THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Saturday, March 21, 2009

Cabaran Menuju Wawasan

SEMBILAN CABARAN KE ARAH WAWASAN 2020

· Cabaran Pertama adalah membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang diperkongsi bersama. Bangsa ini mestilah sejahtera, terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.

· Cabaran Kedua adalah melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang bebas, teguh dan telah terbentuk jiwanya, yakin akan dirinya sendiri, bangga akan keadaan kini dan segala sesuatu yang telah dicapainya dan cukup tangkas untuk menghadapi segala macam rintangan. Masyarakat Malaysia itu mestilah mempunyai sifat-sifat mengejar kecemerlangan, benar-benar menyedari segala kemungkinan dirinya tidak terkongkong jiwanya dan dihormati pula oleh semua bangsa lain.

· Cabaran Ketiga yang sentiasa kita hadapi adalah cabaran membentuk dan memperkembang sebuah masyarakat demokratis yang matang, yang mengamalkan suatu bentuk demokrasi Malaysia yang unggul berasaskan muafakat dan musyawarah dan dapat pula dicontohi oleh negara-negara membangun lainnya.

· Cabaran Keempat adalah membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur.

· Cabaran Kelima yang terus menerus kita hadapai adalah membentuk sebuah masyarakat matang yang bersifat liberal lagi toleran, dengan setiap warga bangsa Malaysia tanpa mengira keturunan mahupun kepercayaannya bebas mengamalkan dan melaksanakan adat resam kebudayaan serta kepercayaan agamanya masing-masing tanpa merasa tersisih daripada bangsa tersebut.

· Cabaran Keenam adalah membentuk sebuah masyarakat yang bersifat sains serta progresif berdaya cipta dan berpandangan jauh ke hari muka, yakni sebuah masyarakat yang bukan sahaja dapat memanfaatkan teknologi kini tetapi turut menjadi penyumbang terhadap pembentukan peradaban sains dan teknologi pada masa hadapan.

· Cabaran Ketujuh adalah membentuk sebuah masyarakat berbudi yang berbudaya penyayang, sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan kepada negara mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan yang kukuh lagi mantap.

· Cabaran Kelapan adalah menjamin terbentuknya sebuah masyarakat yang adil ekonominya. Masyarakat itu akan menjamin pengagihan kekayaan negara secara adil lagi saksama dengan kemajuan ekonominya dinikmati bersama oleh setiap rakyat. Masyarakat yang demikian tidak akan terbentuk selagi terdapat penentuan fungsi ekonomi yang berdasarkan kaum dan pemusatan kemunduran ekonomi kepada kelompok-kelompok kaum yang tertentu.

· Cabaran Kesembilan adalah membentuk sebuah masyarakat yang makmur dengan ekonomi yang mampu menghadapi persaingan, bersifat dinamis, tangkas, dan mempunyai daya ketahanan.

0 comments: