Hingga kini kita telah meninjau secara ringkas beberapa teori pembelajaran yang asas serta memperlihatkan kekuatan dan kelemahan teori tersebut. Dalam tinjauan tersebut, ternyata persoalan tentang pembelajaran amatlah rumit dan masih banyak yang belum terjawab sepenuhnya. Tentunya perkara ini menjadikan kita khuatir. Apakah konsep pengajaran dan pembelajaran yang harus dipegang jika semuanya masih belum sempurna?
Perkara ini disedari oleh para penyelidik di seluruh dunia. Maka, kerana itulah mereka masih tidak henti-henti menyelidik untuk mencari jawapan terbaik kepada persoalan apakah itu pembelajaran dan bagaimana pembelajaran manusia dapat dipertingkatkan. Di akhir abad ini, muncul satu lagi pemikiran tentang pembelajaran yang berbeza daripada sebelumnya. Pemikiran ini, pada anggapan penulis amat penting dipertimbangkan memandangkan tonggaknya pada pembentukan MANUSIA PEMIKIR. Ia merupakan satu alternatif kepada pernikiran tentang pembelajaran yang sedia ada.
Jika teori pembelajaran sebelum ini menitikberatkan pada soal dua dunia yang terpisah atau dualism, dan bagaimana pengetahuan yang berada di luar sana menyerap masuk ke dalam pemikiran manusia, maka dalam pemikiran alternatif ini, persoalan tersebut tidak merupakan isu perbincangan. Pemikiran alternatif ini melihat dunia ini hanya satu, tidak ada dunia di luar dan dunia di dalam; tidak ada dunia hakiki di luar sana dan dunia subjektif di dalam diri. Manusia dan dunia ini tidak terpisah. Manusia tinggal di dalam dunia yang sama dengan penyelidik. Apa pun pengalaman yang dialami oleh manusia dirasai sama oleh penyelidik. Kehadiran penyelidik tidak memberi kesan ke atas kehidupan manusia. Tegasnya, dunia yang kita kaji, adalah dunia yang dialami dan dirasai sendiri oleh manusia.
Pemikiran alternatif ini sedar bahawa manusia berbeza. Kita mengalami atau menjalani hidup ini juga berbeza. Manusia tidak sama di segi pengalaman. Jika pengalaman manusia dapat dinilai tentang kualitinya, maka akan ditemui manusia yang mengalami pengalaman yang lebih baik daripada yang lain atau mendapat pengetahuan tentang dunia ini lebih baik daripada yang lain. Justeru, pengalaman manusia amat wajar dikaji. Melaluinya, kita menjadi lebih memahami tentang dunia yang kita diami ini.
The Story of a Jew Who Islamized Millions Of People
12 years ago
0 comments:
Post a Comment