THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Saturday, April 25, 2009

Fikir Tapi Jangan Khuatir

Rancang dan bekerjalah dengan apa yang ada di tangan. Jangan bimbang akan hal-hal tidak menentu dalam angan-angan. Yang di tangan itulah yang sebenar. Yang dalam angan-angan itu masih samar. Kita tidak mungkin hidup dalam dua alam yang samar – masa lalu yang telah menjadi memori; masa depan yang masih ilusi. Hidup hakiki ialah hari ini. Itulah yang realiti.

Kata cerdik pandai: “Beradalah di tempat kamu berada.” Maksudnya, jangan lari dari realiti. Usah absent minded. Hidup dan beradalah dalam hari ini. Jangan khuatiri hari esok. Jangan bimbangkan hari semalam.

Susun jadual hidup harian dan ikutilah dengan tenang. Hidup umpama membaca lembaran demi lembaran dari sebuah buku yang sangat tebal. Jangan gerun hanya melihat ketebalan buku itu, hingga hilang ‘mood’ untuk membacanya. Atau terlalu gelojoh, hingga membaca secara meloncat-loncat tanpa mengikut tertib muka surat. Bacalah dari muka surat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Begitulah juga dalam soal ‘membaca’ kehidupan ini. Inilah rahsia ketenangan jiwa para sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka adalah individu yang tidak berangan-angan tetapi menggunakan sepenuhnya kesempatan yang sedia di tangan. Mereka hidup tanpa rasa gundah dengan apa yang telah terjadi kelmarin dan tidak pula bimbang dengan apa yang bakal terjadi esok.

Generasi solehin itu tidak terdera oleh percubaan melihat masa depan dengan teropong angan-angan yang serba kabur. Mereka adalah insan produktif. Sikap yang dibentuk oleh penghayatan mereka terhadap pesanan Rasulullah s.a.w.:” Jika kamu berpagi-pagi, jangan menunggu ke waktu petang…”

Pernah suatu malam Nabi s.a.w. agak rimas ketika hendak tidur. Ketika ditanya oleh isterinya mengapa, baginda bersabda: “Aku risaukan dua tiga keping dirham yang masih tinggal dalam rumah ini. Takut-takut aku dipanggil oleh Allah (mati) dalam keadaan dirham itu tidak aku sedekahkan.”

Baginda juga pernah bersabda, bahawa bila matanya terbuka, baginda berasa tidak yakin apakah sempat menutup matanya semula. Bila baginda menarik nafas, baginda tidak yakin apakah akan dapat melepaskannya semula.

Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hukum alam (sunnatullah) menetapkan bahawa yang tidak berubah hanyalah perubahan. Oleh kerana itu adalah satu kerja gila jika kita hendak menyelesaikan ‘masalah-masalah’ masa depan yang hakikatnya belum berlaku.

Jangan cuba mengambil ‘tempat’ Tuhan untuk mengawal semua perubahan kerana yang mampu mengawalnya hanyalah Dia yang tidak berubah-ubah. Inilah hikmah mengapa Qada’ dan Qadar Allah dirahsiakan daripada pengetahuan manusia. Agar dengan itu manusia boleh hidup tanpa diganggu walau sedikit pun pengetahuan tentang masa depan.

Dapatkah seorang yang sihat makan dengan enak jika mengetahui pada hari esoknya dia akan mati mengejut? Manusia boleh hidup dengan aman tanpa mengetahui tentang masa depannya. Madah pujangga: “Masa lalu adalah kelmarin yang telah mati. Masa depan adalah esok yang belum lahir…tetapi selamatkanlah hari ini yang sedang hidup.”

Seorang manusia walau bagaimana kuat sekalipun, tidak akan mampu menanggung derita masa lalu dicampur beban kebimbangan masa depan, lalu dipikul bersama masalah pada hari ini. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang genius dihantar ke hospital sakit otak! Life made it simple!.

Mungkin anda akan bertanya, kalau begitu salahkah kita merancang untuk masa depan? Tidak. Pendek angan-angan bukan bererti tidak bersedia untuk hari esok. fikirkan hari esok, tapi jangan khuatir. Banyak bezanya antara fikir dan khuatir. Mungkin sama banyaknya beza antara angan-angan dan cita-cita. Sesiapa yang khuatir tentang hari esok, akan mensia-siakan peluang yang ada pada hari ini. Sebaliknya sesiapa yang berfikir tentang hari esok, akan memanfaatkan peluang pada hari ini.

Sangka baik. Dan teruskan kerja. Pakar psikologi, Robert Louis Stevenson berkata:”Sesiapa sahaja boleh membuat kerjanya, walau bagaimana berat, untuk satu hari. Sesiapa sahaja boleh hidup dengan riang, penuh kesabaran, kasih sayang, bersih, sehingga matahari jatuh.”

SERINGKALI PENGHUJUNG JALAN YANG DI ANGGAP PENAMAT, MEMBAWA KE JALAN BARU YANG LEBIH LUAS.

Kata Dua
Solusi, Isu Perdana

0 comments: