THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Tuesday, April 14, 2009

KELAYAKAN PERIBADI ABNA' AL-HARAKAH

Abna' al-harakah...'anak-anak' yang lahir dari rahim tarbiah. Bukan sahaja pengikut setia jemaah, tetapi dialah al-muharrik, penggerak jemaah. Biar jalannya berliku, biar nyawanya menjadi taruhan, biar dirinya hanya keseorangan...dia tetap berjuang, menggerakkan jemaah demi menyahut kewajipan menegakkan daulah Islam. Itulah abna' al-harakah. Dia jundiy, dia juga qiyadi...dia khalifah, dia juga hamba kepada Yang Maha Pencipta.

1) MEMPUNYAI KEFAHAMAN ISLAM YANG SEBENAR

Kelayakan peribadi yang pertama ialah mempunyai kefahaman Islam yang sebenar. Sesiapa sahaja yang ingin menegakkan peraturan masyarakat Islam patutlah mengetahui terlebih dahulu peraturan itu sendiri secara menyeluruh. Ini memerlukan penguasaan ilmu Islam secara mendalam. Ukuran dalam atau ceteknya ilmu Islam ini tertakluk kepada kebolehan diri perseorangan. Tidak semestinya setiap orang yang berjuang di jalan kebenaran ini adalah tokoh ilmu Islam, tetapi adalah perlu bagi setiap tadi mempunyai satu kelayakan tertentu sekurang-kurangnya mebolehkan mereka membezakan antara aqidah Islamiah an ciri-ciri jahiliah dan juga antara amalan-amalan Islam dan bukan Islam.

2) MEMILIKI KEIMANAN YANG TEGUH TERHADAP ISLAM

Di samping ilmu dan kefahaman, satu lagi kelayakan yang perlu ada ialah mempunyai iman yang teguh terhadap aqidah yang menjadi asas kepada semua perbuatan mereka. Mereka menilai kebenaran sesuatu aliran pemahaman dan tindakan berlandaskan Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Apa sahaja yang bersesuaian dengan ciri penilaian ini dikira benar dan apa saja yang bertentangan dengannya dikira salah.

3)WATAK PERIBADI (SYAKHSIYAH FARDHIYAH)

Kelayakan yang ketiga ialah tindakan seseorang itu mencerminkan apa yang dipertuturkan. Dia akan mengamalkan apa yang dianggap betul (benar) dan menjauhi apa saja yang difikirkan salah. Kehidupan dan tingkah lakunya menggambarkan kefahaman yang ada padanya. Dia tidak perlu kepada tekanan luar untuk mematuhi peraturan Islam dan menjauhi larangannya. Baginya bahawa kenyataan setiap amalannya itu perlu mendapat keredhaan Allah S.W.T adalah balasan yang cukup untuk membuatnya menjalankan sesuatu tindakan dengan penuh keazaman dan penumpuan.

Syakhsiyah fardhiyah sebegini tidak terhad kepada perkara-perkara biasa dalam kehidupan sahaja. Sebaliknya ia juga cukup kuat untuk menghadapi ancaman dan pengaruh daripada suasana kerosakan yang luar biasa hebatnya. Dalam keadaan demikian, mereka sepatutnya berupaya menangkis segala tentangan dan tetap utuh menegakkan jalan kebenaran.

Namun begitu, sesiapa yang tidak mempunyai syakhsiyah fardhiyah sebegini juga boleh membantu, bahkan setiap golongan masyarakat boleh turut membantu tetapi dalam bentuk yang lebih terhad.

4) ISLAM SEBAGAI MATLAMAT HIDUP

Selain itu golongan pembaharu ini hendaklah meletakkan Islam sebagai matlamat hidup mereka dan bukannya cita-cita sahaja. Ada manusia yang mempunyai ilmu Islam, meyakininya dan mengamalkannya, tetapi matlamat hidup mereka bukanlah untuk menegakkan peraturan Islam itu sendiri. Namun begitu, mereka mungkin juga terlibat dalam kegiatan-kegiatan lain untuk faedah kesihatan jasmani dan rohani mereka, tetapi tujuan hidup mereka tetap merupakan perjuangan tadi. Bahkan mereka sanggup mengorbankan masa, harta, jasad dan jiwa mereka dalam menjayakannya.

~Entri ini dipublish atas beberapa kepentingan. Harap yang berkenaan boleh mengambil istifadah daripadanya. Sangat membosankan berhadapan dengan input-input yang bersifat tekstual sebegini...terlampau tekstual...tapi selamilah ke dasar intipati yang ingin disampaikan. Cambahkan mengikut konteks semasa, insya Allah ruang tafsiran dan aplikasinya sangat luas. Demi Islam, terus melangkah.

0 comments: