THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?
Showing posts with label Tarbiah. Show all posts
Showing posts with label Tarbiah. Show all posts

Saturday, November 14, 2009

Sejambak Mawar Merah Buat Muslimat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pemurah


Muslimat yang dikasihi,

Jadikanlah pesanan ini sebagai pencetus kepada nadi perjuangan kita. Ingatlah tiada istilah perjuangan jika tiada ujian dari Allah s.w.t. Jika jalan menegakkan kalimah suci Allah yang muslimat canaikan ini terlalu mudah untuk diperolehi, maka berhati-hatilah…pasti ada yang tidak kena di situ.

Sunnah perjuangan tiada hamparan permaidani merah menanti kita, atau paluan kompang yang membanggakan kita, tetapi cercaan, sindiran dan seksaan itulah yang harus kita hadapi sebagai saham kita di hadapan Allah kelak. Oleh itu aspek tarbiah sangat penting dalam membina sof gerakan Islam. Kita tiada pilihan lain selain mempersiapkan dan melengkapkan diri dengan segala ilmu asas yang merujuk terus kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber utama. Nun jauh di ceruk-ceruk kampung dan hutan batu di Bumi Sarawak ini, masyarakat menanti kehadiran kita dengan tanggungjawab sedia terhidang untuk kita garap dengan penuh rasa keinsafan.

Kita perlulah mempunyai peribadi yang berpandangan jauh dalam menangani cabaran zaman teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin canggih. Seharusnya kita ceduk segala ilmu ini untuk memastikan kita tidak akan terpinggir serta tertinggal dalam membawa agenda dakwah muslimat. Ta’awwun (saling bantu-membantu) dan ukhuwah, itulah antara tunjang sof jamaah yang akan kita terapkan dengan sikap saling berhubungan antara satu sama lain untuk bertukar pandangan dan saling nasihat-menasihati di antara kita.


Sedarkah kita selama ini kita terlalu suka bermain-main dengan perasaan kita dan masalah yang kita ciptakan sendiri? Walhal paluan gendang jihad telah lama berbunyi menyeru kita ke medan perjuangan membela agama Allah. Tiada siapa yang harus diharapkan dalam misi menegakkan panji-panji Allah ini. Kalau bukan kita siapa lagi?

Bagaimana mungkin kita mampu memimpin ummah ke jalan yang bersih dan benar sedangkan kita sebagai penggerak dan pendakwah masih mempunyai ciri-ciri yang dibelenggu oleh nafsu yang tidak baik dan masih tidak terlepas dari sikap-sikap yang sebenarnya bertentangan dengan Islam itu sendiri. Asy-Syahid Abdul Kadir Audah pernah menukilkan bahawa, ‘Umat akan terpesong bukan sahaja kerana mereka jahil tetapi kerana mereka dipimpin oleh ulama’ yang lemah.’


Buat akhirnya kita ingin melahirkan muslimat yang mempunyai sifat-sifat hizbullah, mencintai Allah melebihi segala-galanya. Bagai tergambar di ruang mata, bagaimana Siti Hajar berlari-lari dari Sofa ke Marwah, dari Marwah ke Sofa. Ditinggalkan sendirian di padang pasir kontang oleh suaminya Nabi Ibrahim a.s tanpa bekalan, melainkan sebuah keyakinan…inilah PENGORBANAN, sebagai bukti kecintaan!


Harus kita tunduk menginsafi diri…Apakah pula bukti kecintaan kita kepada-Nya??

Tuesday, April 14, 2009

KELAYAKAN PERIBADI ABNA' AL-HARAKAH

Abna' al-harakah...'anak-anak' yang lahir dari rahim tarbiah. Bukan sahaja pengikut setia jemaah, tetapi dialah al-muharrik, penggerak jemaah. Biar jalannya berliku, biar nyawanya menjadi taruhan, biar dirinya hanya keseorangan...dia tetap berjuang, menggerakkan jemaah demi menyahut kewajipan menegakkan daulah Islam. Itulah abna' al-harakah. Dia jundiy, dia juga qiyadi...dia khalifah, dia juga hamba kepada Yang Maha Pencipta.

1) MEMPUNYAI KEFAHAMAN ISLAM YANG SEBENAR

Kelayakan peribadi yang pertama ialah mempunyai kefahaman Islam yang sebenar. Sesiapa sahaja yang ingin menegakkan peraturan masyarakat Islam patutlah mengetahui terlebih dahulu peraturan itu sendiri secara menyeluruh. Ini memerlukan penguasaan ilmu Islam secara mendalam. Ukuran dalam atau ceteknya ilmu Islam ini tertakluk kepada kebolehan diri perseorangan. Tidak semestinya setiap orang yang berjuang di jalan kebenaran ini adalah tokoh ilmu Islam, tetapi adalah perlu bagi setiap tadi mempunyai satu kelayakan tertentu sekurang-kurangnya mebolehkan mereka membezakan antara aqidah Islamiah an ciri-ciri jahiliah dan juga antara amalan-amalan Islam dan bukan Islam.

2) MEMILIKI KEIMANAN YANG TEGUH TERHADAP ISLAM

Di samping ilmu dan kefahaman, satu lagi kelayakan yang perlu ada ialah mempunyai iman yang teguh terhadap aqidah yang menjadi asas kepada semua perbuatan mereka. Mereka menilai kebenaran sesuatu aliran pemahaman dan tindakan berlandaskan Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Apa sahaja yang bersesuaian dengan ciri penilaian ini dikira benar dan apa saja yang bertentangan dengannya dikira salah.

3)WATAK PERIBADI (SYAKHSIYAH FARDHIYAH)

Kelayakan yang ketiga ialah tindakan seseorang itu mencerminkan apa yang dipertuturkan. Dia akan mengamalkan apa yang dianggap betul (benar) dan menjauhi apa saja yang difikirkan salah. Kehidupan dan tingkah lakunya menggambarkan kefahaman yang ada padanya. Dia tidak perlu kepada tekanan luar untuk mematuhi peraturan Islam dan menjauhi larangannya. Baginya bahawa kenyataan setiap amalannya itu perlu mendapat keredhaan Allah S.W.T adalah balasan yang cukup untuk membuatnya menjalankan sesuatu tindakan dengan penuh keazaman dan penumpuan.

Syakhsiyah fardhiyah sebegini tidak terhad kepada perkara-perkara biasa dalam kehidupan sahaja. Sebaliknya ia juga cukup kuat untuk menghadapi ancaman dan pengaruh daripada suasana kerosakan yang luar biasa hebatnya. Dalam keadaan demikian, mereka sepatutnya berupaya menangkis segala tentangan dan tetap utuh menegakkan jalan kebenaran.

Namun begitu, sesiapa yang tidak mempunyai syakhsiyah fardhiyah sebegini juga boleh membantu, bahkan setiap golongan masyarakat boleh turut membantu tetapi dalam bentuk yang lebih terhad.

4) ISLAM SEBAGAI MATLAMAT HIDUP

Selain itu golongan pembaharu ini hendaklah meletakkan Islam sebagai matlamat hidup mereka dan bukannya cita-cita sahaja. Ada manusia yang mempunyai ilmu Islam, meyakininya dan mengamalkannya, tetapi matlamat hidup mereka bukanlah untuk menegakkan peraturan Islam itu sendiri. Namun begitu, mereka mungkin juga terlibat dalam kegiatan-kegiatan lain untuk faedah kesihatan jasmani dan rohani mereka, tetapi tujuan hidup mereka tetap merupakan perjuangan tadi. Bahkan mereka sanggup mengorbankan masa, harta, jasad dan jiwa mereka dalam menjayakannya.

~Entri ini dipublish atas beberapa kepentingan. Harap yang berkenaan boleh mengambil istifadah daripadanya. Sangat membosankan berhadapan dengan input-input yang bersifat tekstual sebegini...terlampau tekstual...tapi selamilah ke dasar intipati yang ingin disampaikan. Cambahkan mengikut konteks semasa, insya Allah ruang tafsiran dan aplikasinya sangat luas. Demi Islam, terus melangkah.

Monday, April 13, 2009

KEM REMAJA ISLAM SARAWAK 2009

Meniti alam yang mencurah pelbagai rasa,

Sarawak berteriakan menanti.

Jaringan ISLAM perluaskan!

Ayuh!

MISI memperhebatkan dakwah!!!!!!

Sorotan sejarah dan keratan akhbar, banyak memaparkan kisah-kisah anak-anak remaja kini yang diserangi penyakit "misteri", hingga mereka lupa siapa diri mereka. Ada yang hingga lupa bahawa "solat itu adalah tiang agama". Yang dasyatnya, ada yang tidak tahu apa itu "syahadah". Na'uzubillah. Lagi-lagi di bumi Kenyalang. Cabaran anak-anak remaja Islam adalah hebat. Berhadapan dengan budaya asing. Hingga Buta pada intipati keISLAMan yang sebenar, ISLAM yang syumuliah, alamiah, waqi'ah dan lain-lain . Anutan ISLAM mereka menjadi ISLAM Sekularisme. ISLAM Liberalisme. Malah yang dasyatnya, tak tahu apa maksud ISLAM.

Atas ini, YAYASAN AMAL, JABATAN AGAMA ISLAM SARAWAK dan PERSATUAN MAHASISWA ISLAM SARAWAK mengambil inisiatif untuk mengelola KEM REMAJA ISLAM 2009 di MIRI.

Intipatinya:


Assalamualaikum wrh bkth,

InsyaALLAH, Sahabat dan sahabiah yang dirahmati ALLAH, pada 29/5/2009 - 2/6/2009 , Yayasan AMAL cawangan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Agama ISLAM Sarawak, dan PErsatuan Mahasiswa Islam Sarawak (PERMIS) akan menganjur KEM REMAJA ISLAM 2009, di MIRI. Sebarangan maklumat boleh sahaja berhubung terus dengan Sdr Mohamad Syukrani pada talian 019-8832372 atau email syukrans@gmail.com atau sdri Halida Untong pada talian 0168315145 atau email ida_leeda@yahoo.com

Kami juga berasa rendah hati untuk memohon sumbangan untuk kelancaran Program KEM REMAJA ISLAM 2009 , boleh lah terus menyumbang ke Akaun Bank Islam "Yayasan Amal Malaysia Caw Sarawak Unit Miri "11022010032002". Segala baik budi pihak tuan, amatlah kami hargai. Dengan sehubungan dengan itu, diharap pihak tuan, boleh maklumkan seberapa jumlah yang telah dimasukkan kepada pihak berkenaan untuk mempermudahkan segala urusan kelak:

Saudara Zhaharudin di talian 0133190529

Saudari Maliana di talian 0196006925

atau clik : http://kris-09.blogspot.com/