THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Monday, March 30, 2009

Corat-Coret Bengkel Latihan Mengajar

Alhamdulillah semalam kami telah selesai melalui Bengkel Latihan Mengajar sehari suntuk. Langkah disambut dengan wajah-wajah ceria bakal ustaz dan ustazah yang telah memenuhi Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Semuanya kemas berpakaian seperti seorang guru. Bakal-bakal ustaz nampak segak berkemeja dan bertali leher, tidak ketinggalan songkok hitam melengkapkan imej seorang ustaz. Bakal-bakal ustazah pula anggun dalam balutan baju kurung dan jubah serta kebanyakannya bertudung labuh, memenuhi tuntutan sunnah Rasulullah. Alhamdulillah, pemandangan yang tidak diketahui adakah ditemui lagi selepas ini di tempat lain...



Wajah bakal-bakal ustaz

Majlis dimulakan dengan nasyid Asmaul Husna seterusnya lagu Universiti Malaya. Rata-rata menyatakan rasa sebak sebab inilah saat-saat akhir kami bergelar pelajar Universiti Malaya sebelum menamatkan pengajian pada bulan depan dan melalui Latihan Mengajar selama 10 minggu berikutnya. Pastinya seribu satu cabaran menanti di hadapan. Tetapi lagu Univeriti Malaya telah menghidupkan semangat kami untuk terus optimis dalam bidang ilmu.

UNIVERSITI MALAYA

Universiti Malaya
Kebanggaan kita semua
Bertambah para ilmuan
Di pelbagai lapangan

KAMI BERTEKAD DI HATI
MENCAPAI CITA MURNI
Tradisi kecermelangan
Menepati wawasan

DI SINI KAMI SEDIA BERBAKTI
TERUS BERINOVASI
KAMI HARAPAN GENERASI MUKA
TERAS NUSA DAN BANGSA

Varsiti kesayanganku
Sungguh banyak jasamu
Mendidik insan mulia
Berilmu berbudaya

Selesai menyanyikan lagu Universiti Malaya, kami menyanyikan pula lagu 'Kami Guru Malaysia'. Saya tidak menyangka, jika beberapa waktu dahulu saya hanya melihat dan mendengar cikgu-cikgu saya di sekolah menyanyikan lagu ini, tapi hari ini saya pula yang akan menyanyikannya. Dulu sewaktu zaman persekolahan, pernah juga saya menghafal lagu ini dan sering menyanyikannya sewaktu bermain masak-masak bersama kawan-kawan di bawah rumah. Lagu ini menjadi salah satu lagu yang hit di bibir saya tika itu, mungkin kerana rentaknya yang penuh semangat. Namun apalah seorang kanak-kanak faham maksud besar dan mendalam di sebalik bait-bait yang dinyanyikan.

Hari ini, saya akan menyanyikan lagu ini dengan penuh penghayatan kerana beberapa waktu lagi saya akan memikul amanah sebagai seorang guru, mendidik anak bangsa, melakar tamadun ummah. Namun nyanyian saya tidak sampai ke penghujung, jiwa saya dilanda sebak yang teramat hingga sesak dada saya menahan air mata yang mula bergenang daripada turun ke pipi. Lagu ini benar-benar menyentuh jiwa saya...

KAMI GURU MALAYSIA

Kami Guru Malaysia
BERIKRAR DAN BERJANJI
MENDIDIK DAN MEMIMPIN
PUTRA PUTRI NEGARA KITA

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu membina
Negara yang tercinta

AMANAH YANG DIBERI
KAMI TAK PERSIAKAN
APA YANG KAMI JANJI
TUNAI TETAP KAMI TUNAIKAN


Penuh penghayatan

Tugas guru bukan mudah. Di luar sana guru bukan setakat berdepan dengan cabaran mendidik pelajar, tetapi guru juga berdepan dengan cabaran golongan guru yang menjadi guru kerana tuntutan pekerjaan, bukan atas kesedaran untuk mendidik anak bangsa, dan golongan ini bukan sedikit.

Kami juga ditekankan untuk mengotakan janji kami untuk menjadi guru yang dedikasi, janji kepada Universiti Malaya yang telah menyediakan prasarana yang cukup lengkap untuk mendidik bakal guru, akan dijulang nama Universiti sebagai institusi yang melahirkan guru-guru berkualiti. Juga janji kepada Negara Malaysia yang telah mengamanahkan tugas mendidik anak bangsa di pundak para guru, akan dijulang nama Malaysia sebagai pusat kecemerlangan ilmu.

Satu yang tidak disebut, paling utama ialah janji kita kepada Allah. Setiap amanah akan disoal di hari Akhirat kelak. Tidak semua orang diberi peluang mengutip pahala sebagai seorang guru. Bayangkan seorang guru itu, pahalanya berlipat kali ganda apabila ilmu yang dicurahkan terus-menerus disampaikan dari satu generasi ke satu generasi. Setiap manfaat yang diperolehi oleh orang lain daripada ilmu yang telah di ajar oleh guru, sang guru beroleh pahala. Bersyukur kepada Allah yang telah memilih kita untuk berada di jalan ini.

Namun harus di ingat, tugas kita bukan setakat pindahkan ilmu dan pelajar muntahkan pada kertas peperiksaan, atau mengajar untuk menghabiskan silibus. Wahyu pertama yang diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu telah memberikan kita garis panduan, 'Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan'. Pertama sekali tugas guru adalah kenalkan pelajar kepada Penciptanya (makrifatullah), bukan makrifatus sekolah!

Pelajar seharusnya di didik untuk menyerap nilai ke dalam diri, ke dalam hati. Zaman sekarang begitu mencabar dengan proses globalisasi langit terbuka, dunia tanpa sempadan yang hakikatnya merupakan proses penaklukan Barat terhadap dunia. Kebenaran bercampur aduk dengan kebatilan seiring dengan pesatnya perkembangan teknologi, dua perkara ini semakin sukar untuk dipisahkan. Tugas para guru untuk mendidik pelajar menilai yang benar dan yang batil semakin sukar dan mencabar. Hari ini telah membuktikan, tanpa pedoman nilai dan tunjangan akhlak, teknologi telah membinasakan manusia pada hari ini.

Pendidikan pada hari ini hanya mementingkan akal dan meminggirkan hati dan kalbu. Akhirnya lahirlah generasi yang mantap akal fikirnya tapi gersang jiwanya, itulah manusia yang tidak manusiawi. Bukan generasi sebegini yang kita harapkan untuk mengimarah bumi sebaliknya yang kita harapkan daripada pendidikan ialah generasi RIJAL dalam bentuk yang holistik dan komprehensif, umpama ungkapan Asy-Syahid Sayyid Qutb, Jiil Al-Quran.

Wahai para guru, kembalilah kepada Islam. Tidak ke mana kita tanpa Islam. Didiklah anak-anak bangsamu, rijal ummahmu dengan limpahan kasih sayang, sambil menginsafi tangan kitalah penentu gemilang atau terbuangnya Islam di masa hadapan. Apa senjatamu menghadapi semua ini? Itulah DOA. Berdoalah kepada Allah, doakan anak-anak bangsamu, doakan rijal ummahmu...doakan semuanya...kerana Tuhanmu Maha Mendengar.

0 comments: