Azamin Amin
Wed | Jul 08, 09 | 11:24:09 am MYT
Selepas subuh, Fathur Rahman Al- Ghazi, 4 tahun, sudah cantik bergaya, tidak sabar berjumpa ayahnya. Di tangannya beberapa helai kertas kosong dan sekotak pensil warna digenggam kemas.
Nak ayah lukis, lepas itu adik warnakan, beritahu Fathur kepada ibunya.
Untuk bertemu ayahnya yang terindu, Fathur dan ibunya terpaksa menempuh perjalanan sejauh 350 kilometer dari Simpang Durian, Negeri Sembilan ke Kem Kamunting Taiping, Perak dengan menaiki bas.
Perjalananan selama lebih lima jam itu, membuatkan sesekali si kecil ini merengek lapar dan merasakan terlalu lama.
"Lama lagi ke mak?," katanya tidak sabar untuk bertemu ayahnya. Sudah berkali-kali menyapa soalan yang sama, akhirnya si comel ini terlena di pangkuan ibunya.
Lewat petang, dua beranak ini muncul di bilik berpintu besi itu dengan mata yang sudah mula berkaca. Fathur terus memeluk ayahnya, lantas meminta melukiskan gambar pada cebisan-cebisan kertas kosong yang dibawanya.
Setelah ayahnya siap melakarkan gambar-gambar menarik, Fathur mula mewarnakannya dengan penuh khusyuk, penuh semangat dan penuh ceria. Sementara Fathur khayal dan asyik dengan kerjanya, si ibu dan sang ayah mula melabuhkan rindu, bertukar-tukar cerita dan berkongsi duka lara untuk seketika.
"Masa cukup!" Jerkah pengawal yang berada di sisi keluarga tiga beranak ini. Tersentak ketiga-tiganya lantaran, masa membungkam rindu diberikan 45 minit semata-mata.
Setelah seronok mewarnakan lukisan ayahnya itu kini semangat riangnya Fathur mula berkecai ketika ibunya menyapa lembut untuk pulang meninggalkan ayahnya.
Hidayu Kamrulzaman, 25 cuba memujuk si kecil Fathur agar melepaskan dakapan erat di tubuh sang ayah. Meronta-ronta, disusuli esak tangisnya lantas dibelai ayahnya semula dengan nada sayu.
"Nanti ayah balik ya. Ayah ada kerja..." kata ayahnya sambil merungkai perlahan-lahan jemari halus anaknya itu yang mencengkam tidak mahu melepaskan pergi.
Itu rakaman kisah benar yang diceritakan sendiri oleh ibunya, ketika saya mengunjungi keluarga mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) setahun yang lalu ketika menggalas tugas wartawan.
Saya tidak dapat membayangkan betapa tersiatnya hati seorang anak kecil apabila dipisahkan daripada ayahnya. Ya, 'ahli-ahli syurga' yang tidak berdosa ini tidak mengerti apa-apa.
"Bayangkanlah ketika melihat orang lain bermanja dengan ayah mereka, dia bertanya saya mengapa ayahnya tiada di sisi apatah lagi pada hari raya nanti,"kata Hidayu sayu sambil memangku anak bongsunya Ubaidah Al-Harith, 1 manakala anak keduanya Uwais Al-Qarani, 3 rancak bermain dengan si abang, Fathur.
"Saya tak mampu nak bawa ketiga-tiga mereka. Saya bawa seorang sahaja, bergilir-gilir setiap kali pergi melawat. Tambahan pula naik bas dari sini," jelasnya sambil didatangi Fathur dan Uwais ke riba saya.
Saya cuba menahan sebak dan memalingkan muka ke arah lain tatkala si abang mula memegang baju bucu seluar saya lalu bersuara lembut " Acik, bawa balik ayah ya...?"
Di dalam kereta, bercucuran air mata saya, berderai laju....
'Bencikah ayah kepada saya...?'
Tanggal 27 September tahun lalu turut membawa saya ke sebuah rumah di Kampung Sg. Tiram, Johor, menyelami derita seorang kanak-kanak perempuan Hawa Baraah Zakaria, 7 tahun yang 'kehilangan' ayahnya secara tiba-tiba, seminggu selepas hari raya beberapa tahun yang lalu.
Hawa, ketika saya tiba bersama rakan-rakan yang lain, kelihatan pucat lesi. Matanya buntang melihat begitu ramai mengunjungi rumah kecilnya itu. Dia mengesyaki seolah-olah saya akan membawa 'pergi' ibunya sama seperti ayahnya juga.
Lantas, dalam keadaan kelihatan canggung dan takut-takut terus merapati sambil tangannya tak lekang dari jemari ibunya. Tidak ada senyuman diraut wajahnya nan comel itu.
"Maafkan anak saya ini. Dia takut-takut sejak dari penahanan ayahnya itu sehingga dia merasakan ada orang nak memisahkan antara saya dan dia," kata ibunya, Saodah Matin, 26.
"Jika saya keluar atau mengajar, dia sangkakan yang saya nak tinggalkan dan membenci dirinya.
"Dulu dia salahkan ayah kerana tinggalkan dia...," jelas Saodah yang kelihatan tenang dari raut matanya.
Akibat dari trauma dan ketakutan yang amat sangat, Hawa tidak pernah bersekolah sedangkan rakan sebayanya sudah berada di dalam darjah satu. Tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran, Saodah terpkasa mengupah guru mengajar di rumahnya dengan bayaran RM200 sebulan.
"Saya sendiri tidak bekerja sebab anak takut nak berpisah. Ayah, mak, jiran dan rakan-rakanlah yang banyak membantu menyara mana yang mampu keperluan kami ini," katanya kepada saya, yang sudah berlain rasa.
Tarikh yang sama, saya menemui pula sebuah keluarga bekas pensyarah Institusi Pengajian Tinggi Awam, yang turut menjadi mangsa akta ISA ini.
"Suami dan menantu saya ditahan pada Januari 2002 sebelum menunaikan solat subuh. Rumah kami digeledah sementara kami sekeluarga diarah duduk di anjung rumah bersama anak-anak yang lain," kata Zakiah Mat menceritakan trauma enam tahun lalu.
Wajahnya yang kelam dan tunduk ketika ditanya menzahirkan segala kesusahan yang dirasai. Menampung kehidupan, isteri pensyarah ini membuat dan menjual kuih 'Tepung Pelita' sekitar kawasan perumahannya.
"Mujurlah ada juga jiran yang bersimpati. Mereka hantar anak-anak mereka untuk saya jaga dan dengan cara itu mereka beri bantuan dana sedikit sebanyak," katanya yang tidak bercadang untuk melawat suaminya atas faktor kewangan.
"Mana-mana anak yang dah besar dan mampu, mereka pergi sendiri melawat ayah mereka di Taiping. Saya kena teruskan kehidupan dan tampung perbelanjaan keluarga seharian di sini," katanya menahan air matanya tumpah.
Ya, seorang demi seorang anak-anak hilang kasih sayang, lantaran akta padah ini. Mereka 'ahli-ahli syurga' yang dicengkam derita dan terpaksa melalui kehidupan sengsara, tidak seperti rakan-rakan yang lain yang riang gembira.
Bermain-main, bersenda-loka dan memeluk erat tubuh ayah, suatu nikmat seorang anak yang dianugerahkan tuhan kepada 'ahli-ahli syurga' ini.
Si kecil ini tidak pernah mahu apa-apa melainkan, ada ayah di sisi di kala malam hari, di waktu lepas sekolah siang hari dan tatkala tiba Syawal nanti.
Namun itu hanyalah mimpi, selagi pengubal, pencipta, pemimpin dan pelaksana akta ini tidak pernah ambil peduli.
Letakkanlah, diri kita di tempat mereka atau bagaimana anak-anak kita, seperti mereka?
Dan soalan bertali arus ini tidak pernah putus dari ingatan selagi Akta ini masih ada di depan mata. - azm
(Segala kritikan, teguran dan pandangan bolehlah dimajukan kepada saya di azaminamin@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya ) --------------------------------------------------------------------------------
- Bantu mereka yang teraniaya hulurkanlah tangan untuk meringankan beban keluarga mangsa tahanan ISA. Sila salurkan derma ikhlas anda ke akaun Maybank HARAKAHDAILY DOT COM bernombor 5640 7000 0336
- Himpunan raksasa menuntut masuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dijadualkan 1 Ogos depan di ibu kota. Tunjukkan sokongan anda. _
Wednesday, July 8, 2009
ISA Memisahkan 'Ahli-ahli Syurga' Itu...
Posted by Jihad at 10:36 PM 0 comments
Labels: Inzar
Sunday, June 21, 2009
KELAS BAHASA ARAB 2 TAWAKAL (Bahagian 3)
الأنشطة اللاصفية
1- Adakah awak menyertai aktiviti ko-kurikulum di sekolah?
- Iya...
2- Apakah aktiviti ko-kurikulum yang awak sertai?
- Aktiviti ko-kurikulum yang saya sertai ialah...
3- Bilakah awak melakukan aktiviti ko-kurikulum?
- Saya melakukan aktiviti ko-kurikulum...
4- Berapa kalikah awak melakukan aktiviti ko-kurikulum?
- Saya melakukan...
5- Siapakah penasihat persatuan...?
- Penasihat persatuan...
6- Siapakah pengerusi persatua...?
- Pengerusi persatuan...
7- Siapakah setiausaha persatuan...?
- Setiausaha persatuan...
8- Siapakah bendahari persatuan...?
- Bendahari persatuan...
9- Sebutkan beberapa aktiviti persatuan...
- Beberapa aktiviti persatuan ialah...
10- Sebutkan beberapa faedah aktiviti ko-kurikulum.
- Beberapa faedah aktiviti ko-kurikulum ialah...
Posted by Jihad at 12:19 AM 0 comments
Labels: Akademik
KELAS BAHASA ARAB 2 TAWAKAL (Bahagian 2)
في المدرسة
1- Apa nama sekolah awak?
- Nama sekolah saya ialah...
2- Siapa nama ketua kelas awak?
- Nama ketua kelas saya ialah...
3- Bilakah awak pergi ke sekolah?
- Saya pergi ke sekolah pada pukul...
4- Adakah awak meminati Bahasa Arab? Kenapa?
- Iya, saya meminati Bahasa Arab kerana...
5- Siapakah nama guru Bahasa Arab awak?
- Nama guru Bahasa Arab saya ialah...
6- Dengan siapa awak mengulangkaji pelajaran?
- Saya mengulangkaji pelajaran bersama...
7- Siapakah nama guru kelas awak?
- Nama guru kelas saya ialah...
8- Berapakah bilangan murid dalam kelas awak?
- Bilangan murid dalam kelas saya ialah seramai...
9- Siapakah nama pengetua sekolah awak?
- Nama pengetua sekolah saya ialah...
10- Berapakah jarak di antara sekolah dan rumah awak?
- Jarak di antara sekolah dan rumah saya ialah sejauh...
Posted by Jihad at 12:05 AM 0 comments
Labels: Akademik
Saturday, June 20, 2009
KELAS BAHASA ARAB 2 TAWAKAL (Bahagian 1)
شخصية الطلبة
1- Siapa nama awak?
- Nama saya...
2- Di mana awak tinggal?
- Saya tinggal di...
3- Berapa umur awak?
- Umur saya...
4- Bila awak bangun dari tidur?
- Saya bangun dari tidur pada pukul...
5- Apa yang awak makan waktu makan tengah hari?
- Saya makan...
6- Siapa nama ayah/ibu awak?
- Nama ayah/ibu saya...
7- Apa pekerjaan ayah awak?
- Pekerjaan ayah saya ialah...
8- Berapakah bilangan ahli keluarga awak?
- Bilangan ahli keluarga saya...
9- Berapakah bilangan bilik di rumah awak?
- Bilangan bilik dalam rumah saya
10- Adakah awak menyayangi keluarga awak? Kenapa?
- Saya menyayangi keluarga saya kerana...
Posted by Jihad at 11:51 PM 0 comments
Labels: Akademik
Monday, June 15, 2009
Pemikiran Songsang
Sambungan 'Wahai Da'ie Berhikmahlah Dalam Berdakwah"
Lama berteleku, telinga saya menangkap perbualan teman-teman di luar,
"Bagus budak ni. Dia sanggup tangguhkan perkahwinan semata-mata nak bina rumah untuk mak ayah dia."
Astaghfirulllah al-azim...saya beristighfar berkali-kali. Inilah pemikiran songsang orang zaman sekarang. Jauh terpesong dan menyeleweng. Tidak tahu lagi untuk membezakan mana tujuan mana keperluan. Tujuan hidup untuk beribadah, hanya untuk beribadah. Perkahwinan itu ibadah, melengkapkan separuh daripada agama. Harta itu keperluan. Tapi seringkali kita menjadikan keperluan itu tujuan. Betapa songsangnya pemikiran umat Islam hari ini, sesat dalam cahaya. Lebih parah kesesatan cara berfikir itu tidak mahu diakui dan dibetuli.
Ada pula yang terang-terangan mengejar redha manusia, redha Allah diketepikan. Tidak mahu menyegerakan perkahwinan dengan alasan belum cukup 'kaya', kalau kahwin nanti orang cakap bukan-bukan sebab kenduri kahwin yang ala kadar, ada pula beralasan harta-benda belum lagi dilonggokkan untuk membahagiakan ibu dan ayah...dan macam-macam lagi alasan.
Bagi golongan seperti ini, bersiap-sedialah di mahkamah Rabbul Jalil, Allah akan perintahkan kalian memohon pahala dari orang-orang yang kalian cari redhanya, sedang pahala itu hanya Allah yang layak memberikannya kepada hamba-Nya.
Mungkin tanpa sedar kita telah termasuk dalam golongan ini. Mohon ampunlah daripada Allah. Semua kita mohon ampun daripada Allah. Sangat susah membezakan haq dan batil di akhir zaman ini. Moga kita sentiasa dipimpin oleh Allah meniti jalan jihad yang penuh onak duri juga terus berhikmah dalam berdakwah. Mereka-mereka ini perlu dakwah daripada kita...
"Ya Allah tunjukkanlah perkara yang haq itu haq dan berilah kami kekuatan untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah yang batil itu batil dan berilah kami kekuatan untuk menjauhinya."
Posted by Jihad at 10:10 PM 0 comments
Labels: Diri
Wahai Da'ie, Berhikmahlah Dalam Berdakwah
"Lain kali pakai baju lengan panjang! Pakai seluar panjang! Jangan pakai macam tu lagi. Faham?! Tu bogel namanya!"
Telinga saya menangkap bicara seorang lelaki. Ketika itu saya sedang melihat-lihat makanan apa yang ada untuk saya mengalas perut tengah hari tadi. Saya menoleh ke belakang, 'Oh, ustaz ni rupanya...Siapa yang ustaz tegur tadi?' Soal hati saya. Mata terus memerhati sekeliling kedai makan. Di satu meja saya lihat seorang anak gadis sedang duduk berseorangan menghadap sepinggan nasi.
Saya lihat air muka anak gadis itu muram, hanya merenung nasi di pinggan yang masih tidak terusik. Segera saya meminta izin untuk duduk di hadapannya sambil senyuman di ukir, ingin sekali kesuraman di wajah itu saya singkir pergi.
Saya pasti gadis inilah yang ditegur ustaz sebentar tadi. Ahli keluarga kami dalam komuniti yang kecil ini. Sekalipun sumbangannya umpama pejuang tanpa nama. Agak lama si gadis termenung, tidak mempedulikan saya yang ada di hadapannya. Tidak mahu membiarkan masa terus berlalu dalam keadaan kami membisu sedemikian rupa, saya membuka bicara.
"Cikgu di sini?" Tanya saya. Soalan yang tidak munasabah kerana mustahil saya tidak dapat membezakan penampilan seorang guru dengan penampilan seorang par. Saya cuma berharap dengan soalan saya itu si gadis terasa dia juga ada potensi umpama seorang guru.
"Pelajar?" Soal saya lagi kerana melihatkan wajahnya yang masih muda remaja.
"Bukan." Jawab si gadis mula mengukir senyuman.
"Saya bekerja di....(terpaksa dirahsiakan)" Si gadis menjelaskan.
"Berapa umur?" Soal saya lagi...
Seterusnya kami mula bersembang dan tahulah saya kenapa si gadis begitu.
Kasihan saya melihat gadis ini, anak sulung dalam keluarga, ibu bapa telah bercerai, ayah yang malas bekerja (pastinya tiada nafkah diberikan buat isteri dan anak-anak), ada kesedihan yang disembunyikan ketika dia bercerita kepada saya perihal keluarganya yang porak-peranda. Lebih kasihan bila golongan seperti gadis ini menerima dakwah yang tidak sepatutnya...seperti mana kata-kata ustaz yang saya dengar sebentar tadi...
Saya mendengar cerita si gadis dengan penuh minat, sedaya mungkin saya cuba menyelami isi hati mad'u di hadapan saya ini. Ibu bapa yang asyik bergaduh, sibuk dengan konflik dan krisis suami isteri, mana mungkin ada masa untuk mendidik anak-anak mengenal Allah. Mereka juga perlukan bimbingan.
Benar, di sekolah sudah di ajar bahawa orang Islam wajib menutup aurat, sudah di ajar berdosa bagi orang Islam yang tidak menutup aurat. Tapi kita jenguklah ke kelas-kelas Pendidikan Islam di sekolah-sekolah, bagaimana para ustaz dan ustazah mendidik anak-anak Islam ini? Mereka terikat dengan masa dan silibus! Isi kandungan buku teks hanya mengenyangkan otak sebelum segala isi itu dimuntahkan dalam kertas-kertas peperiksaan seterusnya dilupakan. Saya sendiri muak dengan silibus yang gersang penghayatan, kontang penerapan keyakinan yang menyebabkan matlamat ilmu dipelajari hanya sesingkat untuk peperiksaan, bukan untuk kehidupan duniawi dan ukhrawi juga bukan untuk mencari redha Allah.
Ustaz dan ustazah tersepit. Bagi yang ada kesedaran untuk memimpin anak-anak ummah memahami Islam seperti mana ia disampaikan oleh Rasulullah s.a.w, sedaya upaya tarbiah diberikan di dalam kelas, nasihat demi nasihat, teguran demi teguran dan analogi demi analogi diberikan supaya anak-anak yang masih mentah ini berfikir yang akhirnya menghasilkan yakin. Yakin bahawa syurga dan neraka itu benar. Yakin bahawa dosa dan pahala itu benar. Yakin yang menatijahkan 'amal. Beramal dengan ilmu yang dipelajari, demi mencari redha Rabbi.
Namun berapa kerat sahaja mereka yang sebegini. Selebihnya, hanya hampas! Ustaz ustazah ibarat buih di lautan. Banyak tapi tidak bermakna, menurut sahaja ke mana ombak terhempas. Sampai ke pantai hancur berkecai...
Saya sangat kasihan dengan gadis di depan saya ini. Mahu saja air mata saya mengalir laju, namun tiada gunanya ia dituruti. Tiada siapa yang faham rasa hati saya tika ini, betapa ia memberontak dengan sistem hidup buatan manusia yang rosak. Gadis di depan saya ini salah satu bukti daripada sekian banyak bukti yang ada. Gadis ini rosak kerana persekitarannya rosak. Persekitaran rosak kerana pemerintah tidak memerintah dengan acuan Islam. Urusan umat Islam diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya. Sistem pendidikan turut dicampuri dengan matlamat politik sesetengah pihak. Inilah bahananya...
Sebelum berlalu, saya tinggalkan gadis ini dengan kata-kata:
"Kalau adik pakai tudung lagi cantik." Sambil tersenyum saya terus berlalu. Moga hikmah ini terkesan di hatinya.
..................................................................
Mengenangkan peristiwa itu, cukup untuk membuatkan saya lama berteleku di atas tikar sejadah. Ingin saya mengubah bangsa, tapi apa kudrat yang saya ada. Berseorangan tidak akan mampu mengubah apa-apa. Ayuh teman seperjuangan, kita rapatkan soff jihad kita, kita bina kekuatan, kita hidupkan jemaah, genggam Islam hingga kita terkorban...ataupun menang. Allahu Akbar!!!
Posted by Jihad at 5:55 PM 0 comments
Labels: Diri
Friday, June 12, 2009
Kem Remaja Islam Sarawak (KRIS) 2009
KEM REMAJA ISLAM 2009, 4-7 Jamadil Akhir 1430H: Alhamdulillah atas segala-galanya. Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam Yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi Hidayah. Selawat serta salam untuk kekasih Allah, Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Alhamdulillah, bersama-sama kita merafa’kan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas kurnia dan limpahan rahmatNya, Program Kem Remaja Islam 2009 anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Sarawak (PERMIS) dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia (AMAL) Cawangan Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Cawangan Miri telah berjalan dengan lancar dan jayanya di Kolej Tun Datu Tuanku Hj Bujang, Miri pada 29 Mei - 1 Jun 2009 yang lalu. Peserta Kem kali ini adalah seramai 55 orang, iaitu 24 Muslimin dan 31 Muslimat serta terdiri daripada pelajar-pelajar terpilih dari Sekolah-sekolah Menengah di sekitar Miri, Bintulu dan Sibu. Seramai 19 orang Jawatankuasa Pelaksana telah terlibat dalam merealisasikan Program Kem Remaja Islam 2009 yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi UM, UTM, UTP, KIPSAS, UPSI, UPM, Politeknik dan lain-lain.
OBJEKTIF PROGRAM
Objektif Kem Remaja Islam Sarawak 2009 adalah untuk memberi kefahaman Islam kepada peserta iaitu termasuklah:
*Memberi kefahaman Islam kepada peserta
*Menanam kecintaan kepada cara hidup Islam
*Memupuk ciri-ciri akhlak mulia, konsep berbudi dan memahami tanggungjawab sebagai anak soleh dan solehah
*Memberi kesedaran tentang kepentingan kecemerlangan akademik
*Mewujudkan ikatan silaturrahim yang lebih erat di kalangan peserta dan AJK pelaksana
*Memupuk sifat penyayang dan prihatin di kalangan mahasiswa/ mahasiswi untuk membimbing adik-adik peserta.
PENGISIAN-PENGISIAN PROGRAM
Antara pengisian program ini adalah tiga (3) Kuliah Dasar yang dijadikan sebagai pengisian utama. Setiap Kuliah Dasar kemudiannya disusuli dengan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) antara peserta dan fasilitator. Kuliah Dasar Pertama bertajuk “Aqidah Muslim” telah dibentangkan oleh Ustaz Nik Mohd Shazmizi bin Nik Sin dari Kolej Tun Datu Tuanku Hj Bujang. Manakala Kuliah Dasar Kedua: “Syahadah dan Tuntutannya serta perkara-perkara yang membatalkannya, dan Kesalahan Syariah dan Enakmen-enakmen di Sarawak” pula telah disampaikan oleh Ustazah Anisah selaku Pegawai Pendakwa di Jabatan Agama Islam Sarawak. Seterusnya Kuliah Dasar yang Ketiga dibentang oleh Ustaz Malsiron bin Rogikin, Pegawai di Jabatan Agama Islam Sarawak Cawangan Miri bertajuk “Konsep Ibadah dalam Kehidupan”.
Kem Remaja Islam Sarawak 2009 turut diserikan dengan pengisian istimewa iaitu slot khas mengenai kehidupan bekas pelajar kepada pelajar kini yang bertajuk “Islam Sebagai Ad-Deen: Satu Perkongsian”. Membuatkannya lebih istimewa adalah slot ini disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak sendiri, iaitu Saudara Muhtar bin Hj Suhaili. Namun, keunikan dan keistimewaannya tidak terhenti di sini sahaja. Terdapat satu lagi slot pengisian khas iaitu Forum Akademik yang bertajuk “Cemerlang bersama Islam”. Panel-panel adalah terdiri daripada orang kuat Task Force Kecemerlangan Miri iaitu Puan Lily Hj Morni (Pengetua Cemerlang bersara) di samping Saudara Muhtar bin Hj Suhaili (Jurutera Sarawak Shell Berhad) dan Saudara Hishammudin Afifi bin Huspi (Pelajar Cemerlang Matrikulasi Labuan, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, UTM yang bakal melanjutkan pengajian ke Ijazah Sarjana) sebagai moderator.
Sepanjang program ini, peserta-peserta telah didedahkan dengan pengertian Ukhuwwah Fillah yang kian menghilang dalam kehidupan masyarakat Islam. Iltizam dari itu, para peserta bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan sebuah Organisasi yang bernaung di bawah Yayasan AMAL iaitu Kelab Remaja AMAL. Mudah-mudahan Kelab Remaja AMAL ini akan memberi kesinambungan kepada input-input yang diperolehi sepanjang program.
Kem kali ini telah ditangguhkan oleh Cik Hasyimah bt Abang Zen, Pengetua Kolej Tun Datu Tuanku Hj Bujang selaku tetamu kehormat Majlis Penutupan Kem Remaja Islam 2009.
PENUTUP DAN HARAPAN
Alhamdulillah, dengan kerjasama yang mantap di kalangan Ahli Jawatankuasa Pelaksana serta pihak-pihak terlibat, Kem Remaja Islam Sarawak 2009 ini dapat direalisasikan. Tahniah dan Syabas diucapkan kepada para peserta yang sabar dan tabah serta tekun mengikuti Program Kem Remaja Islam kali ini. Tahniah dan Syabas juga diucapkan kepada semua Ahli Jawatankuasa Pengelola yang diketuai oleh Saudara Mohamad Syukrani bin Addi Saiful Rizal Voon dan pihak-pihak yang ikhlas membantu secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Semoga kalian terus istiqamah dalam merealisasikan misi dakwah khususnya di Bumi Kenyalang, Sarawak tercinta.
Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita, terus mengikatkan hati-hati kita dalam iman dan mudah-mudahan kita semua akan istiqamah dalam kebaikan dan beroleh redhaNya. Amiin Ya Rabbal ‘Alamin.
“REMAJA CEMERLANG BERSAMA ISLAM”
Laporan Disediakan Oleh Jawatankuasa Penganjur.
Dipetik dari: http://amalsarawak.net/
Posted by Jihad at 11:20 PM 0 comments
Labels: Program