Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 27 Januari 1999 , menyarankan Kementerian Pendidikan menyemak semula kurikulum Pendidikan Islam (PI) dengan memberi penekanan kepada kandungan teks dan kaedah pelaksanaan kurikulum yang lebih berkesan kepada murid-murid sekolah. Kurikulum Pendidikan Islam disemak semula mulai pada tahun 2000 dengan membuat beberapa penambah baikan.
Dasar Semakan
KPM telah memutuskan semakan kurikulum kali ini perlu menjadikannya lebih relevan. Kurikulum yang relevan dengan tuntutan semasa dan keperluan pada masa akan datang serta boleh memenuhi matlamat-matlamat yang ditentu perlu dirancang dan dibangunkan. Perkara-perkara berikut yang menjadi asas pertimbangan dalam semakan kurikulum:
1) Kurikulum sebagai agen perubahan yang mempunyai wawasan dan falsafah pembangunan sosial yang progresif ke arah mengisi keperluan pembinaan individu, masyarakat dan negara . Kurikulum perlu direncana untuk membawa reformasi sosial dan pemodenan ke arah mewujudkan masyarakat madani (civil society).
2) Kurikulum menawarkan prospek baru dalam menangani pembangunan sumber manusia penguasaan pengetahuan dan kemahiran baru dan terkini, serta nilai-nilai kehidupan yang menjamin kesejahteraan individu dan masyarakat umum.
3) Kurikulum mesti seimbang dari segi akademik dan bukan akademik, berpaksikan ilmu pengetahuan, teori dan aplikasi dalam kehidupan dan tempat kerja, serta fleksibel mengikut kebolehan dan keupayaan murid.
4) Kurikulum menawarkan pengetahuan dan kemahiran yang ‘marketable’ sesuai dengan matlamat menyediakan guna tenaga manusia yang berketrampilan dalam menghadapi perubahan ke arah negara perindustrian dan ‘market economy’.
5) Kurikulum mengambil kira kepentingan meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran, kemudahan pembelajaran, dan peningkatan ke arah kualiti pendidikan guru Pendidikan Islam. (kualiti guru Pendidikan Islam bukan sahaja dilihat dari aspek kemahiran menggunakan pelbagai teknik dan kaedah dalam proses pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga dari aspek pengamalan nilai-nilai Islam dalam kehidupan. Senario hari ini, tidak pelik kita melihat seorang ustazah memakai pakaian persis sarung cempedak, seorang ustaz berpakaian umpama penyanyi rock dan lebih dari itu seorang guru agama yang elok memakai jubah dan serban tetapi melakukan sumbang mahram! Malangnya sistem pendidikan kita hari ini tidak menekankan soal penghayatan Islam sebagai tunjang utama yang membentuk kualiti guru)
Matlamat Semakan
Keperluan semakan kurikulum Pendidikan Islam adalah bermatlamat untuk mencapai perkara-perkara seperti yang berikut:
1)Keberkesanan Pendidikan Islam dari segi penghayatan dan aplikasi, terutama fungsinya sebagai benteng keagamaan dan amalan nilai-nilai budaya bangsa, (Tapi Pendidikan Islam di sekolah pada hari ini tidak lagi dihayati dan di aplikasi oleh pelajar jauh sekali menjadi benteng keagamaan, hanya di aplikasi dalam kertas jawapan ujian dan menjadi benteng dari gagal subjek Pendidikan Islam)
2) Mengaitkan antara teori dan praktis iaitu pelajar bukan sahaja berketrampilan dalam bidang akademik tetapi juga tahap amalan dan penghayatannya.
3) Menggabungkan aspek Fardu ‘Ain dan Fardu Kifayah ke arah menyumbang kepada pembangunan diri, bangsa dan negara bagi meneruskan kegemilangan tamadun Islam, (Khilafah Islam pernah menguasai dua pertiga dunia dan mencipta tamadun yang gilang gemilang berteraskan keimanan dan ketaqwaan. Sepanjang saya bergelar pelajar SEKOLAH AGAMA, sejarah ini tidak pernah disentuh pun. Macam mana kegemilangan tamadun Islam hendak diteruskan jika pelajar tidak dididik untuk berjuang menegakkan daulah Islam sebaliknya hanya disogokkan dengan prinsip-prinsip Islam Hadhari!) dan
4) Mencapai matlamat pembinaan kurikulum untuk menampilkan kekukuhan keimanan generasi Muslim, menguasai ilmu Fardu ‘Ain, memahami tuntutan Fardu Kifayah, sentiasa berbakti kepada agama, bangsa dan negara serta berakhla mulia. Ini bermakna generasi yang dibina akan memiliki daya juang, daya saing dan daya maju.
Ciri-ciri Kurikulum Pendidikan Islam Semakan
1) Mengekalkan kesinambungan dan keseimbangan di peringkat KBSR dan KBSM,
2)Penyepaduan ilmu dijelmakan. Oleh itu, kurikulum Pendidikan Islam yang bersumberkan wahyu akan menjadi pelengkap ilmu yang bersaling kait dan merentasi kurikulum. (Sejauh mana Pendidikan Islam menjadi pelengkap ilmu lain dan merentasi kurikulum? Berapa ramai guru Matematik hari ini yang mengaitkan nombor-nombor dengan kekuasaan Allah? Betapa Allah menyusun rumus-rumus Matematik sebegitu rupa? Juga berapa ramai guru-guru Pendidikan Jasmani yang mengaitkan sukan dan permainan dengan Pendidikan Islam? Pergaulan bebas dibiarkan, kewajipan menutup aurat di abaikan.) Pelajar akan dapat memahami secara lebih jelas tentang kesepaduan antara ilmu naqli dan ilmu aqli melalui isi kandungan kurikulum Pendidikan Islam itu sendiri dan perkaitannya dengan mata pelajaran lain,
3) Penggabungan antara Fardu ‘Ain dan Fardu Kifayah dalam kurikulum pendidikan Islam dapat dikembangkan melalui isi kandungan kurikulum itu sendiri dan mengaitkan dengan bidang ilmu yang lain. Pelajar akan dapat memahami akan keperluan amalan Fardu ‘Ain sebagai tuntutan individu yang mesti ditunaikan dan amalan Fardu Kifayah sebagai tanggungjawab individu untuk membangun bangsa dan negara,
4) Menekankan pembentukan dan pembangunan insan mulia yang berkeupayaan menyumbang ke arah pembangunan tamadun bangsa dan negara. Pelajar akan dibimbing berterusan tentang kehidupan beradab dan berdisiplin yang mengangkat martabat insaniah,
5) Untuk mencapai hasrat ini penulisan buku teks hendaklah mengambil dan mengekalkan tradisi budaya penulisan sebenar ilmu Islam dengan pelbagai pendekatan semasa yang bersesuaian,
6) Penyampaian pengajaran guru distrukturkan mengikut tradisi pendidikan ilmu Islam supaya ajaran Islam yang sebenar dapat dikuasai dan diyakini. Pemahaman terhadap struktur ini akan mengembangkan proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam dengan lebih bersistem dan dinamik. Penstrukturan tersebut mengandungi aspek pengertian sebenar, inkuiri terhadap sesuatu, mencari sumber bukti, berfikir memahami matan(teks) kemahiran amali dan penghayatan nilai,
7) Penggunaan pelbagai bahan bantu mengajar dan multimedia digalakkan supaya penyampaian guru lebih menyeronokkan, mudah difahami dan berkesan,
8) Penilaian terhadap murid-murid dibuat secara menyeluruh berdasarkan rujukan criteria,
9) Pengajaran Pendidikan Islam tentang perkara wajib, sunat dan harus mesti diberi penjelasan dengan baik agar tidak timbul kekeliruan dalam mentafsir sesuatu hukum.
Wacana Pendidikan Islam (siri1) : Kurikulum Bersepadu Pendidikan Islam Menghadapi Cabaran Era Globalisasi.
Kalau nak komen, banyak yang akan dibantah di sana sini. Sewaktu menyiapkan tugasan ini, hati saya berasa mual dengan ayat-ayat yang disusun sedang hakikatnya indah khabar dari rupa. Semakin hari masyarakat kita semakin rosak sedang para bijak pandai sibuk berseminar sana sini, bermesyuarat sana sini untuk memperbaiki sistem pendidikan kita yang tidak ubah seperti melahirkan burung kakak tua sehinggakan Prof Emeritus Dr. Khoo Kay Kim pernah menyatakan semasa forum bersempena Simposium Perdana Mahasiswa Islam Malaysia di Universiti Malaya tidak berapa lama dahulu dengan kata-katanya, "Saya paling tidak suka menyemak kertas jawapan pelajar kerana seolah-olah saya mengingat balik apa yang telah saya ajar."
Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim: Kanan sekali
Di mana silapnya? Saya melihat kepincangan ini daripada dua sudut, yang pertama adalah kerana penyakit cinta dunia telah sebati dalam diri masyarakat hari ini. Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan menyebabkan pelajar berlumba-lumba mengumpul A demi untuk 'mencantikkan' sekeping sijil dan akhirnya untuk mendapat pekerjaan yang bergaji besar. Duit yang banyak tu tak juga digunakan untuk mentaati Allah...
Sebab kedua, persoalan ikhlas...saya percaya sebahagian besar orang memilih untuk menjadi guru sebab tidak ada pilihan pekerjaan lain selain menjadi guru untuk mendapat gaji. Islam meletakkan guru pada martabat yang tinggi dan mulia sehinggakan ilmu yang dicurahkan, tidak akan putus pahalanya sehingga ke akhirat selagi mana ada orang yang mengamalkannya. Sedarkah kita ilmu yang kita ada adalah milik Allah? Allah meminjamkan ilmu-Nya kepada para guru supaya mereka mendidik manusia mengenal-Nya, Sang Pemilik Ilmu. Kosongnya jiwa guru dari sifat ikhlas menyebabkan ilmu sekadar sampai ke otak pelajar tidak meresap ke dalam hati dan jiwa pelajar.
Setinggi-tinggi martabat guru jangan sampai diheret ke api Neraka kerana menyalahgunakan nikmat yang telah Allah beri iaitu menggunakan ilmu Allah untuk mendapat gaji bukan untuk mengenalkan manusia kepada Penciptanya. Na'uzubillahi min zalik. Allahumma ajirna minan nar...Allahumma ajirna minan nar...Allahumma ajirna minan nar...
The Story of a Jew Who Islamized Millions Of People
12 years ago
1 comments:
entri yang sangat bermanfaat. saya minta izin untuk ambil sebagai rujukan tugasan saya.
Post a Comment