Orang mukmin adalah orang yang takut kepada Allah dengan seluruh anggota badannya, sebagaimana Abul-Laits telah berkata, "Tanda-tanda takut kepada Allah itu terlihat dalam tujuh perkara."
Pertama, pada lisannya. Dia menghindarkannya daripada dusta, ghibah, menyebut fitnah, berbual kosong dan banyak cakap. Sebaliknya dia menyibukkan diri dengan zikir, membaca Al-Quran dan muzakarah ilmu.
Kedua, pada hatinya. Dia membuang rasa permusuhan, kebodohan dan kedengkian terhadap sahabatnya. Lantaran kedengkian dapat menghapuskan kebaikan. Sebagaimana Rasulullah S.A.W bersabda:
"Hasad itu dapat memakan kebaikan sebagaimana api membakar kayu." -Hadis Riwayat Abu Daud.
Ketahuilah bahawa hasad itu penyakit hati yang amat berbahaya. Tidak ada ubat bagi penyakit-penyakit hati selain daripada ilmu dan amal.
Ketiga, pada pandangannya. Maka dia tidak suka memandang pada makanan, minuman, pakaian atau hal-hal lain yang haram. Tidak pula terpikat kepada dunia. Tetapi dia memandangnya dengan mengambil iktibar.
Keempat, pada perutnya. Maka perutnya tidak di isi barang yang haram.
Kelima, pada kedua tangannya. Dia tidak menggunakannya untuk perkara yang haram. Tetapi hanya mempergunakannya untuk taat kepada Allah S.W.T.
Keenam, pada langkah kakinya. Dia tidak berjalan untuk maksiat tetapi hanya melangkah untuk taat kepada Allah S.W.T, mencari keredhaan-Nya serta untuk bergaul dengan para ulama dan orang-orang soleh.
Ketujuh, terlihat pada ketaatannya. Dia menjadikan ketaatannya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah dan takut daripada riak dan munafik.
Barangsiapa melakukan tujuh perkara tersebut, maka dia termasuk dalam kategori orang-orang yang dikatakan oleh Allah Al-Halim, Yang Maha Lembut dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa dalam kebun-kebun dan mata air (syurga)"
Surah Al-Hijr, 15:45
Oleh yang demikian, seharusnyalah seorang mukmin berada di antara rasa takut kepada Allah Yang Maha Perkasa dan tidak berhenti dari berharap kepada rahmat-Nya. Kita haruslah sentiasa mengingati Allah Yang Maha Esa, berhenti dari melakukan perbuatan yang dimurkai-Nya serta sentiasa bertaubat memohon keampunan daripada Allah Yang Maha Kuasa.
Sebuah cerita untuk renungan bersama:
Pada suatu hari Nabi Daud 'alaihi as-salam duduk di tempat peribadatannya. Tiba-tiba baginda melihat seekor ulat merah. Maka dalam hatinya baginda berkata, 'Apakah kiranya kehendak Allah pada ulat ini?' Maka dengan izin Allah, ulat itu dapat berbicara seraya berkata:"Wahai Nabi Allah! Di siang hari Tuhanku mengilhamkan agar aku membaca Subhanallah, Walhamdulillah, Wa la ilaha illallah, Wallahu Akbar seribu kali. Sedangkan di malam hari Tuhanku mengilhamkan agar aku membaca Allahumma solli 'ala Muhammadin Nabiyyil Ummiyyi wa 'ala aalihi wa sohbihi wasallam seribu kali. Lalu apakah yang engkau baca hingga aku ingin mengambil faedah daripadamu?" Maka Nabi Daud 'alaihi as-salam amat menyesal kerana menghina ulat itu. Baginda merasa takut kepada Allah, lalu baginda bertaubat dan bertawakal kepada-Nya."
Petikan: Penenang Jiwa (Mukasyafah al-Qulb karya Imam al-Ghazali.
The Story of a Jew Who Islamized Millions Of People
12 years ago
0 comments:
Post a Comment