Hari ini fikiran saya kembali ke tahun-tahun kemelesetan ekonomi negara sekitar tahun 1999-2000. Ketika itu saya berada di sekolah menengah dan adik bongsu saya baru menjengah alam dunia, Muhd Khairul Nizam nama diberi. Keluarga kami yang sebelumnya ada pembantu terpaksa diberhentikan beberapa bulan sementara saya bercuti. Bercuti sebagai pelajar dan mengambil alih tugas seorang ibu di rumah, menjadi suri rumah sepenuh masa.
Ketika inilah kenangan indah tercipta dalam hidup saya, di perjalanan meniti usia menginjak dewasa. Menghabiskan masa di rumah bersama dua orang adik yang masih kecil serta melakukan kerja-kerja memasak, mengemas, menyapu, membasuh dan sebagainya sangat memberi kebahagiaan kepada saya. Masih terpahat di minda saya sehingga ke hari ini betapa pendidikan sewaktu kecil itu sangat berkesan kepada anak-anak, umpama memahat ukiran di atas batu.
Salah satu teori pendidikan, anak-anak mudah mengikut apa yang mereka lihat bukan apa yang mereka dengar. Sopan tingkah ibubapa, sopanlah tingkah si anak. Lembut bicara ibu bapa, lembut jugalah bicara si anak. Seperti apa yang berlaku kepada saya dalam tempoh waktu saya menjadi suri rumah sepenuh masa itu, sangat indah untuk dikongsi bersama. Tanpa saya sedar segala perlakuan dan rutin saya setiap hari rupa-rupanya diperhatikan oleh si kecil yang baru pandai berjalan, belum pandai menutur kata.
"Nizam tunggu je kat situ, kakak nak keluar ambil kain sekejap," Saya memberitahu si kecil Nizam yang comel berdiri di pintu rumah menuruti langkah saya. Si kecil mendongak wajah saya kemudian berjalan terkedek-kedek masuk ke dalam rumah. 'Oh, faham rupanya adik aku ni dengan kata-kataku', bisik hati saya. Rasa gembira kerana si kecil mula memahami kata-kata orang dewasa, tidak kurang juga rasa risau apabila si kecil ditinggal berseorangan di dalam rumah.
Beberapa minit saya berada di ampaian belakang rumah, si kecil keluar menapak dengan langkah yang masih ke kiri ke kanan sambil kepalanya ditutupi sehelai tuala ala-ala perempuan memakai tudung. Tergelak saya melihat tingkah si kecil yang mengikut saya memakai tudung setiap kali keluar rumah. Saya lantas mendukung si kecil, membawanya masuk ke dalam rumah semula dan menukar 'tudung' yang dipakai kepada kopiah. "Nizam lelaki, tak perlu pakai tudung. Kakak perempuan, sebab tu kena pakai tudung. Kalau Nizam nak pakai tutup kepala bila keluar rumah macam kakak, Nizam pakai kopiah ni ye. Kopiah ni untuk lelaki," Saya cuba mendidik si kecil membezakan antara lelaki dan perempuan juga secara tidak langsung menghantar mesej kewajipan menutup aurat bagi perempuan dan amalan sunnah memakai kopiah bagi lelaki ke dalam mindanya.
Semenjak hari itu, menjadi kebiasaan bagi si comel ini memakai kopiah di kepalanya setiap kali saya membawanya ke luar rumah atau pergi bersiar-siar di waktu petang. Sejuk mata dan damai hati saya melihat wajah bersih si kecil dengan kopiah di kepala...semoga menjadi anak yang soleh bila besar nanti.
Suatu ketika, kerana terlampau penat melakukan kerja-kerja di rumah, saya tertidur di ruang tamu. Saya tertidur sebelum sempat si kecil saya tidurkan. Sedang saya lena melepas penat, terasa lengan saya ditarik-tarik dan dengan payah saya cuba mencelikkan mata. Si kecil menghulurkan tudung yang biasa saya gunakan untuk ke luar rumah. Tidak dapat memikirkan kenapa si kecil berbuat begitu, saya mencapai tudung yang dihulurkan dan menyambung semula tidur saya. Belum sempat saya terlena, si kecil menarik-narik lengan saya semula. "Kenapa Nizam?" Soal saya kepada si kecil yang belum pandai bercakap. Si kecil menunjuk ke arah luar jendela, maka tahulah saya rupa-rupanya hujan mula turun dan saya belum lagi mengangkat kain-kain yang bersidai di ampaian!
Tidak perlu saya bergegas ke dalam bilik untuk mengambil tudung kerana si kecil awal-awal lagi telah mengambilkannya untuk saya. Saya tinggal memakai tudung dan berlari menyelamatkan kain-kain di luar daripada kebasahan. Alhamdulillah, sungguh cerdik si kecil ini memerhati dan bertindak, sungguh pun belum mampu menutur kata.
Begitulah anak-anak belajar daripada persekitaran. Anak-anak kecil sangat cepat menyerap apa-apa sahaja yang berada di sekitarnya untuk di ambil sebagai satu pengetahuan baru. Saya memang tidak mengajar mujahid kecil ini untuk memakai tudung seperti saya setiap kali keluar rumah tetapi perlakuan saya menjadi ikutannya. Andai si kecil ini seorang mujahidah, pastinya kewajipan menutup aurat telah sebati dalam dirinya tika menjadi mukallaf kerana didikan ini telah dia terima seawal usia kanak-kanak.
Juga saya tidak berpesan kepada si kecil supaya mengejutkan saya kalau hari hujan kerana saya tahu apalah yang si kecil ini faham dengan arahan sebegitu. Rupa-rupanya sangkaan saya silap. Sangat silap. Bukan sahaja si kecil yang belum menginjak usia dua tahun ini mengejutkan saya daripada tidur ketika hari hujan, bahkan dia turut juga memberikan saya tudung dan memastikan saya betul-betul bangun! Sesuatu yang di luar jangkaan saya. Semenjak dari itu, saya berfikir bahawa anak-anak kecil mempunyai potensi yang luar biasa andai di didik dengan betul. Tekad dan azam saya untuk mendalami bidang Pendidikan dalam Islam semakin kuat, dan itulah saya pada hari ini. Alhamdulillah.
Cahaya Mata (In-Team)
Anak-anak adalah cahaya mata
Penghibur hati penyejuk mata
Nikmat Allah yang paling bahagia
Nisbah benda lahir yang di dunia
Amanah Allah yang mesti di jaga
Di asuh dan dipelihara
Mencuaikannya khianat dan dosa
Zahirnya ibu bapa yang mendidik mereka
Hakikatnya adalah Tuhan Yang Esa
Bimbing mereka dengan bijaksana
Apakah akan jadi Yahudi
Jadi Nasrani atau Majusi
Moga jadi mukmin sejati
Bersabarlah mendidik mereka
Permata pada ayah bonda
Sinaran bahagia membawa ke syurga
Bersyukur kepada Yang Esa
Atas anugerah, nikmat dan rahmat-Nya
Bentuklah mereka sedari kecil
Taati ajaran agama
Anak yang soleh
Harta berharga
Doa mereka untuk kita
Mereka bagai kain putih
Yang lahir dengan suci bersih
Corakkanlah berhati-hati
Besarkan dengan akhlak terpuji
Anak soleh harta berharga
Kenang kita dalam doanya
The Story of a Jew Who Islamized Millions Of People
12 years ago
0 comments:
Post a Comment