THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Wednesday, March 25, 2009

Pemikiran Alternatif Tentang Pembelajaran (Part 2)

Menyentuh tentang pengalaman, pemikiran alternatif ini berpandangan sama seperti ahli pembelajaran moden yang mentafsirkannya sebagai sesuatu yang terhasil daripada penglibatan aktif manusia dengan persekitarannya. Pengalaman tidak berlaku secara tiba-tiba dan pengalaman tidak berlaku di luar kehendak manusia. Kita perlu keluar mencari pengalaman sepertimana Datuk Azhar Mansur keluar meredah gelombang bersama Jalur Gemilangnya. Pengalaman itulah yang berguna untuk ditafsirkan.

Mengambil pendirian ini maka pembelajaran tidak mungkin dihuraikan dalam satu proses yang umum. Malah, menurut Svensson (1979) adalah amat salah mengandaikan fenomena pembelajaran terdiri daripada set-set fenomena yang seragam. Manusia terlibat dalam pelbagai proses pembelajaran. Proses pembelajaran berenang tidak sama dengan proses pembelajaran matematik mahupun sejarah. Maka perbezaan dalam proses itu perlu dititikberatkan dan dihargai kerana itulah reality yang wujud dalam proses tersebut. Tegasnya, pembelajaran dalam bentuk umum tidak wujud, kecuali dalam bentuk ayat-ayat abstrak yang tidak berupaya memandu kita ke arah memahami dan mempertingkatkan pembelajaran (Neisser, 1982).

Justeru, untuk memahami pembelajaran, kita harus menoleh perhatian kepada pelajar, bilik darjah dan segala aktiviti yang berlaku dalam sesuatu sistem pendidikan. Setiap aktiviti diteliti agar elemen-elemen khusus mengenai bagaimana manusia belajar dapat dihasilkan. Misalnya, jika seseorang itu ingin memahami mengapa sesorang pelajar mempunyai tahap kefahaman yang berbeza walaupun diajar oleh guru yang sama, maka ia haruslah mengkaji apakah proses pembelajaran yang dilalui oleh pelajar itu sehingga membawa kepada kefahaman yang sedemikian. ]ika seseorang itu berhasrat untuk meningkatkan kefahaman pelajar mengenai sesuatu pula, maka dia harus menggunakan maklumat yang diberikan oleh pelajar sendiri tentang apakah yang difahami oleh mereka tentang perkara tersebut.

Jelasnya, pemikiran alternatif ini menteorikan pembelajaran secara terbuka, menurut konteks dan konten kajian. Grounded Theory yang dihasilkan adalah cernaan fikiran dan pandangan mereka yang mengalami sendiri sesuatu pengalaman. Ini adalah kerana pemikiran alternatif ini percaya:

“... that the nature, bahaviour and mind of human kind constitute a complex whole which cannot be observed objectively or in parts by an outside researcher.” (Zuber-Skerritt, 1987, m.s. 43)

Oleh yang demikian, teori yang terhasil bukan untuk dibuat preskripsi, mahupun generalisasi. Namun, deskripsi yang terhasil cukup mampan untuk kita memahami apakah yang sebenarnya berlaku dalam sesuatu konteks pembelajaran dan dengan kefahaman itu membantu kita menangani masalah yang mempunyai persamaan dengan konteks pembelajaran itu.

Sejak pemikiran ini dicetuskan oleh Marton dan rakan-rakannya di University of Gothenburg, Sweden pada akhir tahun 70an (Marton dan Saljo, 1976a; Marton dan Saljo, 1976b), ratusan kajian telah dijalankan di seluruh dunia termasuk Malaysia (Wan Zah, 1993). Daripada kajian ini, yang menggunakan pendekatan yang dikenali sebagai fenomenografi (Marton, 1981), beberapa ketetapan telah digariskan dalam usaha meningkatkan pembelajaran dan pengajaran. Pertama, dari sudut konsep pembelajaran dan pangajaran yang berkualiti dan kedua, aspek-aspek pembelajaran dan pengajaran yang penting diambilkira dalam melaksanakan usaha murni ini.

0 comments: