THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Wednesday, April 29, 2009

Ujian, Menjangkau Fikiran Biasa










27/4/2009.sumber: http://cacamerbamakhlukpolitik.blogspot.com

Muhammad Shaiful (7 tahun), Muhammad Amirul (4 tahun) dan Muhammad Yusof (2 tahun) meninggal dunia dalam kebakaran kediaman mereka di kampung Sungai Rotan, Batu Hampar tengahari kelmarin. Ibubapa 3 beradik itu ialah pasangan suami isteri, Nordin bin Md Noor dan Mah bt Abdullah yang mendiami rumah pekerja kuari pasir di kampung ini. Ketika kebakaran, pasangan suami isteri tersebut sedang mencuci pakaian di sungai yang agak jauh dari kediaman mereka.

Bapa kanak-kanak tersebut, Nordin Md Noor redha dengan ketentuan ajal anak-anaknya namun amat pilu mengenangkan hajat anak sulungnya (Muhammad Shaiful) untuk mendapat sehelai baju yang dibuat daripada bendera PAS tidak sempat ditunaikan.

Pagi tadi Shaiful minta saya dapatkan sehelai bendera PAS untuk dibuat baju. Saya dah bersetuju dan telah pun dapat sehelai bendera. Ingatkan petang tadi atau besok bolehlah dijahit baju untuk Shaiful. Tapi Allah lebih sayangkan Shaiful dan adik-adiknya. Tak sempat Shaiful dapat baju bendera PAS. Saya percaya Shaiful akan dapat pakaian yang lebih indah dalam syurga," kata Nordin dengan linangan air mata.

Menurut ibu kepada 3 beradik itu, dia dan suaminya mengunci rumah sebelum pergi ke sungai untuk mengelakkan anak-anaknya bermain di tepi lombong berdekatan rumah. Ketika itu anak bongsu mereka (Muhammad Yusof) sedang tidur dalam buaian dan diawasi oleh Muhammad Shaiful yang sudah biasa dengan rutin itu. Muhammad Shaiful ialah murid tahun 1 Sekolah Kebangsaan Batu Hampar, Beruas.

"Itulah saja anak kami. Tiga orang saja. Hari ini kami tak ada anak lagi dah," kata Mah Abdullah dengan sayu.

*************************************************************************************

Kisah di atas adalah secebis kisah dari siri-siri ujian yang di anugerahkan Allah kepada manusia, tanda kasih kepada hamba-Nya. Ditarbiahnya sang hamba dengan sentuhan-Nya sendiri. Itu kisah yang bila diceritakan kepada sesiapapun, mudah sahaja bibir insan menuturkan itu adalah ujian Allah...bagaimana pula dengan ujian yang kadang-kala manusia tidak terfikir bahkan tidak merasa bahawa itu adalah ujian Allah? Lihat keadaan kita hari ini, di mana pula sentuhan sayang Allah untuk kita?

Kita sangka kita sudah cukup baik bila melakukan kerja-kerja dakwah, kita bahagia dikelilingi teman-teman sefikrah yang membawa ke jalan Allah, kita senang melewati hari-hari kita dengan kerja-kerja Islam...tapi ingat, di sebalik bahagia kita itu, di sebalik senang dan tenang hati kita itu, sebenarnya kita sedang di uji oleh Dia. Iya, bahagia, senang dan tenang itu nikmat juga rahmat, namun itulah ujian sebenarnya. Perhatikan hubungan kita dengan Allah. Kita berkomunikasi dengan manusia saban waktu mengajak mereka menyembah Allah, berapa lama pula kita berkomunikasi dengan hati kita mengajaknya untuk sujud panjang menyembah Allah?

Kita merancang gerak kerja untuk masa depan Islam, namun adakah kita merancang umur kita untuk 'masa depan' akhirat yang pasti? Kita menelaah modul-modul, pendekatan-pendekatan mahupun ilmu-ilmu terkini buat menjentik hati insan untuk kenal hakikat hidup berTuhan, sudahkah kita meneliti Al-Quran buat menjentik hati kita sendiri akan hakikat Al-Quran itu bukan hanya untuk dibaca dengan suara yang merdu mahupun dihafaz saban waktu, tetapi isi Al-Quran itu adalah untuk di amalkan. Kita berusaha mencari solusi masalah umat, mengkoreksi satu-persatu mencari punca dan sebab, namun pernahkah kita mengkoreksi diri, umat ini bankrap aqidah dan akhlak, lantaran diri kita ini bankrap amal di sisi Tuhan?

Di mana tahajud kita, di mana tadabbur kita terhadap isi kandungan Al-Quran, di mana rintih dan munajat kita yang dirindui Tuhan saban malam, di mana air mata taubat kita yang bisa memadam api neraka, di mana kita letakkan jiwa hamba kita...adakah hilang di sebalik timbunan kertas-kerja, lenyap di sebalik surat-menyurat yang berjela-jela atau tenggelam dalam fikir kita tentang umat? tepuk dada tanya iman. sama-sama kita beringat...

Saturday, April 25, 2009

Fikir Tapi Jangan Khuatir

Rancang dan bekerjalah dengan apa yang ada di tangan. Jangan bimbang akan hal-hal tidak menentu dalam angan-angan. Yang di tangan itulah yang sebenar. Yang dalam angan-angan itu masih samar. Kita tidak mungkin hidup dalam dua alam yang samar – masa lalu yang telah menjadi memori; masa depan yang masih ilusi. Hidup hakiki ialah hari ini. Itulah yang realiti.

Kata cerdik pandai: “Beradalah di tempat kamu berada.” Maksudnya, jangan lari dari realiti. Usah absent minded. Hidup dan beradalah dalam hari ini. Jangan khuatiri hari esok. Jangan bimbangkan hari semalam.

Susun jadual hidup harian dan ikutilah dengan tenang. Hidup umpama membaca lembaran demi lembaran dari sebuah buku yang sangat tebal. Jangan gerun hanya melihat ketebalan buku itu, hingga hilang ‘mood’ untuk membacanya. Atau terlalu gelojoh, hingga membaca secara meloncat-loncat tanpa mengikut tertib muka surat. Bacalah dari muka surat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Begitulah juga dalam soal ‘membaca’ kehidupan ini. Inilah rahsia ketenangan jiwa para sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka adalah individu yang tidak berangan-angan tetapi menggunakan sepenuhnya kesempatan yang sedia di tangan. Mereka hidup tanpa rasa gundah dengan apa yang telah terjadi kelmarin dan tidak pula bimbang dengan apa yang bakal terjadi esok.

Generasi solehin itu tidak terdera oleh percubaan melihat masa depan dengan teropong angan-angan yang serba kabur. Mereka adalah insan produktif. Sikap yang dibentuk oleh penghayatan mereka terhadap pesanan Rasulullah s.a.w.:” Jika kamu berpagi-pagi, jangan menunggu ke waktu petang…”

Pernah suatu malam Nabi s.a.w. agak rimas ketika hendak tidur. Ketika ditanya oleh isterinya mengapa, baginda bersabda: “Aku risaukan dua tiga keping dirham yang masih tinggal dalam rumah ini. Takut-takut aku dipanggil oleh Allah (mati) dalam keadaan dirham itu tidak aku sedekahkan.”

Baginda juga pernah bersabda, bahawa bila matanya terbuka, baginda berasa tidak yakin apakah sempat menutup matanya semula. Bila baginda menarik nafas, baginda tidak yakin apakah akan dapat melepaskannya semula.

Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hukum alam (sunnatullah) menetapkan bahawa yang tidak berubah hanyalah perubahan. Oleh kerana itu adalah satu kerja gila jika kita hendak menyelesaikan ‘masalah-masalah’ masa depan yang hakikatnya belum berlaku.

Jangan cuba mengambil ‘tempat’ Tuhan untuk mengawal semua perubahan kerana yang mampu mengawalnya hanyalah Dia yang tidak berubah-ubah. Inilah hikmah mengapa Qada’ dan Qadar Allah dirahsiakan daripada pengetahuan manusia. Agar dengan itu manusia boleh hidup tanpa diganggu walau sedikit pun pengetahuan tentang masa depan.

Dapatkah seorang yang sihat makan dengan enak jika mengetahui pada hari esoknya dia akan mati mengejut? Manusia boleh hidup dengan aman tanpa mengetahui tentang masa depannya. Madah pujangga: “Masa lalu adalah kelmarin yang telah mati. Masa depan adalah esok yang belum lahir…tetapi selamatkanlah hari ini yang sedang hidup.”

Seorang manusia walau bagaimana kuat sekalipun, tidak akan mampu menanggung derita masa lalu dicampur beban kebimbangan masa depan, lalu dipikul bersama masalah pada hari ini. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang genius dihantar ke hospital sakit otak! Life made it simple!.

Mungkin anda akan bertanya, kalau begitu salahkah kita merancang untuk masa depan? Tidak. Pendek angan-angan bukan bererti tidak bersedia untuk hari esok. fikirkan hari esok, tapi jangan khuatir. Banyak bezanya antara fikir dan khuatir. Mungkin sama banyaknya beza antara angan-angan dan cita-cita. Sesiapa yang khuatir tentang hari esok, akan mensia-siakan peluang yang ada pada hari ini. Sebaliknya sesiapa yang berfikir tentang hari esok, akan memanfaatkan peluang pada hari ini.

Sangka baik. Dan teruskan kerja. Pakar psikologi, Robert Louis Stevenson berkata:”Sesiapa sahaja boleh membuat kerjanya, walau bagaimana berat, untuk satu hari. Sesiapa sahaja boleh hidup dengan riang, penuh kesabaran, kasih sayang, bersih, sehingga matahari jatuh.”

SERINGKALI PENGHUJUNG JALAN YANG DI ANGGAP PENAMAT, MEMBAWA KE JALAN BARU YANG LEBIH LUAS.

Kata Dua
Solusi, Isu Perdana

Tuesday, April 14, 2009

KELAYAKAN PERIBADI ABNA' AL-HARAKAH

Abna' al-harakah...'anak-anak' yang lahir dari rahim tarbiah. Bukan sahaja pengikut setia jemaah, tetapi dialah al-muharrik, penggerak jemaah. Biar jalannya berliku, biar nyawanya menjadi taruhan, biar dirinya hanya keseorangan...dia tetap berjuang, menggerakkan jemaah demi menyahut kewajipan menegakkan daulah Islam. Itulah abna' al-harakah. Dia jundiy, dia juga qiyadi...dia khalifah, dia juga hamba kepada Yang Maha Pencipta.

1) MEMPUNYAI KEFAHAMAN ISLAM YANG SEBENAR

Kelayakan peribadi yang pertama ialah mempunyai kefahaman Islam yang sebenar. Sesiapa sahaja yang ingin menegakkan peraturan masyarakat Islam patutlah mengetahui terlebih dahulu peraturan itu sendiri secara menyeluruh. Ini memerlukan penguasaan ilmu Islam secara mendalam. Ukuran dalam atau ceteknya ilmu Islam ini tertakluk kepada kebolehan diri perseorangan. Tidak semestinya setiap orang yang berjuang di jalan kebenaran ini adalah tokoh ilmu Islam, tetapi adalah perlu bagi setiap tadi mempunyai satu kelayakan tertentu sekurang-kurangnya mebolehkan mereka membezakan antara aqidah Islamiah an ciri-ciri jahiliah dan juga antara amalan-amalan Islam dan bukan Islam.

2) MEMILIKI KEIMANAN YANG TEGUH TERHADAP ISLAM

Di samping ilmu dan kefahaman, satu lagi kelayakan yang perlu ada ialah mempunyai iman yang teguh terhadap aqidah yang menjadi asas kepada semua perbuatan mereka. Mereka menilai kebenaran sesuatu aliran pemahaman dan tindakan berlandaskan Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Apa sahaja yang bersesuaian dengan ciri penilaian ini dikira benar dan apa saja yang bertentangan dengannya dikira salah.

3)WATAK PERIBADI (SYAKHSIYAH FARDHIYAH)

Kelayakan yang ketiga ialah tindakan seseorang itu mencerminkan apa yang dipertuturkan. Dia akan mengamalkan apa yang dianggap betul (benar) dan menjauhi apa saja yang difikirkan salah. Kehidupan dan tingkah lakunya menggambarkan kefahaman yang ada padanya. Dia tidak perlu kepada tekanan luar untuk mematuhi peraturan Islam dan menjauhi larangannya. Baginya bahawa kenyataan setiap amalannya itu perlu mendapat keredhaan Allah S.W.T adalah balasan yang cukup untuk membuatnya menjalankan sesuatu tindakan dengan penuh keazaman dan penumpuan.

Syakhsiyah fardhiyah sebegini tidak terhad kepada perkara-perkara biasa dalam kehidupan sahaja. Sebaliknya ia juga cukup kuat untuk menghadapi ancaman dan pengaruh daripada suasana kerosakan yang luar biasa hebatnya. Dalam keadaan demikian, mereka sepatutnya berupaya menangkis segala tentangan dan tetap utuh menegakkan jalan kebenaran.

Namun begitu, sesiapa yang tidak mempunyai syakhsiyah fardhiyah sebegini juga boleh membantu, bahkan setiap golongan masyarakat boleh turut membantu tetapi dalam bentuk yang lebih terhad.

4) ISLAM SEBAGAI MATLAMAT HIDUP

Selain itu golongan pembaharu ini hendaklah meletakkan Islam sebagai matlamat hidup mereka dan bukannya cita-cita sahaja. Ada manusia yang mempunyai ilmu Islam, meyakininya dan mengamalkannya, tetapi matlamat hidup mereka bukanlah untuk menegakkan peraturan Islam itu sendiri. Namun begitu, mereka mungkin juga terlibat dalam kegiatan-kegiatan lain untuk faedah kesihatan jasmani dan rohani mereka, tetapi tujuan hidup mereka tetap merupakan perjuangan tadi. Bahkan mereka sanggup mengorbankan masa, harta, jasad dan jiwa mereka dalam menjayakannya.

~Entri ini dipublish atas beberapa kepentingan. Harap yang berkenaan boleh mengambil istifadah daripadanya. Sangat membosankan berhadapan dengan input-input yang bersifat tekstual sebegini...terlampau tekstual...tapi selamilah ke dasar intipati yang ingin disampaikan. Cambahkan mengikut konteks semasa, insya Allah ruang tafsiran dan aplikasinya sangat luas. Demi Islam, terus melangkah.

Monday, April 13, 2009

KEM REMAJA ISLAM SARAWAK 2009

Meniti alam yang mencurah pelbagai rasa,

Sarawak berteriakan menanti.

Jaringan ISLAM perluaskan!

Ayuh!

MISI memperhebatkan dakwah!!!!!!

Sorotan sejarah dan keratan akhbar, banyak memaparkan kisah-kisah anak-anak remaja kini yang diserangi penyakit "misteri", hingga mereka lupa siapa diri mereka. Ada yang hingga lupa bahawa "solat itu adalah tiang agama". Yang dasyatnya, ada yang tidak tahu apa itu "syahadah". Na'uzubillah. Lagi-lagi di bumi Kenyalang. Cabaran anak-anak remaja Islam adalah hebat. Berhadapan dengan budaya asing. Hingga Buta pada intipati keISLAMan yang sebenar, ISLAM yang syumuliah, alamiah, waqi'ah dan lain-lain . Anutan ISLAM mereka menjadi ISLAM Sekularisme. ISLAM Liberalisme. Malah yang dasyatnya, tak tahu apa maksud ISLAM.

Atas ini, YAYASAN AMAL, JABATAN AGAMA ISLAM SARAWAK dan PERSATUAN MAHASISWA ISLAM SARAWAK mengambil inisiatif untuk mengelola KEM REMAJA ISLAM 2009 di MIRI.

Intipatinya:


Assalamualaikum wrh bkth,

InsyaALLAH, Sahabat dan sahabiah yang dirahmati ALLAH, pada 29/5/2009 - 2/6/2009 , Yayasan AMAL cawangan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Agama ISLAM Sarawak, dan PErsatuan Mahasiswa Islam Sarawak (PERMIS) akan menganjur KEM REMAJA ISLAM 2009, di MIRI. Sebarangan maklumat boleh sahaja berhubung terus dengan Sdr Mohamad Syukrani pada talian 019-8832372 atau email syukrans@gmail.com atau sdri Halida Untong pada talian 0168315145 atau email ida_leeda@yahoo.com

Kami juga berasa rendah hati untuk memohon sumbangan untuk kelancaran Program KEM REMAJA ISLAM 2009 , boleh lah terus menyumbang ke Akaun Bank Islam "Yayasan Amal Malaysia Caw Sarawak Unit Miri "11022010032002". Segala baik budi pihak tuan, amatlah kami hargai. Dengan sehubungan dengan itu, diharap pihak tuan, boleh maklumkan seberapa jumlah yang telah dimasukkan kepada pihak berkenaan untuk mempermudahkan segala urusan kelak:

Saudara Zhaharudin di talian 0133190529

Saudari Maliana di talian 0196006925

atau clik : http://kris-09.blogspot.com/

Sunday, April 12, 2009

Tanda-tanda Takut Kepada Allah

Orang mukmin adalah orang yang takut kepada Allah dengan seluruh anggota badannya, sebagaimana Abul-Laits telah berkata, "Tanda-tanda takut kepada Allah itu terlihat dalam tujuh perkara."

Pertama, pada lisannya. Dia menghindarkannya daripada dusta, ghibah, menyebut fitnah, berbual kosong dan banyak cakap. Sebaliknya dia menyibukkan diri dengan zikir, membaca Al-Quran dan muzakarah ilmu.

Kedua, pada hatinya. Dia membuang rasa permusuhan, kebodohan dan kedengkian terhadap sahabatnya. Lantaran kedengkian dapat menghapuskan kebaikan. Sebagaimana Rasulullah S.A.W bersabda:
"Hasad itu dapat memakan kebaikan sebagaimana api membakar kayu." -Hadis Riwayat Abu Daud.

Ketahuilah bahawa hasad itu penyakit hati yang amat berbahaya. Tidak ada ubat bagi penyakit-penyakit hati selain daripada ilmu dan amal.

Ketiga, pada pandangannya. Maka dia tidak suka memandang pada makanan, minuman, pakaian atau hal-hal lain yang haram. Tidak pula terpikat kepada dunia. Tetapi dia memandangnya dengan mengambil iktibar.

Keempat, pada perutnya. Maka perutnya tidak di isi barang yang haram.

Kelima, pada kedua tangannya. Dia tidak menggunakannya untuk perkara yang haram. Tetapi hanya mempergunakannya untuk taat kepada Allah S.W.T.

Keenam, pada langkah kakinya. Dia tidak berjalan untuk maksiat tetapi hanya melangkah untuk taat kepada Allah S.W.T, mencari keredhaan-Nya serta untuk bergaul dengan para ulama dan orang-orang soleh.

Ketujuh, terlihat pada ketaatannya. Dia menjadikan ketaatannya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah dan takut daripada riak dan munafik.

Barangsiapa melakukan tujuh perkara tersebut, maka dia termasuk dalam kategori orang-orang yang dikatakan oleh Allah Al-Halim, Yang Maha Lembut dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa dalam kebun-kebun dan mata air (syurga)"
Surah Al-Hijr, 15:45

Oleh yang demikian, seharusnyalah seorang mukmin berada di antara rasa takut kepada Allah Yang Maha Perkasa dan tidak berhenti dari berharap kepada rahmat-Nya. Kita haruslah sentiasa mengingati Allah Yang Maha Esa, berhenti dari melakukan perbuatan yang dimurkai-Nya serta sentiasa bertaubat memohon keampunan daripada Allah Yang Maha Kuasa.

Sebuah cerita untuk renungan bersama:

Pada suatu hari Nabi Daud 'alaihi as-salam duduk di tempat peribadatannya. Tiba-tiba baginda melihat seekor ulat merah. Maka dalam hatinya baginda berkata, 'Apakah kiranya kehendak Allah pada ulat ini?' Maka dengan izin Allah, ulat itu dapat berbicara seraya berkata:"Wahai Nabi Allah! Di siang hari Tuhanku mengilhamkan agar aku membaca Subhanallah, Walhamdulillah, Wa la ilaha illallah, Wallahu Akbar seribu kali. Sedangkan di malam hari Tuhanku mengilhamkan agar aku membaca Allahumma solli 'ala Muhammadin Nabiyyil Ummiyyi wa 'ala aalihi wa sohbihi wasallam seribu kali. Lalu apakah yang engkau baca hingga aku ingin mengambil faedah daripadamu?" Maka Nabi Daud 'alaihi as-salam amat menyesal kerana menghina ulat itu. Baginda merasa takut kepada Allah, lalu baginda bertaubat dan bertawakal kepada-Nya."

Petikan: Penenang Jiwa (Mukasyafah al-Qulb karya Imam al-Ghazali.

Wednesday, April 8, 2009

Muhasabah Cinta

Wahai Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari-Mu
Ku pasrahkan semua pada-Mu

Tuhan, baru ku sedar
Indah nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta-Mu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah
Selama ini...ya Illahi...
Muhasabah cintaku...

Tuhan kuatkan aku
Lindungi ku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan-Mu

Sunday, April 5, 2009

Refleksi 5

Apakah cadangan dan pendapat anda bagi memperbaiki sukatan pelajaran yang terdapat dalam subjek Multimedia dalam Pendidikan Islam ini? Adakah ianya perlu diubah? Sekiranya YA kenapa dan bagaimana. Sekiranya TIDAK kenapa?

Jawapan:

Cadangan saya, sukatan pelajaran yang terdapat dalam subjek Multimedia dalam Pendidikan Islam ini tidak perlu di ubah kerana kandungannya sudah cukup untuk digunakan di dalam kelas ketika mengajar. Mungkin perlu ditambah sedikit tentang kemahiran menggunakan hardware kerana tidak semua guru pandai untuk mengurus hardware seperti fungsi-fungsi butang yang terdapat pada pemancar LCD, bagaimana menyambung wayar-wayar berkaitan dan sebagainya.

Wallahu a'lam.

Refleksi 4

Nampaknya kelas kita sudah hampir ke penghujungnya. Saya berharap agar anda sudah mendapat banyak manfaat dan ilmu serta kemahiran dalam masa 9 minggu ini. Anda akan menyerahkan tugasan projek anda tidak lama lagi. Saya ingin mengetahui pendapat anda tentang pengalaman menyiapkan tugasan projek tersebut. Soalan-soalannya adalah seperti berikut:

1. Apakah pendapat/persepsi anda apabila diberitahu bahawa anda dikehendaki untuk menyiapkan satu koswer yang menggabungkan semua elemen-elemen multimedia?

2. Pada pendapat anda adakah projek ini akan dapat membantu anda ketika anda menjalani praktikum nanti?

3. Untuk makluman anda ketika pembentangan projek nanti, rakan-rakan anda yang lain dikehendaki untuk membuat penilaian terhadap anda berasaskan bintang (memberikan jumlah bintang yang bersesuaian dengan produk yang dihasilkan dan pembentangan yang dilakukan).

Soalannya, sekiranya anda fasilitator/tutor kelas ini, adakah anda akan menukar kaedah penilaian tugasan ini?Jika YA, jelaskan bagaimana dan mengapa? Jika TIDAK (dan ingin mengekalkan kaedah penilaian menggunakan sistem bintang), mengapa?

Jawapan:

1. Rasa teruja untuk menyiapkan koswer tersebut kerana ia merupakan satu cabaran bagi saya.

2. Ya, bagi saya koswer ini sangat membantu kerana ia memudahkan pelajar untuk memahami konsep-konsep yang abstrak dan rumit.

3. Kaedah penilaian menggunakan bintang ini sangat baik, tetapi lagi baik kalau ditambah dengan komen tersendiri daripada pelajar kerana setiap pelajar mungkin mempunyai idea masing-masing dalam menilai pembentangan hasil kerja kumpulan lain.

Saturday, April 4, 2009

Muktamar 'BAHEIS' di Universiti Malaya Kuala Lumpur?

Alhamdulillah, Persatuan Mahasiswa Islam Sarawak, Universiti Malaya (PERMIS) telah selesai mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya petang tadi. Terlalu banyak kenangan pahit dan manis yang dilalui sepanjang perjalanan memperjuangkan pengaktifan semula persatuan yang banyak berjasa ini. Diri saya seolah-olah kembali ke zaman bergelar pelajar Pusat Asasi APIUM di Nilam Puri empat tahun yang lepas, sepanjang berada di dewan tempat berlangsungnya majlis ini.

Mengimbas kembali lembaran sejarah lebih kurang 6 tahun yang lalu, setelah PERMIS dimansuhkan di APIUM Nilam Puri, kami menubuhkan BAHEIS (Badan Hal Ehwal Intensif Sarawak) demi meneruskan perjuangan yang dibawa oleh PERMIS, perjuangan yang diwarisi daripada para Rasul dan para sahabat. Sebagai perintis BAHEIS, segala suka duka, tawa dan air mata sudah menjadi rencah yang mesti kami lalui. Dan kini segalanya menjadi memori indah yang sentiasa segar dalam benak dan jiwa.

Rata-rata yang menghadiri majlis tadi merupakan bekas ahli-ahli BAHEIS, ditambah pula saya dan kawan saya memakai baju rasmi BAHEIS (baju biru dan kain songket biru), kenangan itu terasa seolah-olah hidup kembali. Kini langkah kaki semakin sampai ke penghujung. Sedikit waktu lagi kami akan meninggalkan perkampungan ilmu ini menuju medan hidup yang penuh mencabar. Pastinya kenangan bersama BAHEIS, PERMIS dan tidak dilupa PMS (Persatuan Mahasiswa Sarawak) juga MARSIS (Markaz Siswa-siswi Islam Sabah Sarawak) tidak akan dilupa sepanjang hayat. Ya Muqallibal Quluub, tsabbit quluubana 'ala diinik, Ya Muqallibal Quluub, tsabbit quluubana 'ala to'atik...

SEKITAR MUKTAMAR BAHEIS YANG PERTAMA


Sof Kepimpinan Perintis BAHEIS (Muslimin), sesi 2003/2004


Sof Kepimpinan Perintis BAHEIS (Muslimat), sesi 2003/2004


Sof kepimpinan BAHEIS selepas batch kami (muslimin), sesi 2004/2005


Sof kepimpinan BAHEIS selepas batch kami (muslimat), sesi 2004/2005


Ikrar dengan pimpinan


Wajah-wajah ceria selepas berakhirnya muktamar

SEKITAR MAJLIS RAMAH TAMAH AIDILFITRI BAHEIS


Bersalam-salaman...indahnya ukhwah.


Muslimin BAHEIS


Muslimat BAHEIS

SEKITAR MIGGU INSANI BAHEIS 2004


Khusyuk mendengar ceramah


Adhoc dan fasilitator


Barisan Mujahidah


Pembentangan kumpulan...kecil-kecil cili padi


Dulu, BAHEIS impianku...kini, PERMIS impianku...


Debat kritis dan kreatif...bincangkan apa akan berlaku kalau padang bola tidak mempunyai tiang gol dan karipap berbentuk segiempat.


Slot penghayatan...'Biar berlinangan air mata...ku takkan hentikannya..."

SEKITAR MAJLIS WIDA' BAHEIS


Bakat terpendam ahli BAHEIS dalam bidang nasyid...'Indahnya suasana kita di hari ini, ceria bersama bermesra, erat silaturrahim, saling hormat-menghormati..."


Kenangan bersama terpatri selamanya

Lumrah persahabatan
Terhiris terguris menguji perasaan
Hanyalah satu ujian
Bukan satu halangan
Untuk terus berkasih sayang
Hadapi dengan iman
Suburkan dengan bermaaf-maafan
Sematkan doa-mendoakan

Saat demi saat
Terlalu pantas menyusur waktu
Meninggalkan jejak-jejak semalam
Yang barangkali pahit untuk di gamit
Menukilkan kenangan
Yang barangkali indah penuh kiasan
Saat perpisahan bisa bertandang
Wajah kan sugul kepayahan
Lafaz kan tenat kelukaan
Sesungguhnya teman
Air mata perpisahan itu
Sejernih embun di dedaun
Bak mutiara berkilauan
Menyingkap rahsia keikhlasan

"Ya Allah
Tatkala bahang Mahsyar-Mu
Menjilat tubuh
Izinkan kami sama-sama berteduh
Tatkala mizan-Mu teliti mengira
Beratkan neracanya atas setiap jasa
Naungi kami di sana
Berkat kasih kerana-Mu semata
Andai ku layak ke syurga
Ku pinta dia bersama..."

Friday, April 3, 2009

Hari Ini Saya Gagal Lagi


Tidak tahu dari mana hendak saya memulakan penulisan...Mungkin lebih tepatnya saya harus bermula dengan lafaz 'Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Roji'un' kerana hari ini saya berdepan dengan satu lagi kegagalan, menambahkan siri-siri kegagalan yang sedia termaktub dalam sejarah hidup saya.

Iya, begitu banyak berita gembira saya terima pada hari ini, begitu banyak urusan saya dipermudahkan Allah pada hari ini, tetapi hati saya tetap terdorong untuk memikirkan tentang keGAGALan saya. Berbagai perasaan melanda jiwa saya antara sedih, kecewa, bersyukur (kerana ramai lagi yang mengalami kegagalan yang lebih teruk daripada saya), geram, rasa ingin menuntut bela atas kegagalan ini dan bermacam-macam lagi rasa.

Tetapi yang pastinya hanya satu rasa yang mendominasi rasa-rasa yang ada, saya ingin menuntut bela. Ya, kegagalan ini akan saya bayar dengan kejayaan. Kegagalan ini memberikan saya satu booster untuk memecut dan berlari menderu laju meninggalkan 'peserta-peserta' yang lain. Kata hati saya ini akan saya semat, dan akan saya kunyah hingga lumat, biar ia sebati dengan darah daging saya, jiwa raga saya.

Terpujuk jiwa saya yang berkecamuk dengan kata-kata Ustaz Azrul Azlan dalam kelas Multimedia Dalam Pendidikan Islam petang tadi, "Saya memang mengajar kamu untuk mendapatkan sesuatu dengan kesusahan, kerana perkara yang kamu dapat dengan mudah, senang untuk kamu melupainya. Sebaliknya perkara yang kamu dapat dengan susah payah, akan kamu ingat dan kenang sampai bila-bila."

Impian ini penuh jalan berliku, semoga bila saya menggapainya suatu hari kelak, saya tak lupa rumput di bumi tempat saya berpijak. Saya tak lupa perit maung jalan yang telah saya tempuh. Paling penting saya tak lupa Allah, Tuhan yang mengatur perjalanan hidup saya. Masa kan nikmat-Nya terlalu tinggi nilainya jika ujian-Nya tak sehebat mana. Ya Allah, lapangkanlah dada kami dengan sifat sabar dan matikanlah kami sebagai seorang Islam...

Wednesday, April 1, 2009

Sayang-sayang Si Kecil Ku Sayang

Hari ini fikiran saya kembali ke tahun-tahun kemelesetan ekonomi negara sekitar tahun 1999-2000. Ketika itu saya berada di sekolah menengah dan adik bongsu saya baru menjengah alam dunia, Muhd Khairul Nizam nama diberi. Keluarga kami yang sebelumnya ada pembantu terpaksa diberhentikan beberapa bulan sementara saya bercuti. Bercuti sebagai pelajar dan mengambil alih tugas seorang ibu di rumah, menjadi suri rumah sepenuh masa.

Ketika inilah kenangan indah tercipta dalam hidup saya, di perjalanan meniti usia menginjak dewasa. Menghabiskan masa di rumah bersama dua orang adik yang masih kecil serta melakukan kerja-kerja memasak, mengemas, menyapu, membasuh dan sebagainya sangat memberi kebahagiaan kepada saya. Masih terpahat di minda saya sehingga ke hari ini betapa pendidikan sewaktu kecil itu sangat berkesan kepada anak-anak, umpama memahat ukiran di atas batu.

Salah satu teori pendidikan, anak-anak mudah mengikut apa yang mereka lihat bukan apa yang mereka dengar. Sopan tingkah ibubapa, sopanlah tingkah si anak. Lembut bicara ibu bapa, lembut jugalah bicara si anak. Seperti apa yang berlaku kepada saya dalam tempoh waktu saya menjadi suri rumah sepenuh masa itu, sangat indah untuk dikongsi bersama. Tanpa saya sedar segala perlakuan dan rutin saya setiap hari rupa-rupanya diperhatikan oleh si kecil yang baru pandai berjalan, belum pandai menutur kata.

"Nizam tunggu je kat situ, kakak nak keluar ambil kain sekejap," Saya memberitahu si kecil Nizam yang comel berdiri di pintu rumah menuruti langkah saya. Si kecil mendongak wajah saya kemudian berjalan terkedek-kedek masuk ke dalam rumah. 'Oh, faham rupanya adik aku ni dengan kata-kataku', bisik hati saya. Rasa gembira kerana si kecil mula memahami kata-kata orang dewasa, tidak kurang juga rasa risau apabila si kecil ditinggal berseorangan di dalam rumah.

Beberapa minit saya berada di ampaian belakang rumah, si kecil keluar menapak dengan langkah yang masih ke kiri ke kanan sambil kepalanya ditutupi sehelai tuala ala-ala perempuan memakai tudung. Tergelak saya melihat tingkah si kecil yang mengikut saya memakai tudung setiap kali keluar rumah. Saya lantas mendukung si kecil, membawanya masuk ke dalam rumah semula dan menukar 'tudung' yang dipakai kepada kopiah. "Nizam lelaki, tak perlu pakai tudung. Kakak perempuan, sebab tu kena pakai tudung. Kalau Nizam nak pakai tutup kepala bila keluar rumah macam kakak, Nizam pakai kopiah ni ye. Kopiah ni untuk lelaki," Saya cuba mendidik si kecil membezakan antara lelaki dan perempuan juga secara tidak langsung menghantar mesej kewajipan menutup aurat bagi perempuan dan amalan sunnah memakai kopiah bagi lelaki ke dalam mindanya.

Semenjak hari itu, menjadi kebiasaan bagi si comel ini memakai kopiah di kepalanya setiap kali saya membawanya ke luar rumah atau pergi bersiar-siar di waktu petang. Sejuk mata dan damai hati saya melihat wajah bersih si kecil dengan kopiah di kepala...semoga menjadi anak yang soleh bila besar nanti.

Suatu ketika, kerana terlampau penat melakukan kerja-kerja di rumah, saya tertidur di ruang tamu. Saya tertidur sebelum sempat si kecil saya tidurkan. Sedang saya lena melepas penat, terasa lengan saya ditarik-tarik dan dengan payah saya cuba mencelikkan mata. Si kecil menghulurkan tudung yang biasa saya gunakan untuk ke luar rumah. Tidak dapat memikirkan kenapa si kecil berbuat begitu, saya mencapai tudung yang dihulurkan dan menyambung semula tidur saya. Belum sempat saya terlena, si kecil menarik-narik lengan saya semula. "Kenapa Nizam?" Soal saya kepada si kecil yang belum pandai bercakap. Si kecil menunjuk ke arah luar jendela, maka tahulah saya rupa-rupanya hujan mula turun dan saya belum lagi mengangkat kain-kain yang bersidai di ampaian!

Tidak perlu saya bergegas ke dalam bilik untuk mengambil tudung kerana si kecil awal-awal lagi telah mengambilkannya untuk saya. Saya tinggal memakai tudung dan berlari menyelamatkan kain-kain di luar daripada kebasahan. Alhamdulillah, sungguh cerdik si kecil ini memerhati dan bertindak, sungguh pun belum mampu menutur kata.

Begitulah anak-anak belajar daripada persekitaran. Anak-anak kecil sangat cepat menyerap apa-apa sahaja yang berada di sekitarnya untuk di ambil sebagai satu pengetahuan baru. Saya memang tidak mengajar mujahid kecil ini untuk memakai tudung seperti saya setiap kali keluar rumah tetapi perlakuan saya menjadi ikutannya. Andai si kecil ini seorang mujahidah, pastinya kewajipan menutup aurat telah sebati dalam dirinya tika menjadi mukallaf kerana didikan ini telah dia terima seawal usia kanak-kanak.

Juga saya tidak berpesan kepada si kecil supaya mengejutkan saya kalau hari hujan kerana saya tahu apalah yang si kecil ini faham dengan arahan sebegitu. Rupa-rupanya sangkaan saya silap. Sangat silap. Bukan sahaja si kecil yang belum menginjak usia dua tahun ini mengejutkan saya daripada tidur ketika hari hujan, bahkan dia turut juga memberikan saya tudung dan memastikan saya betul-betul bangun! Sesuatu yang di luar jangkaan saya. Semenjak dari itu, saya berfikir bahawa anak-anak kecil mempunyai potensi yang luar biasa andai di didik dengan betul. Tekad dan azam saya untuk mendalami bidang Pendidikan dalam Islam semakin kuat, dan itulah saya pada hari ini. Alhamdulillah.

Cahaya Mata (In-Team)

Anak-anak adalah cahaya mata
Penghibur hati penyejuk mata
Nikmat Allah yang paling bahagia
Nisbah benda lahir yang di dunia
Amanah Allah yang mesti di jaga

Di asuh dan dipelihara
Mencuaikannya khianat dan dosa
Zahirnya ibu bapa yang mendidik mereka
Hakikatnya adalah Tuhan Yang Esa
Bimbing mereka dengan bijaksana

Apakah akan jadi Yahudi
Jadi Nasrani atau Majusi
Moga jadi mukmin sejati
Bersabarlah mendidik mereka

Permata pada ayah bonda
Sinaran bahagia membawa ke syurga
Bersyukur kepada Yang Esa
Atas anugerah, nikmat dan rahmat-Nya
Bentuklah mereka sedari kecil
Taati ajaran agama
Anak yang soleh
Harta berharga
Doa mereka untuk kita

Mereka bagai kain putih
Yang lahir dengan suci bersih
Corakkanlah berhati-hati
Besarkan dengan akhlak terpuji

Anak soleh harta berharga
Kenang kita dalam doanya