kata Dayah membuatkan saya betul-batul terharu, dia menawarkan pelbagai pertolongan sedangkan tugasan saya ini tiada kaitan langsung dengan dirinya. Semoga Allah membalasnya dengan kejayaan Dayah di dunia dan di akhirat. Amin...

Cerita tidak terhenti setakat itu...Sampai di tepi jalan, satu bayang teksi pun tak nampak. Kebetulan jalan tempat kami menunggu teksi itu dipenuhi lopak air, beberapa kali terpaksa berundur ke belakang untuk mengelak simbahan air daripada kereta yang lalu di situ...Saya melihat Dayah, kesian Dayah terpaksa bersusah-susah kerana saya...

Tidak berapa lama selepas itu, bas awam (RapidKL T632) yang melalui Universiti Malaya tiba. Untuk menjimatkan masa, kami menaiki bas tersebut dan mengambil teksi di Stesen Universiti untuk ke Akademi Pengajian Islam. Hujan masih lagi mencurah-curah, kami sempat melihat kemalangan di kawasan Vista Angkasa. Kemalangan tersebut mungkin kerana hujan yang terlalu lebat dan jalan raya menjadi licin menyebabkan kereta hilang kawalan.

Sampai di Stesen Universiti, jalan raya telah menjadi kuning! Banjir kilat beserta lumpur. Kami terpaksa melompat keluar dari perut bas untuk memijak kawasan yang lebih tinggi dan menuju ke tempat perhentian teksi. Terpaksa juga meredah banjir yang sangat deras. Sampai di tempat perhentian teksi, satu teksi pun tidak ada, sesuatu yang luar biasa! Hati saya mula beristighfar, teringat-ingat perbuatan saya yang mengundang dosa. Mungkin ini kifarah dari Allah.

Selepas dapat menahan sebuah teksi, hati saya berasa lega. Tidak putus-putus saya memohon kepada Allah supaya dipermudahkan urusan saya. Rupa-rupanya itu bukan yang terbaik untuk saya. Sampai sahaja di pintu masuk Universiti Malaya, pengawal bertugas meminta kami berpatah balik kerana jalan di situ tidak dapat dilalui, air telah naik dengan tingginya.

Akhirnya dengan pasrah, saya meminta kepada pemandu teksi tersebut untuk menghantar kami balik ke rumah. Dalam perasaan dan fikiran yang bercelaru, saya memuhasabah diri saya...saya menuntut ilmu kerana apa? kerana nak segulung ijazah? kerana nak pointer tinggi? kerana nak dapat kerja yang bergaji besar? Kalau begitulah tujuan saya menuntut ilmu, alangkah ruginya saya...bertahun-tahun saya mengejar dunia, sedangkan dunia ini saya akan tinggalkan bila saya mati.

Sesungguhnya, saya, Dayah, dan semua sahabat-sahabat telah faham, kita menuntut ilmu kerana Allah. Cuma kadang-kadang kita tak sedar tindakan kita tak menunjukkan apa yang di ucap. Macam apa yang telah berlaku kepada saya, tanpa ujian Allah ini, mungkin selamanya saya akan lalai dengan niat saya menuntut ilmu hanyalah kerana Allah. Monolog kepada diri semakin panjang, hati semakin sedar...doa Ustaz Ilyas, Pondok Pasir Tumboh, saya ungkap berulang-ulang, "Ya Allah, sekiranya kejayaanku dalam pelajaran akan mendekatkan aku kepada-Mu dan perjuangan Islam, maka kurniakanlah aku kejayaan. Dan Ya Allah, sekiranya kejayaanku dalam pelajaran semakin menjauhkan aku daripada-Mu dan perjuangan Islam, maka kurniakanlah aku sebaliknya kerana hidupku tiada erti tanpa-Mu dan tanpa perjuangan menegakkan agama-Mu."


Isma, Farah dan Dayah di hadapan Rumah Balqis

Kepada Dayah, terima kasih tidak terhingga. Tak sangka ye bakal jurutera mahir juga berbahasa Arab, kalah kami. Ilmu kejuruteraan satu pun kami tak tahu=)

Sahabat itu anugerah Allah, terasa benar belai rahmat-Mu Ya Allah dalam mehnah yang mencabar ini. Alhamdulillah.

Wednesday, March 25, 2009

Masa Yang Tidak Pernah Cukup

Imam Al-Ghazali telah membahagikan masa 24 jam sehari semalam kepada tiga bahagian iaitu satu pertiga untuk Allah, satu pertiga untuk orang lain dan satu pertiga untuk diri sendiri. Maksudnya lapan jam untuk Allah, lapan jam untuk orang lain dan lapan jam untuk diri sendiri.

Tetapi berjam-jam sudah saya habiskan untuk menyiapkan tugasan, semoga setiap jam yang telah berlalu terangkum ketiga-tiga hak tersebut. Menuntut ilmu kerana Allah juga dikira sebagai ibadah, dengan matlamat supaya suatu hari nanti boleh disebarkan kepada masyarakat, akademis muttaqin, ulama' 'amilin mengimarah bumi sebagai khalifah.

Tidak upaya menongkat mata, entri-entri terdahulu terpaksa dibiarkan sebegitu rupa...insya Allah akan dikemaskini kemudian.

Teringat kata-kata Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna, "Kerja kita lebih banyak daripada masa yang kita ada."

Pendidikan Islam di Malaysia: Dasar Semakan Kurikulum Pendidikan Islam

Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 27 Januari 1999 , menyarankan Kementerian Pendidikan menyemak semula kurikulum Pendidikan Islam (PI) dengan memberi penekanan kepada kandungan teks dan kaedah pelaksanaan kurikulum yang lebih berkesan kepada murid-murid sekolah. Kurikulum Pendidikan Islam disemak semula mulai pada tahun 2000 dengan membuat beberapa penambah baikan.

Dasar Semakan

KPM telah memutuskan semakan kurikulum kali ini perlu menjadikannya lebih relevan. Kurikulum yang relevan dengan tuntutan semasa dan keperluan pada masa akan datang serta boleh memenuhi matlamat-matlamat yang ditentu perlu dirancang dan dibangunkan. Perkara-perkara berikut yang menjadi asas pertimbangan dalam semakan kurikulum:

1) Kurikulum sebagai agen perubahan yang mempunyai wawasan dan falsafah pembangunan sosial yang progresif ke arah mengisi keperluan pembinaan individu, masyarakat dan negara . Kurikulum perlu direncana untuk membawa reformasi sosial dan pemodenan ke arah mewujudkan masyarakat madani (civil society).

2) Kurikulum menawarkan prospek baru dalam menangani pembangunan sumber manusia penguasaan pengetahuan dan kemahiran baru dan terkini, serta nilai-nilai kehidupan yang menjamin kesejahteraan individu dan masyarakat umum.

3) Kurikulum mesti seimbang dari segi akademik dan bukan akademik, berpaksikan ilmu pengetahuan, teori dan aplikasi dalam kehidupan dan tempat kerja, serta fleksibel mengikut kebolehan dan keupayaan murid.

4) Kurikulum menawarkan pengetahuan dan kemahiran yang ‘marketable’ sesuai dengan matlamat menyediakan guna tenaga manusia yang berketrampilan dalam menghadapi perubahan ke arah negara perindustrian dan ‘market economy’.

5) Kurikulum mengambil kira kepentingan meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran, kemudahan pembelajaran, dan peningkatan ke arah kualiti pendidikan guru Pendidikan Islam. (kualiti guru Pendidikan Islam bukan sahaja dilihat dari aspek kemahiran menggunakan pelbagai teknik dan kaedah dalam proses pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga dari aspek pengamalan nilai-nilai Islam dalam kehidupan. Senario hari ini, tidak pelik kita melihat seorang ustazah memakai pakaian persis sarung cempedak, seorang ustaz berpakaian umpama penyanyi rock dan lebih dari itu seorang guru agama yang elok memakai jubah dan serban tetapi melakukan sumbang mahram! Malangnya sistem pendidikan kita hari ini tidak menekankan soal penghayatan Islam sebagai tunjang utama yang membentuk kualiti guru)

Matlamat Semakan

Keperluan semakan kurikulum Pendidikan Islam adalah bermatlamat untuk mencapai perkara-perkara seperti yang berikut:

1)Keberkesanan Pendidikan Islam dari segi penghayatan dan aplikasi, terutama fungsinya sebagai benteng keagamaan dan amalan nilai-nilai budaya bangsa, (Tapi Pendidikan Islam di sekolah pada hari ini tidak lagi dihayati dan di aplikasi oleh pelajar jauh sekali menjadi benteng keagamaan, hanya di aplikasi dalam kertas jawapan ujian dan menjadi benteng dari gagal subjek Pendidikan Islam)

2) Mengaitkan antara teori dan praktis iaitu pelajar bukan sahaja berketrampilan dalam bidang akademik tetapi juga tahap amalan dan penghayatannya.

3) Menggabungkan aspek Fardu ‘Ain dan Fardu Kifayah ke arah menyumbang kepada pembangunan diri, bangsa dan negara bagi meneruskan kegemilangan tamadun Islam, (Khilafah Islam pernah menguasai dua pertiga dunia dan mencipta tamadun yang gilang gemilang berteraskan keimanan dan ketaqwaan. Sepanjang saya bergelar pelajar SEKOLAH AGAMA, sejarah ini tidak pernah disentuh pun. Macam mana kegemilangan tamadun Islam hendak diteruskan jika pelajar tidak dididik untuk berjuang menegakkan daulah Islam sebaliknya hanya disogokkan dengan prinsip-prinsip Islam Hadhari!) dan

4) Mencapai matlamat pembinaan kurikulum untuk menampilkan kekukuhan keimanan generasi Muslim, menguasai ilmu Fardu ‘Ain, memahami tuntutan Fardu Kifayah, sentiasa berbakti kepada agama, bangsa dan negara serta berakhla mulia. Ini bermakna generasi yang dibina akan memiliki daya juang, daya saing dan daya maju.

Ciri-ciri Kurikulum Pendidikan Islam Semakan

1) Mengekalkan kesinambungan dan keseimbangan di peringkat KBSR dan KBSM,

2)Penyepaduan ilmu dijelmakan. Oleh itu, kurikulum Pendidikan Islam yang bersumberkan wahyu akan menjadi pelengkap ilmu yang bersaling kait dan merentasi kurikulum. (Sejauh mana Pendidikan Islam menjadi pelengkap ilmu lain dan merentasi kurikulum? Berapa ramai guru Matematik hari ini yang mengaitkan nombor-nombor dengan kekuasaan Allah? Betapa Allah menyusun rumus-rumus Matematik sebegitu rupa? Juga berapa ramai guru-guru Pendidikan Jasmani yang mengaitkan sukan dan permainan dengan Pendidikan Islam? Pergaulan bebas dibiarkan, kewajipan menutup aurat di abaikan.) Pelajar akan dapat memahami secara lebih jelas tentang kesepaduan antara ilmu naqli dan ilmu aqli melalui isi kandungan kurikulum Pendidikan Islam itu sendiri dan perkaitannya dengan mata pelajaran lain,

3) Penggabungan antara Fardu ‘Ain dan Fardu Kifayah dalam kurikulum pendidikan Islam dapat dikembangkan melalui isi kandungan kurikulum itu sendiri dan mengaitkan dengan bidang ilmu yang lain. Pelajar akan dapat memahami akan keperluan amalan Fardu ‘Ain sebagai tuntutan individu yang mesti ditunaikan dan amalan Fardu Kifayah sebagai tanggungjawab individu untuk membangun bangsa dan negara,

4) Menekankan pembentukan dan pembangunan insan mulia yang berkeupayaan menyumbang ke arah pembangunan tamadun bangsa dan negara. Pelajar akan dibimbing berterusan tentang kehidupan beradab dan berdisiplin yang mengangkat martabat insaniah,

5) Untuk mencapai hasrat ini penulisan buku teks hendaklah mengambil dan mengekalkan tradisi budaya penulisan sebenar ilmu Islam dengan pelbagai pendekatan semasa yang bersesuaian,

6) Penyampaian pengajaran guru distrukturkan mengikut tradisi pendidikan ilmu Islam supaya ajaran Islam yang sebenar dapat dikuasai dan diyakini. Pemahaman terhadap struktur ini akan mengembangkan proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam dengan lebih bersistem dan dinamik. Penstrukturan tersebut mengandungi aspek pengertian sebenar, inkuiri terhadap sesuatu, mencari sumber bukti, berfikir memahami matan(teks) kemahiran amali dan penghayatan nilai,

7) Penggunaan pelbagai bahan bantu mengajar dan multimedia digalakkan supaya penyampaian guru lebih menyeronokkan, mudah difahami dan berkesan,

8) Penilaian terhadap murid-murid dibuat secara menyeluruh berdasarkan rujukan criteria,

9) Pengajaran Pendidikan Islam tentang perkara wajib, sunat dan harus mesti diberi penjelasan dengan baik agar tidak timbul kekeliruan dalam mentafsir sesuatu hukum.

Wacana Pendidikan Islam (siri1) : Kurikulum Bersepadu Pendidikan Islam Menghadapi Cabaran Era Globalisasi.

Kalau nak komen, banyak yang akan dibantah di sana sini. Sewaktu menyiapkan tugasan ini, hati saya berasa mual dengan ayat-ayat yang disusun sedang hakikatnya indah khabar dari rupa. Semakin hari masyarakat kita semakin rosak sedang para bijak pandai sibuk berseminar sana sini, bermesyuarat sana sini untuk memperbaiki sistem pendidikan kita yang tidak ubah seperti melahirkan burung kakak tua sehinggakan Prof Emeritus Dr. Khoo Kay Kim pernah menyatakan semasa forum bersempena Simposium Perdana Mahasiswa Islam Malaysia di Universiti Malaya tidak berapa lama dahulu dengan kata-katanya, "Saya paling tidak suka menyemak kertas jawapan pelajar kerana seolah-olah saya mengingat balik apa yang telah saya ajar."


Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim: Kanan sekali

Di mana silapnya? Saya melihat kepincangan ini daripada dua sudut, yang pertama adalah kerana penyakit cinta dunia telah sebati dalam diri masyarakat hari ini. Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan menyebabkan pelajar berlumba-lumba mengumpul A demi untuk 'mencantikkan' sekeping sijil dan akhirnya untuk mendapat pekerjaan yang bergaji besar. Duit yang banyak tu tak juga digunakan untuk mentaati Allah...

Sebab kedua, persoalan ikhlas...saya percaya sebahagian besar orang memilih untuk menjadi guru sebab tidak ada pilihan pekerjaan lain selain menjadi guru untuk mendapat gaji. Islam meletakkan guru pada martabat yang tinggi dan mulia sehinggakan ilmu yang dicurahkan, tidak akan putus pahalanya sehingga ke akhirat selagi mana ada orang yang mengamalkannya. Sedarkah kita ilmu yang kita ada adalah milik Allah? Allah meminjamkan ilmu-Nya kepada para guru supaya mereka mendidik manusia mengenal-Nya, Sang Pemilik Ilmu. Kosongnya jiwa guru dari sifat ikhlas menyebabkan ilmu sekadar sampai ke otak pelajar tidak meresap ke dalam hati dan jiwa pelajar.

Setinggi-tinggi martabat guru jangan sampai diheret ke api Neraka kerana menyalahgunakan nikmat yang telah Allah beri iaitu menggunakan ilmu Allah untuk mendapat gaji bukan untuk mengenalkan manusia kepada Penciptanya. Na'uzubillahi min zalik. Allahumma ajirna minan nar...Allahumma ajirna minan nar...Allahumma ajirna minan nar...

Sunday, March 22, 2009

Be Cool!

Sehari sebelum tarikh untuk menghantar kertas kerja Fiqh Al-Muamalat, baru saya tahu saya telah tersilap tajuk! Satu kumpulan kami tersilap tajuk. Allah...memang ujian...

Tajuk kertas kerja yang sepatutnya ialah 'Al-ahliyyah wa 'awaaridhuha fi al-fiqh al-Islami'. Alhamdulillah, tajuk yang lebih mudah dan lebih banyak rujukan daripada tajuk 'Asy-Syuf'ah'. Tapi, tetap juga memerlukan banyak masa untuk menyiapkannya. Be cool n be optimis!

Teringat kata-kata cikgu saya masa di bangku sekolah dulu, "Kamu nak jadi apa pun kat dunia ni, kamu boleh capai. Tiada yang mustahil di dunia ni. Cuma satu, kamu tak boleh jadi nabi dan rasul. Dengan syarat kamu kena berusaha dan berTAQWA."

Bila sebut tentang taqwa, teringat kata-kata seorang ustaz dari Sarawak baru-baru ini, "SeDAJAL-DAJAL pejuang Islam, dia akan buat qiam seminggu sekali."

Inspirasi (RAST)

Perjalananmu masih jauh
Sayup beribu batu
Dari mula kau impikan
Gapai cita nan satu
Manapun arah yang di tuju
Bermula dari satu
Aturkan langkah usah ragu
Semoga diberkati

Bersedia seawal waktu
Usah kau bertangguh
Tumpuan dan kesungguhan
Impian kan nyata akhirnya
Dugaan mengajar kita
Erti ketabahan
Cabaran mengukuh jiwa
Singkir keraguan di minda

Usaha tangga kejayaan
Usah kau lupakan
Hingga mencapai puncak jaya
Dan titis pengorbanan dalam perjuangan
Jadikannya satu inspirasi

Walaupun tinggal sehari untuk menyiapkan kertas kerja, insya Allah tiada yang mustahil di dunia ini. Allahumma baarik lana fi awqaatina...amin...

Minta Cuti

Test Fiqh Muamalat - 23 Mac 2009
Submit Kertas Kerja Fiqh Muamalat - Asy-Syuf'ah - 23 Mac 2009
Kertas Kerta Pendidikan Islam di Malaysia - Dasar Semakan Kurikulum KBSR dan KBSM - 24 Mac 2009 (tangguh after test)
Laporan Perbincangan Courseware Project hari Khamis lepas - 24 Mac 2009 (tangguh after test)
Story board, courseware part, bahan interaktif - 25 Mac 2009
Kertas Kerja Dasar Program Bersama Non Muslim, Persatuan Ulama Malaysia dengan kerjasama JAWI - before April
Timbalan Ketua Unit Tajaan dan Sumbangan Kem Remaja Islam Sarawak 2009, Miri (KRIS Miri 09).....duit oh duit...di mana nak cari duit=)

Time to leave this blog for a while...

Saturday, March 21, 2009

Fikiran Melayang?

Dalam saya sibuk-sibuk search sana sini untuk menjawab soalan refleksi ustaz sambil mendengar nasyid, tersentak seketika kekhusyukan saya bila telinga 'menangkap' lirik nasyid yang sedang berkumandang. Nasyid yang pernah hit suatu ketika dulu, dan bagi sesetengah orang ada kenangan tersendiri...sama-sama kita hayati liriknya...

Permata Yang Di Cari (De-Hearty)

Hadirnya tanpa ku sedari
Menggamit kasih cinta bersemi
Hadir cinta insan padaku ini
Anugerah kurniaan Illahi
Lembut tutur bicaranya
Menarik hatiku untuk mendekatinya
Kesopanannya memikat di hati
Mendamaikan jiwaku yang resah ini

Ya Allah jika dia benar untukku
Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
Jika dia bukan milikku
Damaikanlah hatiku dengan ketentuan-Mu

Dialah permata yang di cari
Selama ini baru ku temui
Tapi ku tak pasti rencana Illahi
Apakah dia kan ku miliki
Tidak sekali dinodai nafsu
Akan ku batasi dengan syariat-Mu
Jika dirinya bukan untukku
Redha hatiku dengan ketentuan-Mu

Ya Allah Engkaulah tempatku bergantung harapanku
Ku harap diriku sentiasa di bawah rahmat-Mu

Gagal memfokuskan fikiran pada kerja yang dilakukan, saya mengalihkan pandangan kepada gambar-gambar keluarga yang sengaja saya tampal depan meja saya, supaya setiap saat saya dapat menatap wajah-wajah ahli keluarga yang jauh ditinggalkan. Rindunya...untuk keluarga saya, ada satu lagu yang sentiasa evergreen dalam jiwa saya...moga kita kekal bersama hingga ke akhirat. amin...



Permata Ayah Bonda (Firdaus)

Mewangi kuntuman bahagia
Di halaman ayah serta bonda
Menatang seraut cahaya
Melerai resah dan gundah di jiwa
Selangit impian di cita
Selaut harapan di damba
Dibelai di manja mesra
Kaulah racun kau penawar
Senyuman dan tangisanmu
Pengubat duka dan lara

Engkau umpama sebutir permata
Di perlubukan kasih nan bersinar bercahaya
Hiasi rumahtangga
Engkau harapan seisi keluarga
Panjatkan doa dan airmata
Yang pasrah kepada Yang Esa
Kepadamu tercurah kasih sayang dan pengorbanan
Agar terus gemilang

Di didik di asuh tiap masa
Di ajarkan ilmu yang berguna
Mengenal Allah dan Rasul
Menyemai menyubur iman di dada
Dilayur segala kekerasan
Dilentur dengan kelembutan
Di titip seuntai madah
Hidupmu mula dan berakhir
Menyusur fitrah dan sunnah
Bernoktah di penghujungnya

Tiada yang lebih membahagiakan
Melihat dirimu kian membesar dewasa
Di dalam sejahtera
Usah terpesona pujukan dunia
Yang hanya menyilau pandangan
Memukau dengan keindahannya
Nasihat ayah bonda
Agar engkau lebih bersedia
Untuk menghadapinya

Bersemi kelopak kasih sayang
Di persada cinta yang sejati
Titisan susu ibunda
Menyegarkan, menghapuskan dahaga
Renjisan keringat dari ayahanda
Menyubur pohon kehidupan
Tuaian sebidang tabah
Buatmu doa dan harapan
Jadilah insan yang mulia
Pembela di hari tua

Waktu bisa merubah segalanya
Dewasalah dalam rahmat dan kasih Illahi
Redahi pancaroba
Andai langkahmu tersasar ke simpangan
Pulanglah ke laman ayah bonda
Kembali menghuni di tamannya
Bersamalah semula
Menghirup embunan kasih sayang
Sedingin air mata bonda
Engkaulah permata ayah bonda

Semoga terus bersemangat!

Friday, March 20, 2009

Kerana Aku Juga Akan Jadi Seperti Dia

Al-Mua’llim (Sami Yusuf)

We once had a teacher
The Teacher of the teacher
He changed the world for the better
And made us better creatures
Oh Allah we’ve shamed ourselves
We strayed from Al-Mua’llim
Surely we’ve wronged ourselves
What will we say in front him
Oh Mua’llim…

He was Muhammad s.a.w
Muhammad, mercy upon Mankind
Teacher of all Mankind
Abal Qasim
Ya habibi ya Muhammad
Ya Shafie ya Muhammad
Khayru khalqillahi Muhammad
Ya Mustafa ya imamal mursalina
Ya Mustafa ya syafi’al alamina

He prayed while other slept
While others ate he’d fast
While they would laugh he wept
Until he breathed his last
His only wish was for us to be
Among the ones who prosper

Ya Mua’llim peace upon you
Truly you are out Teacher
Oh Mua’llim…

Ya habibi ya Muhammad
Ya shafie ya Muhammad
Ya rasul ya Muhammad
Ya bashiri ya Muhammad
Ya nadhiri ya Muhammad
‘Ishqu qalbi ya Muhammad
Nuru’ ayni ya Muhammad

He taught us to be just and kind
And to feed the poor and hungry
Help the wayfarer and the orphan child
And to not be cruel and miserly
His speech was soft and gantle
Like a mother stroking her children
His mercy and compassion
Were most radiant when he smiled


Lilin Seorang Guru (in-team)

Pernah langkahku payah
Menuju ke destinasi
Kerana malam gelap
Dan bintang hilang kerdipnya
Menjadikan arahku keliru
Ke timur atau ke barat

Bagai lilin membakar diri
Menerangi kegelapan hati
Kau curahkan bakti dan budi
Jasamu tiada berganti

Namun tanpa rasa payah
Dia memimpin tanganku
Melangkah satu persatu
Dan mencipta jejak impian
Menjadikan arahku jelas
Aku harus ke hadapan

Aku kini rindu
Pada satu nama yang berjasa
Tuhan beri kekuatan
Untuk mendidikku selamanya
Ku pohon restu kasih-Mu
Ampunkanlah guru-guruku

Semalam ku lihat dia
Di bibirnya ada kalimah
Yang bergetar saban waktu
Sambil tangan menggenggam lilin
Lilin yang tiada terpadam
Menerangi hidupku ini


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa.